Sebahagian besar rakyat agak kurang pasti apa yang dimaksudkan dengan Jaringan Keselamatan Sosial yang menjadi dasar Bajet 2009 seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini. Secara umum Jaringan Keselamatan Sosial boleh didefinasikan sebagai perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan untuk kepentingan masyarakat meliputi kebajikan, perubatan dan kadang kala subsidi kepada pengangkutan awam.
Ia berperanan membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin menghadapi cabaran inflasi. Dalam ekonomi, Jaringan Keselamatan Sosial bertujuan untuk mengagihkan pendapatan dan sumber kepada golongan yang memerlukan dalam masyarakat serta membantu mengatasi kemiskinan dalam jangka masa pendek.
Antara sumbangan utama kerajaan untuk memastikan rakyat terbela melalui skim Jaringan Keselamatan Sosial ini adalah melalui langkah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan untuik Semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 untuk Sabah. Ketika ini terdapat dua skim bantuan utama di bawah Jabatan kebajikan Masyarakat iaitu Skim Bantuan Persekutuan dan Skim Bantuan Am Negeri.
Skim Bantuan Persekutuan diberi secara bulanan di bawah skim Bantuan Orang Tua (berusia 60 tahun ke atas) dan Bantuan Kanak-Kanak (di bawah usia 18 tahun). Memandangkan skim ini hanya menjurus kepada golongan tertentu dan tidak menyeluruh, golongan yang tercicir seperti ibu atau bapa tunggal, orang kurang upaya akan dibantu melalui Skim Bantuan Am Negeri. Memandangkan bantuan di bawah skim ini jauh lebih rendah berbanding Skim Bantuan Persekutuan dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penerima, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkenalkan satu skim bantuan baru berasaskan keluarga di peringkat Persekutuan bagi mengatasi masalah tersebut.
Skim Bantuan Asas Keluarga yang diperkenalkan akan mengguna pakai pendapatan garis kemiskinan (PGK) semasa sebagai syarat asas pertimbangan. Di bawah skim tersebut seramai 109,928 isi rumah miskin akan dibela di bawah skim Jaringan Keselamatan Sosial yang baru ini berbanding dengan 22,848 isi rumah yang kini menerima bantuan terdiri dari golongan berpendapatan di bawah RN400 sebulan.
Skim Bantuan Asas Keluarga ini akan memberikan bantuan sebanyak RM100 seorang sebulan sehingga maksimum RM600 sekeluarga sebulan yang diberikan mengikut saiz isi rumah (meliputi ibu, bapa dan anak dalam satu keluarga asas).
Antara kriteria yang melayakkan mereka berada di bawah skim ini merangkumi:
1.Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia.
2.Pendapatan isi rumah di bawah pendapatan garis kemiskinan (PGK) semasa.
3.Ketua isi rumah (pencari nafkah) menghadapi masalah kesihatan, kecacatan dan kehilangan pendapatan secara mendadak, tidak mempunyai pendapatan tetap serta masalah lain yang boleh menjejaskan fungsinya sebagai penyara keluarga.
4.Ibu atau bapa tunggal yang tidak berkemampuan menyara keluarga dan perlu menjaga kanak kanak; atau
5.Individu yang tinggal berseorangan, tidak mampu menyara diri sendiri dan berusia di bawah 60 tahun.
2.Pendapatan isi rumah di bawah pendapatan garis kemiskinan (PGK) semasa.
3.Ketua isi rumah (pencari nafkah) menghadapi masalah kesihatan, kecacatan dan kehilangan pendapatan secara mendadak, tidak mempunyai pendapatan tetap serta masalah lain yang boleh menjejaskan fungsinya sebagai penyara keluarga.
4.Ibu atau bapa tunggal yang tidak berkemampuan menyara keluarga dan perlu menjaga kanak kanak; atau
5.Individu yang tinggal berseorangan, tidak mampu menyara diri sendiri dan berusia di bawah 60 tahun.
Bagaimanapun, semua kes akan dirujuk terlebih dahulu untuk dipertimbangkan selain perlu melalui proses sissatan (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan sebelum bantuan diluluskan. Ia diberi untuk tempoh 12 bulan dan dalam tempoh tersebut bantuan akan dikaji semula bagi menentukan sama ada bantuan itu diteruskan atau dikaji semula.
Pemberian bantuan secara sementara ini adalah selaras dengan konsep kebajikan produktif (productive welfare) yang dihasratkan oleh kerajaan. Sepanjang tempoh bantuan itu juga penerima bantuan akan diberi latihan kemahiran untuk meningkatkan kemajuan diri. Selain itu penerima bantuan juga akan diberi pinjaman modal dan peluang-peluang untuk memulaklan perniagaan.
Di bawah Jaringan Keselamatan Sosial lainnya termasuklah usaha berterusan untuk membasmi kemiskinan di mana sejumlah RM50 juta disediakan di bawah Program Bantuan Rumah untuk membina 1,400 rumah baru dan membaik pulih 1,000 lainnya. Usaha berterusan juga dilakukan untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup penduduk di sabah dan Sarawak, terutama untuk meningkatkan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan luar Bandar. Sejumlah RM580 juta disediakan bagi Sabah dan RM420 juta bagi Sarawak.
Lainnya termasuklah mengecualikan bayaran bil elektrik RM20 sebulan ke bawah berkuatkuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009. Begitu juga dengan rebet cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000. Dengan itu seramai 100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah tidak lagi dikenakan cukai.
Di bawah jaringan Keselamatan Sosial ini juga golongan petani dan nelayan juga diberikan pembelaan di mana sejumlah RM300 juta diperuntukkan. Sejumlah RM180 juta adalah untuk menampung sara hidup nelayan dan pemilik bot perikanan manakala RM120 juta sebagai insentif tangkapan ikan.
Bagi meningkatkan kehidupan petani juga, elaun pelaburan semula sebanyak 60 peratus bagi tempoh 15 tahun bagi pelaburan tambahan bagi penternak ayam dan itik. Selain peruntukan sejumlah RM475 juta bagi bantuan imput pertanian, baja dan racun perosak bagi pengusaha sawah.
No comments:
Post a Comment