Wednesday, December 10, 2008

RM850 Juta Untuk lahirkan 60,000 Usahawan


Melahirkan sebanyak mungkin usahawan bumiputera adalah antara matlamat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-sembilan (RMK9) sekali gus membantu meningkatkan ekonomi mereka walaupun dalam ketidaktentuan ekonomi global ketika ini. Sehubungan dengan itu, kerajaan melalui Mara, menyediakan peruntukan sebanyak RM850 juta dengan sasaran untuk melahirkan lebih 60,000 usahawan kecil dan sederhana dalam pelbagai bidang.

Dengan jumlah peruntukan yang agak besar, sasaran untuk melahirkan seramai 60,000 usahawan kecil dan sederhana nampak agak realistik. Lebih-lebih lagi dengan minat yang ditunjukkan oleh golongan bumiputera kebelakangan ini yang melihat peluang tersebut sebagai prospek terbaik untuk mempertingkatkan tahap ekonomi. Sehingga kini seramai kira-kira 27,000 usahawan kecil dan sederhana yang berdaftar di bawah Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) Mara, Berjaya dihasilkan.

Selain kemudahan pinjaman mudah sehingga RM5 juta dengan hanya mengenakan faedah satu peratus caj perkhidmatan, usahawan kecil dan sederhana yang berdaftar dengan BPU juga memperolehi banyak bantuan untuk mempertingkatkan perniagaan bagi bersaing di peringkat tempatan dan global dan produk yang dihasilkan. Ini kerana BPU yang dulunya hanya memberikan bimbingan dalam bidang keusahawanan kini memperluaskan peranan melalui beberapa pendekatan baru seperti membantu memasarkan produk bumiputera ke peringkat global.
Antara usaha yang diambil oleh Mara untuk menambah dan mempercepatkan pertumbuhan masyarakat industri di kalangan bumiputera hari ini ialah melalui Skim Kemudahan Inkubator Perkilangan (Intep) dan Kemudahan Pengeluaran dan Perintisan (JPP). Melalui kemudahan itu, Mara menyediakan kemudahan kewangan dalam pelbagai kategori bagi memulakan perniagaan dalam pelbagai bidang yang dikenalpasti mampu menjana pendapatan yang baik seperti makanan, automotif, logam dan perkhidmatan.

Dengan peruntukan yang agak besar bagi RMK-9 kali ini, peluang untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui cabang perniagaan sememangnya terbuka luas. Melalui bantuan dan peranan yang dimainkan oleh Mara ini akan memudahkan lagi golongan bumiputera untuk meneroka lebih luas cabang-cabang perniagaan yang dikenalpasti berpotensi untuk dimajukan.


[Selanjutnya]

Monday, December 1, 2008

Hak Pengguna: Sejauh Mana Kesedaran Kita?

Sejak Ogos lalu, harga minyak mengalami penurunan sebanyak lima kali selaras dengan penurunan harga bahan bakar itu di pasaran dunia yang kini jatuh di bawah AS$50 setong. Terbaru, harga bahan bakar itu sekali ,mengalami penurunan. Harga minyak di pasaran tempatan kini berada pada kadar RM1.90 seliter bagi petrol dan RM1.80 seliter bagi disel. Ia memang banyak memberi manfaat dan kelegaan kepada rakyat. Tetapi yang menjadi masalah besar dan bermain-main di fikiran kita ketika ini ialah, penurunan harga minyak nyata tidak mendatangkan banyak kesan kepada harga barangan keperluan yang rata-rata masih tinggi?

Jika sebelum ini peniaga memberi alasan kenaikan harga minyak memaksa mereka menaikkan harga barang bagi menampung kos, kita tidak punya pilihan dan akur dengan tindakan tersebut. Tetapi mengapa ketika kerajaan menurunkan harga minyak tidak pula disusuli oleh peniaga untuk menimbang menurunkan semula harga barangan di pasaran? Walaupun ada usaha dibuat oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan peruncit-peruncit besar untuk menurunkan harga barangan keperluan, ia hanya menyelesaikan sebahagian daripada masalah tetapi tidak memberi kesan yang menyeluruh terutama kepada golongan sasaran sebenar – golongan berpendapatan rendah.

Jika ditinjau, rata-rata barangan keperluan rata-rata masih mahal. Kita kena mengakui hakikat tentang harga barangan keperluan di negara ini yang sukar untuk dikawal dan sekali ia dinaikkan adalah amat sukar untuk harga tersebut diturunkan kembali ke paras asal malah jauh sekali untuk menjadi lebih murah. Apabila keadaan ini berlaku, satu persoalan timbul. Jika peniaga memberikan alasan bahawa harga barangan bergantung sepenuhnya kepada turun dan naik harga minyak, apakah mereka bersedia untuk memenuhi komitmen tersebut jika harga minyak turun atau kembali ke paras harga asal? Persoalan ini lah sebenarnya yang menghantui pengguna terutama dalam menghadapi kesukaran ekonomi akibat kelembapan ekonomi global ketika ini.

Apabila ini berlaku, ramai di kalangan kita sebagai pengguna mengaitkannya dengan sikap degil dan ketamakan peniaga. Sehingga ada pihak yang menganggap ia berpunca daripada penguatkuasaan oleh pihak kementerian yang tidak tegas dan lemah serta bermusim sehingga peniaga tidak langsung berasa takut dan bebas untuk menentukan dan mengawal harga di pasaran. Ada juga pihak yang menyarankan agar pihak kementerian mengkaji semula harga barang keperluan yang dinaikkan dengan tidak hanya menumpukan kepada barangan yang diletakkan di bawah kawalan tetapi memperluaskan lebih banyak barang di bawah senarai barangan keperluan yang dikawal harganya.

Memboikot peniaga adalah antara cadangan yang dibangkitkan. Tetapi apakah dengan tindakan tersebut mampu menyelesaikan masalah? Dan sejauh mana pula pengguna bersedia untuk memberikan kerjasama? Biasanya, pembeli hanya merungut tentang harga tetapi masih membeli dan kebiasaanya peniaga tidak akan menjual barangan keperluan dengan harga yang tinggi jika tiada pembeli yang sanggup membayar. Di sini lah pentingnya peranan kita sebagai pengguna. Perlu bijak untuk membuat perbandingan harga dan mengelak untuk membeli daripada peniaga yang enggan berkerjasama.

Jika pendekatan ini diambil dan adanya kerjasama di kalangan pengguna, tentunya peniaga tidak mempunyai pilihan untuk menurunkan harga barangan. Paling penting ialah kesedaran kita sebagai pengguna. Tetapi sejauh mana sebagai pengguna, kita tahu atau faham tentang hak-hak kita?
Mungkin selama ini kita tidak dididik dengan isu-isu kepenggunaan dalam kehidupan seharian terutama tentang soal kesedaran dan hak kita. Akta Perlindungan Pengguna juga tidak menjadi asas kesepaduan masyarakat kerana mereka tidak mengerti sejauh mana hak yang ada pada mereka. Keprihatinan masyarakat terhadap hak ini masih lagi di tahap yang rendah. Masyarakat sendiri tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan pendidikan pengguna secara sempurna. Memang tidak dinafikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mendedahkan pendidikan pengguna kepada masyarakat.

Tetapi masalah yang dihadapi adalah pendedahan itu hanya tertumpu kepada pengurusan perbelanjaan yang bijak sahaja. Sedangkan banyak lagi yang perlu diberikan penekanan untuk menjadikan pengguna negara ini bukan sahaja matang, bijak tetapi tahu serta faham tentang hak-hak mereka sebagai pengguna. Isu-isu kepenggunaan di negara ini jelas masih dihambat oleh budaya kepenggunaan yang tidak sihat seperti pembaziran, tidak mementingkan keselamatan produk, boros dan berhutang, ditipu, terbeli barangan tiruan atau rosak dan sebagainya.

Seperti yang pernah dinyatakan oleh Presiden Pengguna Pulau Pinang (CAP), konsep kepenggunaan bukan hanya berada dalam lapan hak asas pengguna sahaja tetapi melangkaui perkara-perkara lain termasuklah termasuklah budaya pengguna, gaya hidup dan kebendaan. Malah beliau yakin sebahagian besar masyarakat tidak mengerti hak kepenggunaan ini secara terperinci untuk diadaptasikan dalam kehidupan seharian. Dalam buku Panduan Pengguna keluaran KPDNHEP menjelaskan secara terperinci berkenaan dengan lapan hak ini. Seharusnya buku manual Panduan Pengguna ini perlu ada bagi setiap individu dari semua peringkat masyarakat. Lebih berkesan jika pendidikan ini ditanamkan di awal usia kanak-kanak lagi dalam cara atau bentuk yang mudah mereka fahami.

Masyarakat seharusnya sedar betapa pentingnya pendidikan pengguna agar kita menjadi pengguna yang bijak. Pendidikan pengguna bukanlah satu pendidikan yang ada penamatnya. Selagi kita digelar pengguna, kita perlu belajar untuk mengetahui hak kita. Sebagai pengguna, tingkah laku kita sebenarnya boleh mempengaruhi harga barangan keperluan. Malah pengguna seharusnya menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menentukan harga barangan di pasaran.

Jika kita benar-benar faham akan hak-hak kita dan bersedia untuk menggunakannya, perkara ini boleh diatasi. Turun naik harga barangan di pasaran hari ini sebenarnya berlaku kerana kita sendiri membenarkan dan membiarkan ia berlaku kerana kita tidak faham atau gagal untuk menggunakan hak-hak kita sebagai pengguna.


[Selanjutnya]

Tuesday, November 18, 2008

Membantu Golongan Miskin Melalui Jaringan Keselamatan Sosial

Sebahagian besar rakyat agak kurang pasti apa yang dimaksudkan dengan Jaringan Keselamatan Sosial yang menjadi dasar Bajet 2009 seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini. Secara umum Jaringan Keselamatan Sosial boleh didefinasikan sebagai perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan untuk kepentingan masyarakat meliputi kebajikan, perubatan dan kadang kala subsidi kepada pengangkutan awam.

Ia berperanan membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin menghadapi cabaran inflasi. Dalam ekonomi, Jaringan Keselamatan Sosial bertujuan untuk mengagihkan pendapatan dan sumber kepada golongan yang memerlukan dalam masyarakat serta membantu mengatasi kemiskinan dalam jangka masa pendek.

Ketiadaan Jaringan Keselamatan Sosial begitu dirasai oleh masyarakat namun kesan tersebut lebih dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan miskin termasuk vulnerable group seperti warga emas, ibu tunggal dan golongan kurang upaya. Selaras dengan itu, kerajaan telah merangka satu Jaringan Keselamatan Sosial yang komprehensif bagi mengurangkan impak terhadap golongan berpendapatan rendah dan golongan miskin akibat kenaikan inflasi dan kelembapan ekonomi seperti yang kita alami hari ini. Langkah tersebut membuktikan kepetrihatinan rakyat terhadap kesulitan yang ditanggung rakyat ekoran kenaikan mendadak harga bahan bakar dan barangan keperluan lain.

Antara sumbangan utama kerajaan untuk memastikan rakyat terbela melalui skim Jaringan Keselamatan Sosial ini adalah melalui langkah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan untuik Semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 untuk Sabah. Ketika ini terdapat dua skim bantuan utama di bawah Jabatan kebajikan Masyarakat iaitu Skim Bantuan Persekutuan dan Skim Bantuan Am Negeri.

Skim Bantuan Persekutuan diberi secara bulanan di bawah skim Bantuan Orang Tua (berusia 60 tahun ke atas) dan Bantuan Kanak-Kanak (di bawah usia 18 tahun). Memandangkan skim ini hanya menjurus kepada golongan tertentu dan tidak menyeluruh, golongan yang tercicir seperti ibu atau bapa tunggal, orang kurang upaya akan dibantu melalui Skim Bantuan Am Negeri. Memandangkan bantuan di bawah skim ini jauh lebih rendah berbanding Skim Bantuan Persekutuan dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penerima, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkenalkan satu skim bantuan baru berasaskan keluarga di peringkat Persekutuan bagi mengatasi masalah tersebut.

Skim Bantuan Asas Keluarga yang diperkenalkan akan mengguna pakai pendapatan garis kemiskinan (PGK) semasa sebagai syarat asas pertimbangan. Di bawah skim tersebut seramai 109,928 isi rumah miskin akan dibela di bawah skim Jaringan Keselamatan Sosial yang baru ini berbanding dengan 22,848 isi rumah yang kini menerima bantuan terdiri dari golongan berpendapatan di bawah RN400 sebulan.
Skim Bantuan Asas Keluarga ini akan memberikan bantuan sebanyak RM100 seorang sebulan sehingga maksimum RM600 sekeluarga sebulan yang diberikan mengikut saiz isi rumah (meliputi ibu, bapa dan anak dalam satu keluarga asas).

Antara kriteria yang melayakkan mereka berada di bawah skim ini merangkumi:

1.Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia.

2.Pendapatan isi rumah di bawah pendapatan garis kemiskinan (PGK) semasa.

3.Ketua isi rumah (pencari nafkah) menghadapi masalah kesihatan, kecacatan dan kehilangan pendapatan secara mendadak, tidak mempunyai pendapatan tetap serta masalah lain yang boleh menjejaskan fungsinya sebagai penyara keluarga.

4.Ibu atau bapa tunggal yang tidak berkemampuan menyara keluarga dan perlu menjaga kanak kanak; atau

5.Individu yang tinggal berseorangan, tidak mampu menyara diri sendiri dan berusia di bawah 60 tahun.

Bagaimanapun, semua kes akan dirujuk terlebih dahulu untuk dipertimbangkan selain perlu melalui proses sissatan (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan sebelum bantuan diluluskan. Ia diberi untuk tempoh 12 bulan dan dalam tempoh tersebut bantuan akan dikaji semula bagi menentukan sama ada bantuan itu diteruskan atau dikaji semula.

Pemberian bantuan secara sementara ini adalah selaras dengan konsep kebajikan produktif (productive welfare) yang dihasratkan oleh kerajaan. Sepanjang tempoh bantuan itu juga penerima bantuan akan diberi latihan kemahiran untuk meningkatkan kemajuan diri. Selain itu penerima bantuan juga akan diberi pinjaman modal dan peluang-peluang untuk memulaklan perniagaan.

Di bawah Jaringan Keselamatan Sosial lainnya termasuklah usaha berterusan untuk membasmi kemiskinan di mana sejumlah RM50 juta disediakan di bawah Program Bantuan Rumah untuk membina 1,400 rumah baru dan membaik pulih 1,000 lainnya. Usaha berterusan juga dilakukan untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup penduduk di sabah dan Sarawak, terutama untuk meningkatkan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan luar Bandar. Sejumlah RM580 juta disediakan bagi Sabah dan RM420 juta bagi Sarawak.

Lainnya termasuklah mengecualikan bayaran bil elektrik RM20 sebulan ke bawah berkuatkuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009. Begitu juga dengan rebet cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000. Dengan itu seramai 100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah tidak lagi dikenakan cukai.

Di bawah jaringan Keselamatan Sosial ini juga golongan petani dan nelayan juga diberikan pembelaan di mana sejumlah RM300 juta diperuntukkan. Sejumlah RM180 juta adalah untuk menampung sara hidup nelayan dan pemilik bot perikanan manakala RM120 juta sebagai insentif tangkapan ikan.

Bagi meningkatkan kehidupan petani juga, elaun pelaburan semula sebanyak 60 peratus bagi tempoh 15 tahun bagi pelaburan tambahan bagi penternak ayam dan itik. Selain peruntukan sejumlah RM475 juta bagi bantuan imput pertanian, baja dan racun perosak bagi pengusaha sawah.

[Selanjutnya]

Monday, November 10, 2008

RM7 Bilion Untuk Rangsang Ekonomi

Mengambil kira senario ekonomi global yang lembab ketika ini, pengumuman pakej rangsangan ekonomi RN7 bilion oleh kerajaan menjadi pelengkap kepada Bajet 2009 sebelum ini. Peruntukan hasil daripada penjimatan subsisi minyak tersebut merupakan langkah proaktif untuk menangani kesan daripada krisis global semasa sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi. Lebih penting adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan langkah tambahan tersebut menganggap, penjimatan sebanyak RM7 bilion itu merupakan satu rahmat untuk diagihkan kepada rakyat di samping dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang akan memberi kesan positif seperti dalam sektor pembinaan, perumahan, pengangkutan, pelaburan, latihan dan teknologi maklumat. 

Untuk memastikan ke semua langkah tambahan tersebut boleh digerakkan dengan segera, kerajaan turut menubuhkan Unit Pengurusan Projek di bawah Kementerian Kewangan bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan projek kritikal dan berimpak tinggi ke arah memastikan perlaksanaannya cekap dan berkesan.

Pakej rangsangan tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan untuk terus mengamalkan dasar yang bersifat mengembang ketika ekonomi dunia dalam keadaan menguncup. Suntikan dana tambahan ini juga bertujuan untuk memastikan ekonomi negara tidak dihimpit kemelesetan sebaliknya berkembang pada landasannya. 

Dalam melaksanakan dasar fiskal yang mengembang ini, kerajaan akan menyemak semula projek-projek besar yang telah dirancang yang tidak terlalu mendesak dan pada masa yang sama memberi keutamaan kepada projek yang boleh dilaksanakan segera serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan kandungan import yang rendah. Bagaimanapun, pelaksanaannya tidak akan menjejaskan jumlah perbelanjaan pembangunan yang telah diperuntukkan bagi tahun 2009 sebelum ini.

Dengan adanya pakej rangsangan ini sekurang-kurangnya memberi satu kelegaan kepada orang ramai sekali gus menjawab segala keraguan, apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menanggani keadaan ekonomi global yang lembab ketika ini? 

Antara intipati pakej tersebut ialah:

Caruman KWSP
Kerajaan akan membenarkan pekerja untuk mengurangkan potongan caruman pekerja KWSP secara sukarela sebanyak 3 peratus selama dua tahun mulai 1 Januari 2009.

Pinjaman Kenderaan
Bagi gred JUSA, had kelayakan pinjaman kereta dinaikkan daripada RM60,000 kepada RM70,000.
Bagi gred 41 hingga 54, had kelayakan dinaikkan daripada RM55,000 kepada RM65,000.
Bagi kumpulan sokongan, had kelayakan dinaikkan daripada RM45,000 kepada RM55,000.

Pendidikan/Latihan
RM200 juta untuk pendidikan awal kanak-kanak di peringkat umur satu hingga enam tahun.RM200 juta kepada empat kumpulan sekolah iaitu RM50 juta untuk sekolah agama bantuan kerajaan, RM50 juta untuk "mission school", RM50 juta untuk SJK Cina dan RM50 juta untuk SJK Tamil.Sebanyak RM200 juta bagi membiayai program daripada institusi latihan swasta dan pesertanya terdiri daripada golongan belia dan beliawanis daripada semua kaum.

Jalan/Pengangkutan
RM500 juta untuk membina, menaik taraf jalan di luar bandar, jalan kampung dan jalan pertanian termasuk di Sabah dan Sarawak.RM500 juta bagi menyelenggara dan memantapkan lagi sistem pengangkutan awam khususnya sistem LRT, Komuter dan sistem bas di bandar utama.

Peniaga Kecil
Untuk membantu usahawan yang menjalankan perniagaan kecil, Bank Negara Malaysia akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak RM200 juta bagi melaksanakan skim mikro kredit.

[Selanjutnya]

Wednesday, October 29, 2008

Soalan Minggu Ini: Mengapa Perlunya ISA Dipertahankan

Kebelakangan ini Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hangat diperkatakan apabila berbagai pihak memberikan pandangan sama ada akta tersebut perlu dihapuskan atau dikaji semula. Malah isu tersebut jugalah yang menyebabkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim meletakkan jawatan kerana mempertahankan kenyataan beliau ISA perlu dikaji semula. 

Pelbagai alasan dibangkitkan. Antaranya, akta tersebut tidak lagi dianggap relevan dan melanggar hak asasi manusia. Semua ini berpunca daripada timbulnya rasa tidak puas hati segelintir rakyat negara ini terhadap penahanan seorang wartawan, seorang ahli politik dan seorang penulis blog baru-baru ini. 

Rasional ISA mula dipersoalkan dan elemen utama yang menjadi tonggak kenapa akta tersebut diwujudkan juga tidak lagi diambil peduli. Semuanya berkisar tentang kebebasan bersuara. Kebebasan untuk menyuarakan pandangan dan pendapat tetapi mereka tidak sedar apa yang mereka suarakan ibarat mencurah minyak ke dalam api. 

Malangnya ISA yang dianggap sebagai satu undang-undang yang baik, kerap kali disalah ertikan dan dijadikan mainan politik pihak berkepentingan. Sejak diperkenalkan pada 1960 sebagai undang-undang pencegahan bertujuan untuk membanteras kegiatan subersif komunis, ISA memberi impak yang begitu besar kepada keamanan, kemakmuran dan pembangunan negara. Dakwaan ISA sudah ketinggalan zaman tidak tepat kerana akta tersebut sudah melalui pindaan dan prosedurnya juga sudah banyak berubah berbanding peringkat awal ia dilaksanakan. 

ISA yang bersifat sebagai akta pencegahan kini turut digunakan oleh negara-negara Barat dalam bentuk dan perlaksanaan yang berbeza-beza. Amerika Syarikat (AS) umpamanya yang selama ini adalah pengkritik ISA juga mempunyai akta pencegahan yang dikenali sebagai Akta Patriot yang digubal selepas kejadian serangan 11 September 2001. Begitu juga Britain yang mempunyai Akta Anti Pengganas. Kebanyakan negara kini mula melihat kepentingan untuk mencegah sebelum sesuatu perkara yang timbul sukar dikawal sehingga menganggu gugat kepentingan dan keselamatan negara. 

Di sebahagian besar negara-negara yang tidak mempunyai akta pencegahan seperti India dan Indonesia, masalah keganasan sehingga menggugat ketenteraman awam dan kestabilan negara menjadi satu ancaman yang tidak ada kesudahannya. Berdasarkan situasi sebeginilah kerajaan melihat kewajaran untuk ISA dipertahankan walaupun ada suara-suara ingin akta tersebut dimansuhkan sama sekali atau dipinda mengikut kesesuaian masa dan keadaan.

Pengalaman yang Malaysia lalui dan apa yang berlaku di negara-negara lain meyakinkan kerajaan bahawa ISA masih relevan terutama untuk menjaga keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam. Ini kerana penahanan di bawah ISA sebagai satu langkah tindakan cepat untuk mengelak sesuatu kejadian menjadi lebih buruk sehingga sukar dikawal.

Dalam soal ini, ISA perlu dilihat sebagai satu usaha untuk melindungi kepentingan umum dan negara. Sebarang cubaan untuk menghapuskan atau melakukan pindaan perlu diperhalusi tanpa menjejaskan matlamat sebenar akta tersebut diwujudkan. Cadangan-cadangan dan desakan yang ditimbulkan kebelakangan ini jelas lebih kepada kepentingan politik pihak tertentu – menggunakan isu tersebut untuk meraih sokongan rakyat. Sedangkan hakikatnya, sebahagian besar rakyat tidak begitu memahami kenapa ISA diwujudkan dan kenapa ia perlu dipertahankan? 

ISA merupakan pendekatan yang paling berkesan untuk mencegah dan bukan mengambil tindakan selepas ancaman berlaku. Ia lebih menitikberatkan soal atau aspek keselamatan negara dan ketenteraman awam mengatasi kepentingan mana-mana individu. Malah ISA juga merupakan asas kepada pembinaan negara serta penting dalam memastikan keamanan terus terpelihara.

Namun disebalik segala kebaikan itu, masih ramai yang melihat atau mengaitkan ISA dengan ketidakadilan dan wujudnya campurtangan politik. Sedangkan majoriti rakyat beranggapan sebaliknya. Majoriti yang menyokong bukan bersandarkan kepada isu kaum, budaya, agama atau kepentingan mana-mana individu yang ditahan tetapi lebih kepada rasa takut tercetusnya pergaduhan dan perselisihan yang boleh memporak perandakan negara. 

Kesannya cukup besar. Ketidakstabilan politik berkait rapat dengan ekonomi sesebuah negara. Ketidakstabilan politik akan menjauhkan pelabur. Asas pembentukan Malaysia berbeza dengan negara-negara lain. Situasi semasa, isu-isu sensitif yang dibangkitkan boleh menimbulkan kegelisahan dan kemarahan kaum. Kita perlu menerima hakikat berada dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan kepercayaan, masih banyak sensitiviti yang perlu dipelihara dan dikawal supaya tidak menjadi konflik terbuka seterusnya menjerumuskan negara ke kancah huru-hara dan ketidakstabilan.

Apa pandangan anda dalam soal ini?

[Selanjutnya]

Tuesday, October 7, 2008

Penurunan Harga Minyak : Perlu Dilihat Daripada Sudut Positif

Selari dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia yang kini berada sekitar AS$109 berbanding AS$140 pada Mei lalu, kerajaan mengambil langkah menurunkan harga runcit petrol RON97 dan RON92 sebanyak 10 sen iaitu masing-masing daripada RM2.55 seliter kepada RM2.45 seliter dan RM2.40 seliter kepada RM2.30 seliter berkuat kuasa 26 September ini.

Pada masa sama, harga runcit diesel juga dikurangkan 10 sen iaitu daripada RM2.50 seliter kepada RM2.40 seliter. Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira harga purata minyak dunia sebulan terakhir ini yang mengalami penurunan yang ketara. Ini merupakan langkah pelarasan yang kedua dibuat oleh kerajaan sejak 23 Ogos lalu. Bermakna, dalam tempoh tiga bulan lalu kerajaan telah menurunkan harga petrol sebanyak 25 sen seliter.

Walaupun rakyat menaruh harapan tinggi agar kerajaan menurunkan harga minyak kepada satu paras 'munasabah', seiring dengan aliran penyusutan harga minyak dunia, pengurangan sebanyak 10 sen tersebut adalah nilai pengurangan maksimum yang mampu diberi oleh kerajaan pada masa ini. Ini kerana langkah tersebut dibuat dengan mengaplikasikan formula yang diguna pakai oleh kerajaan dalam menentukan harga minyak sebelum ini.

Langkah penurunan harga minyak ini sekali gus diharap dapat meringankan beban yang ditanggung rakyat yang akan pulang menyambut Aidilfitri hujung bulan ini.

Dengan penurunan sebanyak 10 sen ini, golongan peniaga diharap akan berlaku lebih adil dalam urusan jual beli. Alasan kenaikan harga minyak sebelum ini memaksa mereka untuk menaikan harga barangan bagi menampung kos sewajarnya difikirakan semula bagi mengelak inflasi yang lebih teruk memandangkan harga barang keperluan dan makanan masih kekal tinggi.

Ini kerana kenaikan harga minyak selalunya akan menyebabkan barangan keperluan dan makanan juga naik. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Penurunan harga minyak tidak menyebabkan harga barang keperluan dan makanan turun. Akibatnya, pengguna terpaksa pula menggunakan perbelanjaan yang dapat dijimatkan untuk membeli petrol kepada membeli barangan keperluan dan makanan yang agak tinggi.

Hakikatnya, selagi harga barangan terutamanya berupa makanan tidak diturunkan pada kadar mampu beli, selagi itu paras inflasi akan terus meningkat. Ini kerana Indeks Harga Pengguna (IHP) bukan sahaja ditentukan oleh harga minyak tetapi juga berkait rapat dengan makanan.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menunaikan peranan masing-masing supaya paras IHP di negara kita tidak melonjak. Walaupun penurunan harga minyak ini tidak seperti yang diharapkan oleh rakyat, sekurang-kurangnya ia menunjukkan tanda positif harga pasaran minyak dunia akan kembali ke tahap asal.

Sebagai pengguna, apakah pandangan anda dalam soal ini?

[Selanjutnya]

Thursday, September 25, 2008

Ringgit Tidak Akan Ditambat

Walaupun wujud gesaan agar kerajaan mengambil pendekatan menambat semula ringgit bagi mengurangkan impak kejatuhan nilai dolar amerika terhadap mata wang ringgit yang boleh memberi kesan buruk kepada ekonomi negara, kerajaan tidak bercadang melaksanakannya. Sebaliknya kerajaan komited untuk membenarkan pasaran menentukan nilai mata wang negara.

Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak, nilai ringgit pada masa ini adalah stabil malah beliau yakin kestabilan mata wang negara itu mampu menghadapi senario ekonomi semasa.

Cadangan menambat semula ringgit itu disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Menurut beliau jika nilai ringgit ditambat pada kadar tertentu, ia akan dapat menstabilkan kadar tukaran mata wang asing dan memberikan keuntungan kepada negara. Kaedah menambat ringgit dilakukan pada 1997 di mana kadar tukaran ringgit ditetapkan pada RM3.80 bagi setiap dolar AS sebagai sebahagian langkah kawalan modal berpilih bagi mengelakkan ekonomi negara terus meleset. Bagaimanapun, amalan itu dimansuhkan pada 21 Julai 2005 dan sejak itu nilai ringgit ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding beberapa mata wang asing terpilih

Bagaimanapun pakar-pakar ekonomi menganggap usaha menambat semula ringgit ketika ketidaktentuan ekonomi global hari ini tidak lagi dianggap realistik dan pratikal kerana perdagangan negara tidak hanya bergantung kepada Amerika Syarikat semata-mata.



Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berpendapat saranan itu perlu diteliti kerana suasana tambatan ringgit pada 1997 tidak sama dengan senario ketidaktentuan ekonomi global ketika ini yang berpunca daripada krisis subprime di Amerika Syarikat sehingga menyebabkan beberapa bank utama negara itu bankrap. Beliau berpendapat walaupun beberapa makenisme tertentu tambatan ringgit itu boleh diguna pakai semula tetapi yang lebih penting ialah kerajaan perlu sentiasa mengawal inflasi, memantapkan sektor pelaburan, memperkukuhkan industri kewangan dan menggerakan ekonomi domestik.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz juga menganggap cadangan menambat semula ringgit hanya akan menjejaskan ekonomi negara. Menurut beliau apa yang negara perlukan sekarang ialah kestabilan dan bukan sesuatu yang tega.

Apakah pandangan anda dalam soal ini? Apakah saranan anda kepada kerajaan untuk memastikan ekonomi negara dan kestabilan ringgit terus terpelihara?


Selepas pemansuhan itu, nilai ringgit telah meningkat perlahan-lahan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan pengembangan perdagangan selepas ditolak sebarang turun naik mata wang.

Tambatan ringgit pada RM3.80 bagi satu dolar As pada 1998 – membantu menstabilkan mata wang dan ekonomi melaysia serta membantu Negara pulih lebih pantsa berbanding Thailand dan Indonesia yang bergantung kepada formula ekonomi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Tambatan mata wang itu dijalankan serentak dengan kawalan modal terpilih untuk melindungi Malaysia daripada kelembapan ekonomi dunia.

PUTRAJAYA 22 Sept.

[Selanjutnya]

Friday, September 5, 2008

Diesel Subsidi Bagi Bas Tambahan

Pengusaha bas tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak menyediakan perkhidmatan bas tambahan menjelang Aidilfitri berikutan keputusan kerajaan memberi sehingga 9,000 liter diesel subsidi untuk setiap bas tambahan yang disediakan oleh pengusaha bas ekspress mulai 15 September ini.

Pemberian diesel yang diputuskan oleh kabinet itu bakal membabitkan tambahan subsidi kerajaan di antara RM100 juta hingga RM150 juta. Keputusan itu juga dibuat bagi memastikan sebilangan besar rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan bas awam untuk pulang beraya di kampung dapat meneruskan tradisi tersebut. Lebih-lebih lagi apabila semua tiket bas ekspress bagi perjalanan destinasi-destinasi penting bermula 26 September hingga 30 September telah habis dijual.

Dengan pemberian diesel subsidi serta surcaj 30 peratus terhadap tambang dan pengurangan kadar tol, akan menyelesaikan segala masalah dan memudahkan pengusaha bas menambah bilangan bas untuk memenuhi keperluan menjelang Aidilfitri.

Pengusaha bas ekspres sebelum ini mendakwa kuota diesel subsidi yang diberikan kerajaan serta surcaj 30 peratus terhadap tambang sekarang, tidak mencukupi untuk menampung kos operasi bas tambahan itu. Berikutan itu, mereka mengancam untuk tidak menyediakan perkhidmatan bas tambahan pada perayaan Aidilfitri kali ini hingga mencetuskan kebimbangan orang ramai, terutama selepas tiket bas ke semua destinasi dilaporkan habis sebelum puasa lagi.

Mereka mendakwa surcaj sebanyak 30 peratus tidak mencukupi untuk menyediakan bas tambahan kerana selalunya pada musim perayaan perjalanan sehala dipenuhi penumpang yang balik ke kampung, tetapi tidak bagi perjalanan sebaliknya dan pada musim perayaan sebegini mereka mendakwa mengalami kerugian sehingga 50 peratus.

Tambahan pula dengan kesan kenaikan kos operasi penyelenggaraan dan kenaikan harga diesel. Dan surcaj 30 peratus pula, menurut mereka tidak mencukupi untuk dijadikan modal bagi tujuan penyewaan bas tambahan. Apa pandangan anda?


[Selanjutnya]

Saturday, August 30, 2008

Bajet 2009 Utamakan Rakyat

Seperti yang dijanjikan, bajet kali ini yang bertemakan ‘Kerajaan Prihatin’ lebih mengutamakan rakyat di mana strategi-strategi yang dirumus membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mendengar rintihan rakyat dan bertindak untuk meringankan beban setiap lapisan masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Sejumlah RM207.9 bilion diperuntukkan di mana RM154.2 bilion dicadangkan untuk belanja mengurus sementara RM53.7 bilion untuk pembangunan dengan memberikan tumpuan kepada tiga stretegi khusus iaitu untuk menjamin kesejahteraan rakyat; membangunkan modal insan berkualiti; dan memperkukuhkan daya tahan negara.

Bagi mengurangkan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah berikutan kenaikan kos sara hidup, Kerajaan mengumumkan untuk menaikkan tahap pendapatan isi rumah yang layak menerima bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat daripada RM400 sebulan sekarang kepada RM720 untuk Semenanjung, RM830 untuk Sarawak dan RM960 untuk Sabah. Lebih menarik apabila jasa pesara penjawat awam tidak dilupakan di mana mereka yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan menerima pencen tidak kurang daripada RM720 sebulan mulai 1 Jan tahun depan.

Bagi meningkatkan kuasa membeli golongan berpendapatan rendah, kerajaan juga mencadangkan rebat cukai RM350 seorang yang diberikan pada masa ini, dinaikkan kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000 dan ke bawah. Bermakna, seramai 100,000 pembayar cukai dalam golongan tersebut tidak lagi dikenakan cukai.


Usaha mempertingkatkan sistem pengangkutan awam bagi menggalakkan orang ramai menggunakannya lebih-lebih lagi dengan kenaikan pelbagai kos hidup termasuk kenaikan bahan bakar. Untuk itu, juga diberikan tumpuan. Sejumlah RM35 bilion akan dibelanjakan dari tahun 2009 hingga 2014 untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan awam, yang melibatkan projek-projek meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel sedia ada, membina laluan rel baru, menambah bilangan bas serta menyediakan kemudahan infrastruktur berkaitan.


Turut diberikan tumpuan ialah dasar jaminan makanan, yang membabitkan pelaksanaan pelbagai program pertanian bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi di mana bagi menjayakan program itu, sejumlah RM5.6 bilion diperuntukkan di bawah Dasar Jaminan Makanan bagi tempoh 2008 hingga 2010, yang antara lain adalah untuk pembayaran insentif kepada pengusaha pertanian bagi mengurangkan beban kenaikan kos pengeluaran dan menggalakkan peningkatan pengeluaran hasil tani.

Umumnya bajet kali ini sememangnya menepati aspirasi rakyat sekali gus menunjukkan keperihatinan Kerajaan terhadap permasalahan rakyat yang terpaksa menanggung peningkatan pelbagai kos akibat suasana ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.

Apakah pandangan anda tentang bajet kali ini?


[Selanjutnya]

Tuesday, August 5, 2008

Soalan Minggu Ini: Apa Yang Anda Harapkan Dalam Bajet 2009?



Kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang memberi jaminan Bajet 2009 yang akan dibentang hujung tahun ini tidak akan membebankan rakyat, sudah pasti memberi satu kelegaan besar kepada rakyat. Lebih-lebih lagi jaminan beliau tersebut bakal memihak kepada rakyat di peringkat bawahan yang kini berdepan dengan kesukaran akibat kenaikan harga minyak, barangan makanan dan perkhidmatan.


Bajet 2009 juga menurut beliau akan memberikan tumpuan untuk menyelesaikan isu-isu besar yang menjadi kegelisahan rakyat kebelakangan ini. Antara yang akan diberi tumpuan adalah untuk menyedia kemudahan pengangkutan awam yang cekap dan berkesan. Langkah tersebut bertujuan untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat berikutan peningkatan mendadak kos bahan bakar di samping menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Apakah syor anda kepada pihak kerajaan?

[Selanjutnya]

Kenaikan Tambang Bas: Kepentingan Semua Pihak Diambil Kira



Walaupun banyak rungutan dan gesaan agar kerajaan mengkaji semula cadangan menaikan tambang bas ekspress dan bas henti-henti di seluruh negara, Kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk menaikkan kadar tambang tersebut tetapi tetapi bukan 100 peratus seperti yang diminta Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA).

Bagaimanapun, kadar baru itu hanya akan diumumkan sebelum Hari Raya Aidilfitri Oktober ini. Apa yang pasti, kenaikan tersebut sama sekali tidak akan membebankan pengguna dan kenaikan tersebut sememangnya tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan kos operasi yang terpaksa ditanggung pengusaha industri pengangkutan awam.



Walaupun pada dasarnya industri pengangkutan awam di negara ini termasuk perkhidmatan bas memperoleh bantuan subsidi diesel yang agak besar daripada kerajaan, namun ia masih tidak dapat menampung kos operasi yang semakin meningkat terutamanya daripada aspek penyelenggaraan dan alat ganti kenderaan yang mahal termasuk membayar gaji pekerja. Malah kali terakhir tambang bas di negara ini ialah pada tahun 2005.

Walaupun kerajaan sedar akan implikasinya terutama kepada pengguna kenderaan awam yang rata-rata adalah golongan berpendapatan rendah, keadaan tersebut tidak dapat dielakkan dan semua pihak perlu melihat tindakan kerajaan ini daripada sudut positif kesan daripada kenaikan harga minyak global. Keputusan ini dibuat setelah kerajaan membuat pertimbangan daripada pelbagai aspek dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, baik di kalangan pengguna mahu pun pengusaha bas.



Ini kerana kerajaan juga perlu memikirkan nasib pengusaha bas dan membantu mereka mengurangkan kerugian akibat kenaikan kos operasi atau berdepan dengan risiko terpaksa menutup operasi. Sehubungan itu, kerajaan akan memastikan kenaikan tambang bas ekspress dan henti-henti ini tidak akan membebankan orang ramai dan dalam masa yang sama memastikan nasib pengusaha bas juga terbela.

Oleh itu, pengguna pengangkutan awam perlu melihat tindakan kerajaan ini daripada susut positif demi kepentingan semua pihak. Tambahan pula pengguna pengangkutan awam hari ini mempunyai begitu banyak pilihan dan tawaran pelbagai yang wujud hasil persaingan sengit pengusaha bas ekspress.



Walaupun kerajaan bersetuju memenuhi tuntutan pengusaha bas, langkah tersebut sewajarnya disusuli dengan kesungguhan mereka untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih efisyen dan memuaskan pengguna.


[Selanjutnya]

Thursday, July 31, 2008

Persoalan Di Sebalik Penyelarasan Tarif Elektrik



Tarif elektrik baru mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2008. Rasional di sebalik kenaikan tariff ini merupakan langkah penyelerasan tariff elektrik disebabkan peningkatan harga bahan api utama penjanaan elektrik iaitu gas dan arang batu. Banyak persoalan yang timbul berikutan langkah kerajaan menaikkan tariff elektrik sedangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperoleh keuntungan besar.

Umpamanya bagi tahun kewangan 2007, TNB memperoleh keuntungan sebanyak RM1.4 bilion. Bagaimanapun keuntungan tersebut tidak dapat menampung obligasi kewangan tahunan yang perlu dipenuhi iaitu, jumlah pinjaman sebanyak RM21 bilion, perbelanjaan modal sebanyak RM4 hingga RM5 bilion, perbelanjaan operasi yang tinggi termasuk pembayaran kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP) sebanyak RM17 bilion pada 2006 dan RM18 bilion pada 2007 dan nilai asset melebihi RM60 bilion.

Oleh itu Returns on Asset (RoA) TNB pada 6.3 peratus adalah sebenarnya lebih rendah daripada perbelanjaan modal iaitu 7.7 peratus. Penyelerasan tarif ini semata-mata untuk menampung kenaikan harga bahan api dan tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada TNB.

Dalam pada itu sebanyak 52 peratus bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia dibekalkan daripada loji-loji jana kuasa gas sementara 43 peratus lagi daripada arang batu. Persoalan-persoalan yang ditimbulkan di bawah ini diharap mampu memberi gambaran jelas disebalik isu kenaikan tariff elektrik yang diumumkan Kerajaan baru-baru ini.





Apakah kadar peningkatan harga gas kepada sektor elektrik?
Kerajaan telah bersetuju mengurangkan diskaun harga gas kepada sektor elektrik sebanyak 70 peratus daripada harga pasaran. Dengan erti kata lain, sektor elektrik perlu membayar harga gas pada kadar 30 peratus daripada harga pasaran. Ini bermakna harga gas kepada sektor elektrik akan dinaikkan daripada RM6.40MMBtu kepada RM14.31MMBtu mulai 1 Julai 2008.

Apakah yang dimaksudkan dengan harga pasaran?
Harga gas ditentukan berdasarkan kontrak yang ditandatangani antara pihak pembekal dengan pihak pembeli. Setiap kontrak mempunyai formula pengiraan harga gas yang berbeza. Harga gas yang digunakan untuk menjanaan elektrik adalah disandarkan kepada harga bahan api alternatif yang digunakan oleh pembeli. Sekiranya sebelum ini pembeli menggunakan Medium Fuel Oil (MFO) sebagai bahan api alternatif, maka harga gas akan disandarkan kepada harga MFP manakala MFO pula bergantung kepada harga minyak mentah di pasaran.

Apakah harga pasaran yang dimaksudkan dalam konteks harga gas kepada sektor elektrik di Malaysia?
Harga pasaran yang dimaksudkan ialah harga yang telah dipersetujui di dalam Gas Sales Agreement (GSA) yang ditandatangani di antara Petronas dan penjana-penjana elektrik iatu TNB dan penjana bebas atau Independent Power Producers (IPP). Harga ini disandarkan kepada harga MFO oleh kerana pada masa itu bahan api alternatif bagi penjanaan elektrik ialah MFO.

Apakah formula yang diguna pakai bagi menentukan harga pasaran ini?
Formula yang diguna pakai bagi menentukan harga pasaran ini ialah seperti berikut:

Harga gas kepada sektor elektrik = 1.04 x Harga Medium Fuel Oil

Apakah Medium Fuel Oil?
Medium Fuel Oil atau MFO merupakan bahan api yang digunakan di loji-loji jana kuasa sebagai standby fuel bagi menggantikan bahan api gas sekiranya berlaku gangguan belakan gas.

Bagaimana harga MFO ditentukan?
Harga MFO ditentukan berdasarkan formula tertentu yang disandarkan kepada harga minyak mentah. Secara ringkasnya, sekiranya harga minyak mentah di pasaran ialah AS$120/tong, harga MFO ialah AS$90/tong. Sekiranya harga minyak mentah ialah AS$100/tong, harga MFO ialah lebih kurang AS$70/tong.

Bagaimanakah harga gas kepada sektor elektrik ditetapkan pada RM14.31/MMBtu mulai 1 Julai 2008?
Pengiraan harga gas pada kadar RM14.31/MMBtu dibuat berasaskan keputusan kerajaan supaya sektor elektrik dikenakan harga gas pada kadar 30 peratus daripada harga pasaran iaitu:
Harga gas sektor elektrik (RM/MMBtu) = 0.3 x 1.04 x MFO (USD/barrel)

Oleh kerana harga MFO di pasaran pada masa ini ialah USD$90/tong, harga gas kepada sektor elektrik ialah:



Apakah dengan kenaikan ini, TNB dapat menampung kesan kenaikan kos bahan api?
Tidak, kenaikan ini hanya dapat menampung sebahagian daripada kenaikan harga bahan api dan dan arang batu. Pada tahun ini TNB dijangka membelanjakan RM5.62 bilion bagi menampung kos bahan api sedangkan hasil jualan elektrik yang dijangka diperoleh oleh TNB hanyalah RM5.31 bilion sahaja. Ini atas andaian kadar pertumbuhan dalam jualan elektrik sebanyak 6 peratus.

Kenapakah sebarang kenaikan harga bahan api perlu dilepaskan kepada TNB dan para pengguna sahaja? Kenapakah pihak IPP tidak turut menanggung kesan kenaikan bahan api ini sedangkan mereka mendapat keuntungan yang banyak?
Sebarang kenaikan harga bahan api akan ditanggung sepenuhnya oleh TNB disebabkan elemen fuel cost pass through yang terkandung dalam Power Purchase Agreement yang ditandatangani dengan IPP.



Adakah ini bermakna bahawa pihak IPP tidak menanggung sebarang kos bahan api?
Betul, semuanya ditanggung oleh TNB.

Tidakkah kerajaan boleh berbuat sesuatu untuk mengubah terma fuel-cost pass through ini?
Kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa kerana Power Purchase Agreement adalah merupakan perjanjian yang ditandatangani secara komersil oleh TNB dan IPP.

Apakah langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk memastikanm supaya IPP turut sama menanggung kesan kenaikan harga bahan api?
Semasa mengumumkan kenaikan tariff elektrik baru-baru ini, Kerajaan turut mengumumkan bahawa IPP akan dikenakan windfall levy atau cukai keuntungan berlebihan supaya pihak IPP turut membantu Kerajaan mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Apakah yang dimaksudkan dengan windfall levy?
IPP dikenakan levi keuntungan luar biasa apabila RoA melebihi 9 peratus (threshold) dengan kadar levi yang dikenakan sebanyak 30 peratus ke atas lebihan keuntungan sebelum faedah dan cukai daripada paras threshold.

Kenapakah kerajaan tidak menggalakkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui (RE) sebagai langkah untuk mengurangkan pengantungan kepada bahan api fosil seperti gas dan arang batu?
Kerajaan memang menggalakan penggunaan RE untuk menjana elektrik. Sumber-sumber yang digalakkan untuk menjana RE ialah biomass, biogas, mini hidro, solar photovoltaic dan sisa buangan bandaran. Walaupun demikian, penggunaan RE untuki penjanaan elektrik memerlukan kos yang tinggi berbanding bahan api fosil yang lain. Tambahan pula teknologi yang ada pada masa sekarang tidak membolehkan RE digunakan untuk menjana elektrik dalam kuantiti yang besar.

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi kenaikan tariff elektrik?
Pengguna disaran supaya menggunakan elektrik dengan lebih cekap dan berhemah. Contohnya pengguna boleh menggunakan lampu yang cekap tenaga untuk menjimatkan elektrik. Bagi rumah-rumah yang berhawa dingin pula, penjimatan boleh dibuat dengan melyelaraskan thermostat pada suhu di antara 23 – 25 darjah celcius. Langkah-langkah mudah seperti ini bukan sahaja dapat mengurangkan bil elektrik pengguna malah dapat membantu kerajaan menangguhkan pembinaan loji-loji jana kuasa baru yang sudah tentu akan menelan belanja yang besar.

Bagi sektor industri dan bangunan (komersil dan awam), banyak langkah penjimatan tenaga boleh diambil. Pengguna di sektor industri digalakkan menjalankan audit tenaga di premis masing-masing untuk menilai status penggunaan tenaga. Langkah kecekapan tenaga yang lebih komprehensif dapat diambil dengan mengambil kira hasil audit. Ini termasuklah menggantikan peralatan lama yang tidak cekap tenaga dengan peralatan cekap tenaga. Panduan kepada pengauditan tenaga disediakan dalam penerbitan Malaysia Industrial Energy Audit Guidelines oleh Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, Pusat Tenaga Malaysia, United Nations Development Programme dan TNB sendiri.

Bagi membantu pihak industri mengamalkan kecekapan tenaga, garis panduan Energy Efficiency and Conservation Guidelines for Malaysian Industries Part 1 : Electrical Energy – Use Equipments yang melibatkan 8 sub-sektor yang berintensif tenaga telah dilancarkan pada 31 Julai 2007. Garis panduan ini memberi panduan kepada pihak industri untuk menguruskan tenaga elektrik dengan lebih cekap dan memilih amalan terbaik (best practices) yang sesuai dalam penyelenggaraan peralatan dan kelengkapan elektrik di kilang/premis masing-masing. 


[Selanjutnya]

Wednesday, July 9, 2008

Koperasi Untuk Bantu Rakyat Miskin



Nasib golongan miskin terutama dalam kategori tegar akan lebih terbela apabila Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDC) akan mewujudkan sebuah koperasi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) khusus untuk meringankan beban dan penderitaan mereka.

Koperasi Bela Rakyat (Kobera) seperti yang diumumkan oleh Menterinya, Datuk Noh Omar telah pun dipersetujui melalui mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan dan akan dimulakan dalam masa terdekat ini.

Sebagai langkah permulaan MECD akan menyerahkan dana berjumlah RM30,000 bagi setiap DUN untuk memulakan koperasi di mana rakyat miskin yang menjadi ahli diberikan saham bernilai RM100 seorang. Dengan jumlah tersebut seramai 300 orang penduduk miskin akan mendapat manfaat membangunkan koperasi dan jika segalanya berjalan lancar, mereka berpeluang untuk menambah saham mereka dalam Kobera.

Menariknya Kobera terbuka kepada semua kaum termasuk masyarakat orang Asli. Langkah Kerajaan melalui MEDC ini bertujuan untuk meringankan beban penduduk miskin tegar sekali gus membawa mereka ke dalam kelompok masyarakat tanpa rasa tersisih.
[Selanjutnya]

Peruntukan Pinjaman RM300 Juta: IKS Perlu Rebut Peluang

Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) disaran merebut peluang memodenkan perusahaan mereka menerusi pinjaman dan geran yang diperuntukkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (smidec) berjumlah RM300 juta. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat gesaan itu berikutan sambutan dingin pengusaha IKS walaupun tabungan pinjaman mudah Smidec itu hanya mengenakan kadar faedah serendah empat peratus.

Setakat ini hanya 11 daripada keseluruhan 590,000 pengusaha IKS di seluruh negara memanfaatkan pinjaman dan geran tersebut membabitkan pinjaman sebanyak RM56 juta. Sama ada pengusaha IKS maklum atau tidak dengan kewujudan pinjaman dan geran yang diperuntukan itu, Tan Seri Muhyiddin Yassin menggesa pengusaha IKS berhubung terus dengan Smidec atau agensi-agensi di bawah kementerian lain.
Menurut beliau peluang itu perlu direbut oleh pengusaha IKS dalam usaha untuk memodenkan dan meningkatkan daya produktiviti tambahan pula dengan kenaikan kos bakar dan penstrukturan semula harga minyak baru-baru ini.

Dalam keadaan sekarang beliau juga menyeru pengusaha IKS memandang serius langkah-langkah untuk memodenkan operasi di samping mencari jalan untuk mengurangkan kos bukan sahaja untuk jangka pendek tetapi juga untuk jangka panjang.

Tambah beliau, tanpa sebarang inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran menerusi penggunaan mesin moden dan alat yang mampu menjimatkan tenaga elektrik, sektor IKS bakal berdepan dengan peningkatan kos dalam tempoh setahun dua akan datang.


[Selanjutnya]

Tuesday, July 1, 2008

RM1.6 Bilion Untuk Tingkatkan Pengeluaran Padi dan Beras Negara

Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan sejumlah RM1.6 bilion untuk memajukan sektor pertanian termasuk di Sabah dan Sarawak dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi dan beras negara. Usaha tersebut adalah lanjutan daripada langkah dan usaha kerajaan bagi memastikan bekalan beras untuk kegunaan tempatan tidak terjejas. Melalui peruntukan itu juga, pihak kementerian yakin dapat meningkatkan pengeluaran padi daripada 72 peratus sekarang kepada 86 peratus menjelang 2010. Secara tidak langsung usaha tersebut mampu mempertingkatkan pendapatan rakyat di luar bandar seterusnya meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat akibat keadaan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.

Melihat kepada kedudukan semasa bekalan makanan dunia ketika ini, jelas permintaan ke atas beras meningkat mendadak sedangkan bekalannya di seluruh dunia tidak stabil disebabkan oleh beberapa faktor. Selain pengeluaran padi dunia yang tidak meningkat, tindakan negara-negara pengeskport utama beras dunia seperti India, Thailand dan Vietnam mengurangkan eksport, menjadikan bekalan beras dunia berkurangan dan harganya meningkat mendadak. Ia diburukkan lagi oleh keadaan di mana sebahagian besar penduduk dunia kini beralih menjadikan beras sebagai makanan ruji apabila bijirin lain seperti soya, jagung dan gandum dialih guna untuk pengeluaran bio-fuel dan makanan ternakan.

Langkah jangka panjang yang diambil oleh kerajaan ini termasuk memaju dan membuka kawasan penanaman padi baru terutama di Sarawak dan membaik pulih kawasan-kawasan sawah terbiar adalah usaha bagi menjamin bekalan beras untuk kegunaan tempatan terjamin. Ia juga merupakan langkah persediaan untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan ketika masyarakat dunia hari ini mula berdepan dengan krisis barang makanan yang berpuca daripada banyak faktor.



Profil Beras Negara (2007)

Subsidi Padi: RM923 juta


Subsidi Padi



  • i) Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP)
  • Bantuan ini diberi dalam bentuk baja iaitu 240 kg setiap hektar bagi baja sebatian (12 kg beg @ 20kg/ beg) dan 80kg baja urea setiap hektar (4 beg @ 20 kg/beg).
  • ii) Skim Subsidi Harga Padi (SSHP)
  • Kadar bayaran yang diberi kepada pesawah adalah sebanyak RM248.10 bagi setiap tan metrik.
  • iii) Insentif Pengeluaran Padi (IPP) – Baja Tambahan dan Bantuan Pembajakan
  • Insentif diberi untuk mengurangkan kos pengeluaran. Nilai insentif ini ialah sebanyak RM240.00 setiap hektar semusim. diberikan kepada semua pengusah sawah dalam dua bentuk iaitu; bantuan upah membajak bernilai RM100.00 setiap hektar semusim dan bantuan input pertanian (baja tambahan) bernilai RM140.00 setiap hektar semusim.
  • iv) Insentif Peningkatan Hasil (IPH)
  • Insentif ini diberi kepada pesawah dengan kadar RM650.00 setiap tan kenaikan. Ianya diberi apabila terdapat peningkatan hasil sekurang-kurangnya 1% daripada musim asas.
  • v) Insentif Benih Padi Sah
  • Insentif diberikan sebanyak RM0.50 sekilogram kepada pengeluar-pengeluar Benih Padi Sah. Pelaksanaan program penggunaan Benih Padi Sah bermula Januari 2009.
Peningkatan Pengeluaran Beras: RM803 juta

Dasar Jaminan Bekalan Makanan

1. Meningkatkan pengeluaran dan produktiviti sektor agro makanan bagi memenuhi tahap sara
diri.

2. Memastikan bekalan bahan makanan mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan.

3. Memastikan pengusaha pertanian mendapat pendapatan yang setimpal bagi menjamin
pengeluaran bahan makanan tidak terjejas.


Keputusan Kerajaan Berkuatkuasa 1 Jun 2008

1. Menetapkan harga maksimum :
  • Beras Super Tempatan (ST) 15% pada harga RM1.80 sekilogram
  • Beras Super Special Tempatan (SST) 5% pada harga RM2.80 sekilogram
  • Beras Super Special Tempatan (SST) 10% pada harga RM2.70 sekilogram
2. Menyeragamkan harga untuk beras gred ST 5%, SST 10% dan SST 15% di Sabah, Sarawak
dan Semenanjung .
3. Harga beras import akan diapungkan, contohnya: Beras Basmati, Beras Pulut dan Beras
Wangi Thai.
4. Langkah-langkah ini akan melibatkan subsidi Kerajaan Persekutuan kepada pengguna di
Negeri Sabah sebanyak RM243.7 juta dan Negeri Sarawak sebanyak RM162.5 juta.

Pelaksanaan




[Selanjutnya]

Thursday, June 19, 2008

Kenaikan Harga Minyak Dunia dan Penjelasan Petronas



Isu kenaikan harga minyak dan langkah kerajaan menstruktur semula harga minyak sedikit sebanyak mengheret Petronas dalam isu tersebut. Bagi menjelaskan kekeliruan dan prasangka rakyat terhadap isu tersebut, RTM melalui rancangan Bersemuka Bersama Media pada 17 Jun 2008 lalu, mengambil inisiatif menampilkan Presiden & Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican untuk menjelaskan tentang isu tersebut dan peranan Petronas dalam pembangunan negara serta senario semasa yang dihadapi oleh Petronas dalam isu kenaikan harga minyak.

Bersama Tan Sri Hassan Marican adalah dua wakil dari media masing-masing dari Bernama iaitu Mikhail Raj Abdullah dan Ahmad Azam Mohd Aris dari akhbar The Edge sementara Datuk Johan Jaafar bertindak sebagai moderator.

Banyak yang disentuh menerusi perbincangan tersebut antaranya termasuklah tentang keuntungan Petronas, bentuk pelaburan dan perancangan-perancangan masa depan bagi memastikan Petronas terus berdaya saing. Turut disentuh ialah usaha menggalakkan penggunaan NGV sebagai alternatif kepada kenaikan harga minyak mentah dunia kerana dijangkakan menjelang 2011 atau 2014, Malaysia akan menjadi pengimport bersih minyak bukan lagi pengeksport seperti mana sekarang.



PERANTARA: Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera. Sejak kenaikan harga petrol dan diesel diumumkan oleh Kerajaan tidak lama dulu, perbualan rakyat tertumpu kepada kesannya terhadap kehidupan mereka. Ini merupakan kenaikan tertinggi dalam sejarah, 40 % dari harga yang dipasarkan pada masa itu, dan untuk kali pertama harga minyak petrol melebihi RM2 seliter. Menjadikan harganya RM2.70 sen seliter di pasaran. Diesel kini mencecah harga RM2.58 sen seliter. Di tengah segala perdebatan mengenai kenaikan ini sudah tentulah satu nama akan sentiasa menjadi rujukan iaitu PETRONAS, syarikat minyak negara.

Apakah sebenarnya kedudukan PETRONAS dalam soal ini dan apakah yang kita harapkan dari PETRONAS. Soalan yang selalu ditanyakan oleh rakyat ialah kenapa harga petrol dan diesel perlu naik? Kenapa naik begitu banyak? Bukankah kita negara pengeluar minyak, dalam keadaan harga minyak mentah begitu tinggi, mengapakah kita tidak menggunakan keuntungan itu untuk mengekalkan harga sedia ada? Hujahnya ialah apabila harga minyak tinggi, PETRONAS mendapat durian runtuh, atau keuntungan luar biasa. Terlalu banyak yang ingin ditanyakan tentang PETRONAS oleh rakyat terbanyak, saya percaya dan untuk menjawab sebahagian daripada soalan-soalan ini, dan menjelaskan pelbagai isu yang dikaitkan dengannya, RTM telah mengundang ke studio, Pengerusi dan Ketua Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Hassan Marican. Selamat datang, Tan Sri.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Terima kasih.

PERANTARA: Ini merupakan julung-julung kalinya Tan Sri muncul dalam talk show seperti ini. Dan sebelum saya memperkenalkan dua orang wartawan yang akan bersama-sama menanyakan soalan kepada Tan Sri, saya ingin memaklumkan bahawa kita telah menyediakan kemudahan untuk penonton mengikuti program ini. Anda boleh menggunakan SMS. SMS perlu dihantar ke 32776, seperti yang saudara lihat dipaparkan di televisyen saudara. Apa yang ditulis di situ, dan saudara boleh menghantar maklumat itu, dan selain daripada itu saudara juga boleh menggunakan laman web iaitu www.blograkyat.net untuk mengemukakan sebarang pertanyaan.

Saya ingin memperkenalkan dua orang wartawan yang dihormati di negara ini iaitu yang di sebelah hujung sana ialah Saudara Ahmad Azam Mohd Aris, yang merupakan Editor Eksekutif The Edge, dan Saudara Mikhail Raj Abdullah, yang merupakan Editor Kanan Ekonomi BERNAMA. Selamat datang ke studio saudara berdua.

Saya nak mulakan perbincangan kita malam ini. Tan Sri, kalau kita perhatikan harga minyak mentah atau crude oil sudah mencecah USD136 atau USD137 pada hari ini, ya. Dan keadaan ini nampaknya memeranjatkan, apakah Tan Sri merasakan bahawa hal ini akan berterusan dalam keadaan sedemikian?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Terima kasih, Datuk. Pada pendapat saya, harga minyak ni mula meningkat lebih pada setahun dulu dan telah mencecah USD100, setong awal tahun ini. Dan telah pun mencecah USD140, bulan sudah. Jadi kenaikan harga minyak dunia ini menyebabkan permintaan yang banyak, dan yang melebihi daripada supply minyak mentah yang dapat dikeluarkan sekarang.

BERNAMA: Tapi Tan Sri, ada pihak berkata harga minyak mentah melambung tinggi kerana kegiatan spekulatif. Adakah ini benar atau tidak?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Saya rasa memang ada, memang ada kegiatan spekulatif dalam kenaikan harga minyak ini. Ada setengah-setengah pendapat yang mengatakan ada lebih kurang antara USD15 dan USD20 di dalam harga sekarang disebabkan oleh spekulatif training, tetapi ada juga elemen geopolitik di dalam komponen harga yang tinggi sekarang ini. Dan yang disebutkan di antara USD5 dan USD10 di dalam harga sekarang ini disebabkan oleh geopolitik yang tidak stabil di dalam dunia.

THE EDGE: Tan Sri, berapa lama agaknya keadaan pasaran dengan harga yang tinggi ini dan bilakah agaknya pasaran ini menjadi normal balik, pada pendapat Tan Sri?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Bilakah ia akan jadi normal balik, itu saya rasa yang ditanya-tanyakan oleh semua, ya? Dan juga apakah yang kita katakan normal. Normal balik ke USD40, balik ke USD100. Itu pada pendapat saya memang kena di permintaan di dalam dunia, kita dapat permintaan yang tinggi dari macam pengguna di negara China, di India dan juga di Timur Tengah. Banyak tidak mengatakan kenaikan permintaan di negara-negara Timur Tengah yang sedang menggunakan hasil dari kenaikan harga minyak untuk pembangunan di dalam negeri masing-masing.

PERANTARA: OK, Tan Sri saya nak melanjutkan perbincangan. Kalau kita perhatikan negara China dan India, kita ambil contoh negara China. Dari segi keperluan ataupun permintaan untuk minyak di negara itu, kalau dapat Tan Sri berikan sedikit gambaran bagaimana misalnya, keperluan minyak dunia ini meningkat dengan banyak oleh kerana pertumbuhan yang luar biasa dari segi ekonomi di kedua-dua negara ini, kita ambil contoh negara China, Tan Sri.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Contohnya negara China, dia telah mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam satu dekad yang sudah. Di dalam keadaan pertumbuhan ekonomi itu, permintaan petrol dan diesel meningkat kerana sektor pengangkutan. Jadi bila kita lihat di negeri China itu misalnya, dalam tahun 2006, kereta atau kenderaan baru berjumlah lebih kurang 7 juta, yang baru, bukan incremental tetapi yang baru, ya. Jadi kalau kita guna 10 liter satu hari, untuk satu kenderaan, sudah 70 juta liter satu hari meningkat. Kalau setahun, ya...dia lebih kurang satu loji penapisan yang mengeluarkan 300 ribu barrel tong minyak.

PERANTARA: Itu lebih kurang separuh daripada pengeluaran kita.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Ya, itu lebih kurang separuh daripada pengeluaran kita, untuk negara China sahaja. Untuk kereta baru. Tiap tahun ia meningkat sebanyak 7 juta, maknanya tiap-tiap tahun loji minyak yang berkapasiti 300 ribu tong sehari dikehendaki untuk memenuhi permintaan.

BERNAMA: Tadi Tan Sri ada menyebut pasal geopolitik, adakah ini berhasil kerana minyak naik terlampau tinggi kerana pergelutan di antara dunia Arab dan Barat kerana OPEC, pertubuhan negara pengeksport minyak tidak berbuat apa pun, mereka belum lagi bermesyuarat adakah ini pergelutan antara mereka berdua.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Saya rasa tidak begitu, OPEC telah beberapa kali bermesyuarat untuk mengkaji dan menimbang keperluan minyak dunia. Masalah geopolitik di antara, misalnya kedudukan Iran, Iran mengeluarkan 2.5 juta tong minyak sehari. Jadi kalau ada orang kata threat, atau peperangan di Iran, seperti 10 hari sudah. Ada disebut akan diserang. Hari itu minyak naik USD10. Dan juga keganasan di Nigeria. Kita perlu ambil tahu, dan macam negara Nigeria yang juga mengeluarkan lebih kurang 2 juta tong minyak sehari. Minyaknya berkualiti tinggi. Light crude. Keperluan minyak light crude ini memang banyak, jadi kalau kekacauan di Nigeria, harga minyak akan naik.

PERANTARA: Baik kita pergi kepada isu yang membabitkan negara kita. Pengumuman tentang kenaikan harga minyak ini tentunya mendapat banyak reaksi daripada rakyat. Dan soalan pertama yang mereka tanyakan ialah kita pengeluar minyak. Kita mengeluarkan minyak kenapa kita tidak menampung misalnya hasil daripada pengeluaran minyak kita yang katakan 600 ribu ataupun 700 ribu tong sehari tu untuk memberikan subsidi yang lebih banyak kepada rakyat dan kalau ini argumentnya ialah kenapa perlu kita menaikkan harga minyak itu?

Tan Sri Hassan MaricaN: Memang kita negara pengeluar minyak, tetapi pengeluaran kita di dalam konteks dunia, kecil 700 ribu tong sehari berbandingkan macam Saudi, negara Saudi, 10 juta tong sehari dan di Negara kita ini harga minyak memang rendah kerana subsidi Kerajaan yang meningkat tahun demi tahun untuk mengekalkan harga minyak di stesen-stesen minyak pada taraf yang rendah daripada harga pasaran. Tetapi saya rasa keadaan ini tidak boleh diteruskan kerana subsidi yang dibayar oleh Kerajaan ini mengikis bajet untuk pembangunan Negara. Jikalau kita lihatkan dalam bajet 2007 subsidi adalah lebih kurang 30% daripada bajet pembangunan Negara.

PERANTARA: 30% daripada bajet tahunan Negara.

Tan Sri Hassan Marican: 30% daripada bajet pembangunan Negara. Bukan dari bajet pembangunan. Tapi kalau dibandingkan.

BERNAMA: Ada lagi satu argument mengatakan Tan Sri, harga minyak naik, keuntungan PETRONAS pun akan naik. Jadi tidak bolehkah PETRONAS menggunakan sebahagian daripada keuntungannya untuk menolong Kerajaan memberikan subsidi yang lebih, contohnya.

Tan Sri Hassan Marican: Subsidi minyak yang diberikan Kerajaan diberikan kepada semua syarikat yang mengendalikan retail station ini termasuk syarikat-syarikat lain daripada PETRONAS seperti SHELL, ESSO dan sebagainya. PETRONAS Dagangan anak syarikat PETRONAS yang disenaraikan di Bursa Malaysia, pun dibayar subsidi oleh Kerajaan. Jadi memang betul bila harga minyak meningkat, PETRONAS mendapat keuntungan yang lebih tetapi keuntungan itu di cukai, di bayar cukai 38%. Di cukai petroleum 38% bukan 26 atau 27 seperti research yang lain dan PETRONAS pun telah meningkatkan pembayarannya kepada Kerajaan pembayaran cukai, royalti dan juga dividen. Kalau nak dikatakan % peningkatan daripada 2003 sampai tahun 2007, ialah 180%.

PERANTARA : 180%?

Tan Sri Hassan Marican: 180% dibandingkan dengan kenaikan minyak dalam jangka masa yang sama, 143%.

>THE EDGE: Tan Sri, boleh Tan Sri terangkan sejak PETRONAS bermula sejak tahun 1974 sampai sekarang, berapa banyak royalti dan sebagainya telah diberikan kepada Kerajaan kembali.

Tan Sri Hassan Marican: PETRONAS bermula dengan modal RM10 juta dalam tahun 1974 dan dibayar oleh Kerajaan Persekutuan. Dari tahun 1974 ke akhir tahun 2007, PETRONAS telah meraih keuntungan sebanyak RM570 bilion. Dan pembayaran kepada Kerajaan ialah RM336 bilion di dalam jangka masa yang sama.

BERNAMA: Tan Sri, saya tidak begitu yakinlah dengan penjelasan tadi mengenai subsidi, kerana negara-negara lain pun memberi subsidi, Venezuela beri subsidi, Saudi, Brunei. Jadi kenapakah Malaysia mahu mengurangkan subsidi sekarang?

Tan Sri HaSsan Marican: Kita perlu bandingkan, kalau kita ambil negara Saudi. Seperti saya katakan tadi, pengeluarannya 10 juta tong sehari. Kalau dikatakan harga minyak USD100 sehari, pendapatannya USD1 bilion sehari. Rakyatnya lebih kurang 24 juta. Jadi di negara Saudi ia bergantung kepada ekonomi minyak dan tidak ada ekonomi yang lain di Saudi. Bukan sahaja minyak murah, air, api dan tidak ada cukai pendapatan dan sebagainya, maknanya banyak perbelanjaan rakyat Saudi di tanggung oleh kerajaan dan dia berkemampuan untuk menanggung perbelanjaan itu kerana hasilnya tinggi. Dan juga di Venezuela. Venezuela dia mempunyai polisi yang populis. Sebelum polisi ini, pengeluaran Venezuela lebih kurang 4 juta tong sehari. Sekarang, kerana setiap untung yang diperoleh oleh syarikat minyak nasional Venezuela diambil oleh kerajaan. Tidak ada pelaburan baru dan pengeluaran mereka telah menurun kepada 2.5 juta sehari dan makin merosot.

THE EDGE : Apa bezanya dengan kita Tan Sri?

Tan Sri Hassan Marican: Bezanya dengan kita, seperti yang saya katakan tadi, kita telah meraih keuntungan RM570 bilion. Kita telah bayar kepada Kerajaan RM336 bilion. Bakinya, PETRONAS telah menggunakan wang itu untuk pelabur di dalam negara seperti paip saluran gas PGU, loji-loji penapisan, loji-loji petrokimia dan sebagainya. Dan ini proses value added yang telah dilakukan, telah memberikan keuntungan yang lebih kepada PETRONAS dan justeru itu kepada Kerajaan.<

THE EDGE : Kalau kita tak labur?

Tan Sri Hassan Marican: Kalau kita tak labur, Kerajaan tidak akan menerima pembayaran sebanyak RM336 bilion. Dalam jangkaan saya mungkin pembayaran kepada kerajaan akan cuma lebih kurang RM161 bilion.

BERNAMA: Tan Sri, masih ada setengah orang mengatakan PETRONAS boleh mengeluarkan dividen yang lebih kepada kerajaan memandangkan keuntungan PETRONAS sekarang bertambah tinggi. Masihkah boleh PETRONAS memberikan dividen yang lebih kepada Kerajaan, Tan Sri?

Tan Sri Hassan Marican: Dividen yang telah dibayar kepada Kerajaan di dalam 3 tahun yang sudah memang meningkat. Pada tahun 2007 kalau kita nak kirakan percentage ialah 20,000% telah dibayar kepada Kerajaan. Dalam RM20 bilion dan tahun ini akan meningkat lagi. Tetapi kita perlu ingat yang PETRONAS perlu menyimpan sebahagian kecil daripada keuntungannya untuk melabur, membangunkan medan-medan minyak yang baru, mengeksplorasi medan-medan minyak. Kalau tidak, kita tidak akan mendapat hasil di masa hadapan. Dan saya rasa, kita pun patut ingat PETRONAS telah diamanahkan oleh Kerajaan. Dan untuk amanah itu, kita perlu fikir kepada generasi yang akan datang. Kita, rasa sayalah, itu pun mereka ada hak untuk menikmati hasil bumi Malaysia ini selama-lamanya, selama-lama yang boleh.

PERANTARA: Selama mana yang boleh itu, berapa lama? Kalau mengambil kira pengeluaran kita sekarang.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Insya Allah, kalau hasil eksplorasi kita berjaya, kita akan dapat maintain production kita sebanyak 700 ribu tong. Production ini production negara ya, bukan production PETRONAS. Production negara ini selama lebih kurang 20 atau 22 tahun lagi.

BERNAMA: Tan Sri, ini pasal hasil bumi ini semua. Malaysia pengeluar minyak mentah tapi kita pun mengimport minyak mentah dari negara lain. Buat apa kita buang duit macam ni? Ia dana yang rugi. Jadi, kenapakah semua minyak mentah yang ada di Malaysia tidak ditapis? Mengapa kita perlu beli daripada Saudi ke, Oman ke, Iran ke? Itu yang saya tidak faham.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Memang betul, minyak daripada Malaysia ini bertaraf tinggi dan mendapat harga yang tinggi. Tetapi loji-loji minyak di Malaysia, tidak semuanya dibina untuk menapis minyak pengeluaran negara kita. Ini juga sebagai satu, security. Di Melaka, PETRONAS mempunyai loji penapisan berkapasiti 200 ribu tong sehari. 100 ribu tong untuk minyak kita, dan 100 ribu tong untuk minyak yang diimport, yang harga lebih murah. Kita buat begitu untuk security. Manalah tahu kalau loji itu tidak dapat berjalan dan kita tidak ada minyak langsung. Dan juga, minyak dari Malaysia, tapis namanya kan, tidak dapat mengeluarkan %an yang tinggi untuk petrol. Dalam teknikalnya, 15% daripada satu tong boleh ditapis untuk petrol. Kita lebih tinggi mengeluarkan diesel daripada tapis. Jadi kita memang import. PETRONAS dan juga loji SHELL mengimport 240 ribu tong sehari untuk loji kami di Melaka dan loji SHELL di Port Dickson.

BERNAMA: Dan ini kebanyakan digunakan untuk petrol dan diesel?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Ini minyak yang diimport dan ditapis mengeluarkan lebih petrol dan juga diesel. Kita sekarang, negara kita mengimport lebih kurang 80 ribu tong petrol sehari. Sebab penggunaan petrol, kenderaan semua ini, memang meningkat. Dan kita terpaksa import, kapasiti loji di Malaysia tidak mencukupi untuk mengeluarkan petrol. Tetapi diesel kita eksport. Ada lebih kurang 40 ribu tong sehari, diesel dieksport.

THE EDGE: Tan Sri, ini berbalik kepada keuntungan PETRONAS tadi. Ramai dalam kalangan rakyat, tidak begitu berpuas hati dengan apa yang mereka katakan ketelusan perakaunan PETRONAS. Di sebaliknya PETRONAS mengatakan ia merupakan satu organisasi yang telus. Apa komen Tan Sri dengan hal ini?

TAN SRI HASSAN MARICAN: PETRONAS adalah sebuah syarikat yang beroperasi di bawah Akta Syarikat 1965 dan semua syarikat yang beroperasi di bawah ini, mesti mengeluarkan laporan tahunan seperti dikehendaki di bawah akta itu. PETRONAS daripada mulanya memang mengeluarkan tiap-tiap tahun laporan tahunan dan kumpulan PETRONAS. Dan bermula pada tahun 1990 kita memang publish kita punya laporan tahunan sebabnya PETRONAS ada rating standard and poor, kita pun meminjam duit dekat market dunia. Jadi saya rasa, kehendak Akta Syarikat, kita telah comply.<

THE EDGE: Tapi, bolehkah PETRONAS lebih telus dari ini lagi, Tan Sri?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Telus bagaimana lagi?

THE EDGE: Sepertinya, ada mereka mengatakan PETRONAS harus membentangkan contohnya, laporan tahunannya di Parlimen. PETRONAS sepatutnya accountable pada Parlimen dan bukan sahaja Perdana Menteri.

TAN SRI HASSAN MARICAN: PETRONAS ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum tahun 1974. Dan di dalam akta tersebut, PETRONAS bertanggungjawab kepada Perdana Menteri. Jadi, di masa sekarang ini, kita memang bertanggungjawab kepada Perdana Menteri.

THE EDGE: Dan itu tidak mungkin berubah?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Itu bukan untuk saya yang menetapkan. Akta Pembangunan Petroleum diluluskan oleh Parlimen.

PERANTARA: Baik, Tan Sri. Saya hendak menyambung perbincangan kita tadi. Kita menyebutkan tentang kenaikan harga minyak, dan kemudian syarikat minyak mendapat keuntungan luar biasa. Tapi, apakah benar dengan kenaikan minyak seperti keadaan sekarang ini, mungkin sekarang USD136 atau USD137 setong menyebabkan banyak syarikat-syarikat minyak mendapat keuntungan atau peningkatan luar biasa. Tapi apakah benar atau tidak mitos ini?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Memang peningkatan harga minyak, saya selalu memberi contoh syarikat EXXON Mobil. Dalam tahun 2006, keuntungan EXXON Mobil berjumlah USD39 bilion. Di tahun 2007, keuntungannya USD40 bilion. Cuma meningkat USD1 bilion sahaja. Ini kita bercakap tentang sebuah syarikat minyak yang terbesar di dunia, yang diuruskan dengan baik. Cuma dapat meningkat USD1 bilion sahaja. Kenapa? Dan bukan EXXON Mobil sahaja ya. Kalau kita lihat, ada lagi syarikat-syarikat lain. Kerana apa? Kerana peningkatan kos, kos mencari, mencari gali, membangun dan mengeluarkan minyak, menapis minyak dan sebagainya. Kos sudah meningkat, kos meningkat lebih daripada peningkatan harga minyak yang terdapat sekarang dan ini telah mengikis keuntungan syarikat-syarikat minyak.

PERANTARA: Bagaimana tentang PETRONAS, iaitu pengalaman PETRONAS pula bagaimana, Tan Sri?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Begitu juga dengan PETRONAS. Kos cari gali, saya telah beberapa kali menyatakan kalau dulunya, satu telaga eksplorasi menelan belanja lebih kurang USD3 juta di dalam laut cetek sekarang menelan belanja USD7 juta. Dan kos menyewa bot seismic, kos delegrate ini semua meningkat. Ini kerana kekurangan delegrate dan seismic vessel.

PERANTARA: Apa bezanya, misalnya kita minyak di Malaysia dari segi kita mengeluarkan minyak di Malaysia dengan di Saudi misalnya, tak boleh ke, misalnya kata di Angkasapuri kita tebuk atau kita sedut minyak di bawah bangunan Angkasapuri? Misalnya, di Saudi tu, ia berada di bawah pasir sahaja, Tan Sri?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Walaupun di bawah pasir, memang di Saudi, reserved minyaknya 250 bilion tong berbanding dengan kita yang ada 5 bilion tong dan reserved kita terdapat di dalam laut bukan di darat. Dan kita telah mula membangun dan menjalankan minyak daripada laut dalam yang kosnya begitu tinggi.

PERANTARA : Jadi buat perbandingan Tan Sri, macam mana maksudnya tinggi itu?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Maksudnya kalau di atas darat, kos yang saya kata tadi yang menggali, mencari gali yang tadi USD7 juta, mungkin di Saudi kosnya lebih kurang USD4 ataupun USD5 juta dan selalunya kalau, apa nama, reserved minyak di daratan telaganya tidak sedalam telaga di lautan.

THE EDGE: Adakah disebabkan peningkatan kos ini, PETRONAS punya capital expenditure pun tinggi?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Ya, capital expenditure PETRONAS meningkat. Sebab kos cari gali dan kos membangunkan telah meningkat. Saya beri contoh kos anggaran untuk membangunkan medan minyak Kikir. Ianya medan laut dalam. Pada mulanya dalam tahun 2003, anggaran kos lebih kurang RM3 bilion, ya, tetapi kos akhir, bila pengeluaran bermula pada bulan Ogos tahun sudah, kos terakhir lebih kurang RM5.3 bilion.

BERNAMA: Tan Sri, nampaknya PETRONAS mengadulah, apabila harga minyak melambung tinggi, kos meningkat. Tapi pada masa dulu, harga minyak rendah, subsidi pun kecil. Masa itu macam mana? Tetap subsidi?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Subsidi, seperti yang saya katakan tadi, subsidi bukannya kos dibayar oleh PETRONAS, subsidi yang dibayar diguna oleh Kerajaan mengguna pembayaran diterima dari PETRONAS dan lain-lain syarikat dan income tax yang diterima oleh Kerajaan. Ianya dari bajet Kerajaan.

BERNAMA: Adakah elemen duti di mana-mana. Apabila harga menurun, rendah. Adakah elemen duti, terus bayar?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Mekanisme harga di pam, di stesen, ya. Ditetapkan melalui automatic pricing mechanism yang telah dimulakan dalam tahun 1983. Komponennya ialah harga minyak, kos dan subsidi atau duti, sebagai balancing. Selepas itu kita dapatkan harga di pam. Misalnya dalam tahun 1993, harga di kurang RM1.13, dalam komponen itu, duti ialah lebih kurang 50 sen, bila diturunkan oleh Kerajaan dalam tahun 1994, kepada harga RM1.10. Dalam harga itu komponen duti 52sen. Sebabnya harga minyak dalam tahun 1994 rendah, turun dibandingkan 1993. Bermula tahun 2004, duti telah beralih menjadi subsidi. Sebab kos telah meningkat, untuk Kerajaan menetapkan harga di pam itu, (dalam tahun 2004, lebih kurang RM1 lebih, ya) duti menjadi subsidi.

PERANTARA : Duti menjadi subsidi…

TAN SRI HASSAN MARICAN: Subsidi mula meningkat dari tahun 2004, sampailah sekarang ini, di mana 4hb sudah ini, subsidinya 30 sen. Itu petrol, diesel, subsidinya, duti beralih menjadi subsidi dalam tahun 2000.

BERNAMA: Tan Sri, adakah pengeluaran negara, segala dimiliki oleh PETRONAS ke ataupun syarikat lain. Boleh bagi satu pecahan pengeluaran minyak, tong sehari itu?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Tidak, bila PETRONAS ditubuhkan, sistem minyak, mencari gali minyak dan sebagainya beralih daripada sistem kontingensi kepada production sharing contract. Di mana terdapat syarikat-syarikat lain, seperti SHELL dan EXXON dan lain-lain beroperasi, iaitu berkongsi dengan PETRONAS. Jadi kalau kita kata, dalam 700 ribu tong sehari itu, PETRONAS cuma ada 56%. Yang lain dimiliki oleh production sharing contractor. Termasuk PETRONAS Cari Gali. Jadi kalau kita campur PETRONAS dan PETRONAS Cari Gali, ia menjadi lebih kurang 75%.

PERANTARA : Baik saudara penonton yang saya hormati sekalian. Bagi saudara yang baru mengikuti rancangan ini, kita sedang bersemuka untuk membincangkan isu yang membabitkan soal PETRONAS dalam kaitannya yang menaikkan harga minyak baru-baru ini. Dan saudara penonton boleh mengemukakan SMS, dan kami telah menerima banyak SMS. Gunakan Media jarakkan nama_lokasi dan komen atau soalan saudara, dan hantar SMS kepada 32776. Saya ulang sekali lagi, apa yang patut anda lakukan, gunakan handphone saudara, taip Media jarakkan nama_lokasi dan komen atau soalan saudara dan kemukakan kepada 32776. Saudara juga boleh menggunakan kemudahan ataupun menggunakan Internet dan hantarkan pandangan saudara kepada www.blograkyat.net.

Saudara penonton yang saya hormati sekalian, saya bersama dua orang wartawan, bersama-sama saya pada hari ini, Saudara Ahmad Azam Mohamad Aris, Pengarang Eksekutif The EDGE dan Saudara Mikail Raj Abdullah, Editor Kanan Ekonomi, BERNAMA sedang bersemuka dengan Tan Sri Hassan Marican, Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS, untuk membincangkan banyak isu yang berkaitan dengan harga minyak yang baru diumumkan baru-baru ini.

Tan Sri, dalam konteks ini, saya nak lanjutkan perbincangan tentang kedudukan PETRONAS. Ini banyak orang kata bahawa PETRONAS ni jadi poketlah, tak ada masalah keluar sekian banyak wang kepada Kerajaan. Dan juga bahawa PETRONAS juga sepatutnya dapat menyelesaikan semua masalah yang berkait dengan kenaikan harga ini. Jadi kita tak perlu risau. Tetapi dalam keadaan hari ini ada orang menanyakan juga bahawa kalau keadaan begini berterusan. Sebanyak manakah, sebab dalam keadaan sekarang ini PETRONAS menampung kalau tak silap 35% pendapatan Negara dan kalau misalan satu hari kita tak ada minyak dah, apa akan jadi kepada Kerajaan ataupun kepada negara kita? Kalau dapat Tan Sri komen secara menyeluruh agar kita dapat menyambung perbincangan kita ini.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Sebanyak lebih kurang 65%, daripada keuntungan PETRONAS. Kalau kita ambil keuntungan PETRONAS lepas tu kita campur balik royalti dan dividen. Lebih kurang 65% daripada keuntungan itu dibayar kepada Kerajaan. Dengan bayaran ini ia dapat menampung bajet tahunan Kerajaan. Sekarang ini 35% daripada bajet Kerajaan dibayar oleh PETRONAS. Jadi sekiranyalah kita meningkatkan lagi pembayaran kepada Kerajaan, bermakna PETRONAS tidak dapat melabur dan membangunkan medan-medan minyak atau medan-medan gas untuk masa hadapan kita. Ataupun menggunakan wang ini, bila kita tengok dalam 34 tahun, cuma RM178 bilion sahaja yang telah digunakan untuk membangunkan medan-medan minyak dan meningkatkan lagi rizab negara. Jadi kalau PETRONAS tidak diberi kemudahan atau fleksibiliti untuk melabur untuk masa depan, saya rasa generasi yang akan datang akan tidak akan dapat menikmati.

PERANTARA: PETRONAS selesa dengan jumlah yang sebegitu untuk tujuan pelaburan dan sebagainya atau perlu ditingkatkan dalam keadaan sekarang atau macam mana?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Kita selesa dan ada masanya kita telah membayar lebih daripada 65% pada Kerajaan. Kalau ada kekurangan itu kita meminjam. Oleh kerana itu kita terpaksa mendapatkan rating dari standard bold dan sebagainya untuk meminjam di pasaran antarabangsa capital market.

BERNAMA: Tapi Tan Sri, saya keliru ada pihak kata Malaysia akan kehabisan minyak pada tahun 2011. Ada kata kita hendak menjadi nett importer, jadi apakah kebenarannya dan apakah reserve negara sekarang.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Definisi nett exporter, nett importer ini, sekarang ini kita nett exporter sebab pengeluaran kita melebihi permintaan termasuk yang diimport tadi. Definisi nett importer pula bila di suatu masa hadapan kita telah kata tahun 2011 atau 2014 bergantung kepada growth permintaan, kita akan menjadi nett importer bermakna pengeluaran di dalam negara tidak dapat menampung permintaan dalam negara. Ia tidak bermakna yang kita akan berhenti atau tidak dapat mengeluarkan lagi minyak, seperti kita kata tadi kita akan cuba memanjangkan hayat reserve yang kita ada dalam jangka dalam jangka 20 hingga 22 tahun di hadapan.

THE EDGE: Tan Sri dalam pengiraan nett exporter, net importer ini di manakah kedudukan reserve PETRONAS di luar negeri. Bagaimana PETRONAS mengambil kira kedudukan itu?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Reserve dan pengeluaran di luar negeri tidak diambil kira. Ini kita katakan negara Malaysia telah menjadi nett importer, PETRONAS sekarang telah melabur dan meneroka di negara-negara lain, jumlah reserve kita telah meningkat, dan 30% daripada reserve PETRONAS terletak di luar negara seperti di Sudan, di Indonesia dan sebagainya.

BERNAMA: Tan Sri, jadi kita perlu risau kita akan kehabisan minyak tapi bagaimana sekarang dengan reserve gas dan penyediaan PETRONAS untuk meningkatkan penggunaan di Malaysia, sebab kalau kita bicara tentang gas tidak cukup di Lembah Klang atau Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Boleh jelaskan.

>TAN SRI HASSAN MARICAN: Kita tidak perlu risau, minyak akan habis seperti juga bijih dulu ia akan habis. Kadang-kadang kita perlu faham negara kita telah mula mengeluarkan minyak pada awal 1900. Jadi kita telah 100 tahun mengeluarkan minyak, dan ia akan habis. Kita dapat memanjangkan hayatnya hingga sekarang sebab kita kata kita cuma akan mengeluarkan tujuh ratus barrel sehari. Begitu juga dengan gas, gas pun akan habis. Gas yang digunakan, gas NGV itu di subsidi oleh PETRONAS. Harga di pam NGV 68 sen seliter, subsidinya lebih kurang RM2 seliter. Sepatutnya harganya RM2 lebih sebab banyak yang kata PETRONAS monopoli NGV. Kita tidak monopoli, penjualan NGV memang terbuka kepada semua syarikat SHELL, ESSO tetapi kerana subsidi yang tinggi dan kos penyelenggaraan yang tinggi tidak ada syarikat-syarikat yang lain yang berminat untuk menjual NGV.

THE EDGE: Tan Sri, dalam segi subsidi gas ini adakah subsidi itu dibayar oleh Kerajaan kepada syarikat minyak itu atau bagaimana?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Subsidi gas NGV di stesen dibayar oleh PETRONAS.

BERNAMA: Tan Sri, penggunaan tidak meluas, kurang pergantungan kepada petrol dan diesel.
TAN SRI HASSAN MARICAN: Memang penggunaannya tidak meluas, kita telah berkata pada penghujung tahun 2010 kita akan dapat menyediakan lebih kurang 200 stesen. Sekarang kita mempunyai lebih kurang 90 stesen. Ini akan meningkat kepada 200 dalam tahun 2010. Tetapi untuk membina stesen-stesen NGV ini memerlukan lokasi yang berdekatan dengan saluran paip gas yang dikendalikan oleh Gas Malaysia. Kita pun susah juga untuk mendapatkan tanah, untuk mendapatkan komisen dan sebagainya dan juga terpaksa menyeru dealer-dealer kita consider NGV sebab dalam stesen minyak PETRONAS yang biasa misalnya tiap-tiap bulan harga electricity lebih kurang RM5,000 sebulan. Stesen yang menjual NGV penggunaan electricity lebih kurang RM16,000 sebulan. Jadi PETRONAS subsidi 30%.

PERANTARA: Lebih kurang tiga kali ganda.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Peningkatan tadi dibayar oleh PETRONAS.

PERANTARA: Sampai bila PETRONAS hendak beri subsidi gas ini. Ini ada kaitan dengan enviroment isu dan sebagainya.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Bila kita mula menjual NGV dalam tahun 1993, objektifnya adalah untuk alam sekitar, pollution dan sebagainya bermula di Lembah Klang. Berapa lama kita hendak subsidi itu saya tidak dapat cakap, tapi kalau mengikut penetapan Kerajaan harga satu liter NGV sepatutnya 50% daripada harga petrol, tetapi Petronas tidak menaikkan harga NGV dalam tahun 2006 bila petrol naik RM1.92 sen dan bulan ini bila petrol naik RM2.70 kita tidak menaikkan.

PERANTARA: Faktor ini bukan faktor ekonomi tetapi berkaitan dengan enviroment dan sebagainya. Saya telah banyak menerima SMS dari penonton sekalian dan banyak dari SMS ini bertanyakan apa yang dibuat oleh kerajaan dengan duit sebanyak RM330 bilion yang diberikan oleh PETRONAS, isu yang membabitkan soal subsidi kenapa tidak lebih banyak subsidi dan sebagainya.

Untuk makluman saudara penonton perbincangan kita malam ini ditumpukan hanya kepada PETRONAS dan apa yang boleh dilakukan oleh PETRONAS dalam konteks ini dan hal yang membabitkan tentang soal dasar, kenaikan harga minyak dan di luar bidang kuasa Petronas maka kita tidak akan membincangkan isu itu.

Namun demikian kita melayan pandangan-pandangan ini dan kita merasakan semua bahawa SMS saudara itu kita akan kemukakan kepada Tan Sri malah kita akan sampaikan kepada pihak berwajib dalam kerajaan untuk mereka mendapat maklumat. Saya percaya salah satu tujuan kita untuk mengadakan pertemuan malam ini untuk Bersemuka Bersama Media adalah bertujuan untuk mendapatkan feedback secara langsung.

Sebahagian besar dari SMS ini sebenarnya tidak dapat kita bincangkan secara menyeluruh sebab ini ada kaitannya dengan kedudukan kita malam ini, untuk membincangkan isu, untuk menerangkan kepada rakyat apa sebenarnya peranan PETRONAS dan apa yang telah dilakukan oleh PETRONAS, untuk menjelaskan beberapa mitos dan realiti yang berkaitan dengan PETRONAS. Saya serahkan kepada saudara Raj.

BERNAMA: Tan Sri, 10 tahun yang lalu PETRONAS telah mengambil alih MISC, ketika itu, ini dikatakan satu bail out. PETRONAS membayar RM2 bilion untuk membeli MISC dan kalau tak silap, RM2 bilion untuk pinjaman. Selepas 1 dekad, 10 tahun, macam mana pulangan daripada pelaburan ini, adakah untung atau pun tak untung?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Saya rasa itu tak betul kalau dikatakan pembelian PETRONAS di dalam syarikat MISC sebagai bail out. Kita ada 2 peringkat. Pada permulaannya PETRONAS membeli lebih kurang 30% dalam syarikat MISC daripada Kwok, masa itu. Lepas itu kita meningkatkannya dengan kita injek tanker-tanker LNG PETRONAS ke dalam MISC. Itu telah meningkatkan share ke dalam MISC kepada lebih kurang 62%. Yang dikatakan satu bail out ialah pembelian kapal-kapal daripada konsortium. Valuation telah dibuat oleh pakar valuation kapal dari Eropah dan juga investment bank. Kita telah membayar lebih kurang USD210 juta dan USD55 juta untuk kapal bulk dan bakinya untuk 3 kapal LNG yang dimiliki konsortium. Kita buat ini untuk kita nak consolidate operasi tanker LNG di dalam kumpulan PETRONAS.

>Dan sekarang MISC ialah sebuah syarikat terbesar, owner operator of LNG di dunia. Kalau kita tengok prestasi MISC sekarang, semasa kita beli dulu dalam tahun 1996, keuntungan sebelum cukai MISC RM506 juta, sekarang seperti yang telah diumumkan, RM2,930 juta dalam tahun 2007, iaitu 2 bilion. Kita bukan saja syarikat terbesar LNG, kita juga syarikat yang kedua terbesar alphabex tanker.

THE EDGE: Tan Sri, itu merupakan pelaburan yang baik. Tetapi PETRONAS juga mempunyai masalah persepsi sebagai satu organisasi yang terlibat dalam projek mewah. Contohnya FI, Putrajaya, Philharmonic, dan juga terlibat dalam pembelian Daya Bumi sendiri. Ramai mengatakan ini bukan dan tidak seharusnya menjadi tugas PETRONAS untuk melabur atau membeli syarikat-syarikat ini. Apa komen Tan Sri.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Banyak yang mengatakan yang Circuit di Sepang dibina dan dimiliki PETRONAS. Itu tidak betul. Circuit di Sepang dimiliki oleh MAB (Malaysia Airport Berhad) dan bukan PETRONAS. PETRONAS sponsor team BMW Sauber di dalam sport F1. Dan dalam tahun 1995, kita telah mengatur strategi untuk kita ke arena global. Kita telah memilih sukan F1 sebagai satu sukan yang boleh menyebarkan jenama PETRONAS di seluruh dunia. Dan strategi ini telah kita ikut sebab dalam setahun lebih kurang 6 bilion peminat/penonton sukan F1 di dalam dunia. Sukan yang paling popular selepas Olimpik dan World Cup. Kita telah meraih banyak keuntungan dengan cara ini. Exposure dan juga kos peminjaman kita telah turun sebab orang telah mengenali PETRONAS di seluruh dunia.

Daya Bumi kita beli daripada UDA dalam tahun 1985/6 sebabnya PETRONAS menyewa bangunan Daya Bumi pada masa itu. Jadi, bila diambil kira lebih elok PETRONAS membeli bangunan itu daripada menyewa.

PERANTARA: Tan Sri, kita ada waktu yang cukup terbatas. Kita telah lalui perbincangan lebih daripada 57 minit setakat ini. Cuma pada pengakhir perbincangan ini saya nak minta Tan Sri menyebutkan atau memberikan pandangan umum tentang harapan PETRONAS sendiri. Apa sebenarnya Tan Sri rasa rakyat perlu tahu, sekurang-kurangnya ini adalah mesej yang Tan Sri ingin sampaikan kepada rakyat dalam konteks yang kita bincangkan hari ini.

TAN SRI HASSAN MARICAN: Saya ingin membawa mesej daripada warga PETRONAS. Lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang bekerja di dalam PETRONAS. Saya ada terima e-mel-e-mel daripada pekerja/kakitangan PETRONAS, yang bertanyakan kepada saya, kenapalah kami dipukul macam-macam komen yang negatif kepada PETRONAS. Kami di lautan mengeluarkan minyak, bekerja dengan risiko yang tinggi, tinggalkan anak bini selama dua minggu tetapi masalah ini, kita telah bertungkus-lumus bekerja tapi dipukul lagi. Kita rasa terkilan. Ini bukan masalah PETRONAS, ini masalah dunia, masalah global.

PERANTARA: Terima kasih Tan Sri, Saudara penonton yang saya hormati sekalian, demikian tadi kita telah bersemuka dengan YBhg Tan Sri Hassan Marican, Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS dan dua wartawan yang bersama-sama kita pada malam ini ialah Saudara Ahmad Azam, Editor Eksekutif The Edge dan Saudara Mikail Raj Abdullah, Editor Kanan Ekonomi BERNAMA, saya ucapkan terima kasih kepada dua wartawan ini. Dan saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Tan Sri kerana dapat bersama-sama kita dan ini julung-julung kali Tan Sri bersama kita dalam rancangan talk show dan saya merasakan mungkin saudara dapat sedikit manfaat daripada pertemuan kita pada malam ini. Banyak perkara yang telah diterangkan oleh Tan Sri dan sebahagiannya ialah persepsi yang salah yang telah diberikan dan telah membetulkan beberapa pandangan dan andaian yang selama ini kita ambil mudah. Saudara, mudah-mudahan kita dapat bertemu dengan Tan Sri dalam program-program yang lain. Saya akhiri dengan Assalamualaikum dan salam sejahtera dan selamat malam.



[Selanjutnya]