Tuesday, August 5, 2008
Kenaikan Tambang Bas: Kepentingan Semua Pihak Diambil Kira
Walaupun banyak rungutan dan gesaan agar kerajaan mengkaji semula cadangan menaikan tambang bas ekspress dan bas henti-henti di seluruh negara, Kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk menaikkan kadar tambang tersebut tetapi tetapi bukan 100 peratus seperti yang diminta Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA).
Bagaimanapun, kadar baru itu hanya akan diumumkan sebelum Hari Raya Aidilfitri Oktober ini. Apa yang pasti, kenaikan tersebut sama sekali tidak akan membebankan pengguna dan kenaikan tersebut sememangnya tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan kos operasi yang terpaksa ditanggung pengusaha industri pengangkutan awam.
Walaupun pada dasarnya industri pengangkutan awam di negara ini termasuk perkhidmatan bas memperoleh bantuan subsidi diesel yang agak besar daripada kerajaan, namun ia masih tidak dapat menampung kos operasi yang semakin meningkat terutamanya daripada aspek penyelenggaraan dan alat ganti kenderaan yang mahal termasuk membayar gaji pekerja. Malah kali terakhir tambang bas di negara ini ialah pada tahun 2005.
Walaupun kerajaan sedar akan implikasinya terutama kepada pengguna kenderaan awam yang rata-rata adalah golongan berpendapatan rendah, keadaan tersebut tidak dapat dielakkan dan semua pihak perlu melihat tindakan kerajaan ini daripada sudut positif kesan daripada kenaikan harga minyak global. Keputusan ini dibuat setelah kerajaan membuat pertimbangan daripada pelbagai aspek dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, baik di kalangan pengguna mahu pun pengusaha bas.
Ini kerana kerajaan juga perlu memikirkan nasib pengusaha bas dan membantu mereka mengurangkan kerugian akibat kenaikan kos operasi atau berdepan dengan risiko terpaksa menutup operasi. Sehubungan itu, kerajaan akan memastikan kenaikan tambang bas ekspress dan henti-henti ini tidak akan membebankan orang ramai dan dalam masa yang sama memastikan nasib pengusaha bas juga terbela.
Oleh itu, pengguna pengangkutan awam perlu melihat tindakan kerajaan ini daripada susut positif demi kepentingan semua pihak. Tambahan pula pengguna pengangkutan awam hari ini mempunyai begitu banyak pilihan dan tawaran pelbagai yang wujud hasil persaingan sengit pengusaha bas ekspress.
Walaupun kerajaan bersetuju memenuhi tuntutan pengusaha bas, langkah tersebut sewajarnya disusuli dengan kesungguhan mereka untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih efisyen dan memuaskan pengguna.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 comments:
Nampaknya kenaikan tambang tidak boleh dielakkan. Cuma berapa kadar yang patut dibenarkan.
Apa yang tidak kurang penting ialah memastikan mutu perkhidmatan juga meningkat. Maka kadar yang kerajaan luluskan untuk operator-operator bas mestilah mengambil kira aspek ini.
Di Kuala Lumpur misalnya, banyak bas yang sudah uzur berada di jalan raya. Ada yang lampu belakang tidak bernyala. Ada yang nampak sangat buruk. Tentulah keadaan ini memberikan persepsi negatif kepada pelawat-pelawat asing.
Jika perkara ini dibangkitkan kepada syarikat-syarikat bas, mereka akan menggunakan `tiada untung' sebagai alasan.
Kerajaan perlu mengambil kira aspek ini dalam meluluskan kadar baru. Dalam masa yang sama, tambang yang terlalu tinggi akan menyusahkan pengguna bas, yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, pelajar dan pendatang asing.
Kebanyakan rakyat Malaysia tidak menggunakan bas kerana hampir di setiap rumah memiliki kereta dan motosikal.
Ketika harga minyak tidak nampak tanda akan turun ke paras selesa, tentulah semakin ramai penduduk terutama di bandar yang berura-ura untuk menaiki bas ke tempat kerja dan sebagainya. Tapi disebabkan perkhidmatan yang tidak efisien, hasrat tinggal sekadar hajat yang terpendam. - PAK TAM
Pendekatan menaikkan tambang bas sememangnya suatu perkara yg tidak dapat dielakkan, terutamanya dalam keadaan inflasi Malaysia yg tinggi berikutan pengurangan subsidi dan kenaikan harga minyak pasaran.
Namun, perkara yg LEBIH UTAMA ialah menaiktarafkan perkhidmatan awam terlebih dahulu, kerana syarikat pengusaha bas sentiasa akan cuba memaksimakan keuntungan dan mengabaikan kualiti dan keselesaan penumpang.
Servis yang cukup memalukan, spt tidak tepati masa, kekotoran, keadaan bas yg daif, sikap konduktor dan pemandu bas yg tidak sopan, meletakkan harga tambang sesuka hati (bas domestik), hanya akan menyebabkan rakyat benci dan menentang usaha menaikkan tambang ini. Bersama kenaikan harga tambang, kami mahukan (demand) kenaikan mutu dan tarap servis.
Jgn senang2 ingin menaikkan harga, tatkala org ramai sudah teruk menerima beban inflasi, melainkan rancangan itu TURUT menguntungkan rakyat (bukan setakat melayan permintaan pengusaha bas).
saya terlebih dahulu mengucapkan terima kasih dan syabas kepada kementerian penerangan kerana menggunakan pendekatan sebegini untuk mendengar pendapat dan luahan hati rakyat seperti kami. kami juga mengharapkan apa sahaja luahan hati atau pendapat kami yang bermanfaat atau berasas dipanjangkan oleh kementerian penerangan untuk perhatian pihak yang berkenaan.
untuk entri ini, saya mengharapkan kenaikan yang bakal diumumkan tidak terlalu tinggi kerana rakyat masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan kenaikan harga minyak dan barangan yang lain. harap kerajaan dapat mempertimbangkan alternatif lain bagi membantu pengusaha bas.kerajaan juga perlu bertanggungjawab kepada rakyat kerana telah menaikkan minyak tanpa terlebih dahulu menyediakan persiapan untuk rakyat.
bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan bas ekspres ke destinasi tertentu terutama pada hari jumaat sehingga hari minggu, saya mencadagkan agar bas sekolah digunakan untuk tujuan tersebut.memang ini telah berlaku tetapi apa yang saya mahukan ialah agar bas-bas sekolah ini di uruskan di bawah satu ajensi. dengan meletakkan bas-bas ini di bawah satu jenama atau ajensi,maka adalah lebih mudah untuk mengawal harga tiket yang dikenakan ke atas penumpang selain dapat mengelakkan kes penipuan yang melibatkan ulat. mutu perkhidmatan oleh bas sekolah ini juga dapat dipantau dan dijamin. penguna juga akan berasa lebih selamat untuk menaiki atau membeli tiket bas ini.
saya agak kurang mengerti mengapa dengan tiba-tiba syor kenaikan ini dipersetujui pihak kerajaan. saya masih ingat pada awal kenaikan harga minyak, kerajaan melalui kementerian berkenaan bermatian-matian membanteras kenaikan tiket oleh pengusaha. pada masa itu kerajaan menyatakan mereka memperoleh minyak pada harga lama. pengusaha bas pula memberikan sebab kos penyenggaraan yang meningkat tetapi kerajaan tetap bertegas tidak menerima kenaikan. tapi lain halnya sekarang mengapa dahulu cukup menentang tapi sekarang bersetuju? tolonglah rakyat yang bergantung harap kepada pengangkutan awam ini, tidak ada cara lainkah selain rakyat terus ditekan dengan kenaikan tiket nanti? tolong tangguhkan dulu dan minta pandangan SEMUA pihak.
terima kasih.
Isu bas bukan perkara baru. Presiden PMBOA, seorang peguam, Datuk Ashfar Ali pernah melahirkan rasa kesalnya terhadap kerugian yang ditanggung oleh pengusaha2 bas di negara tercinta ini.
Namun, pernahkah dibuktikan kerugian itu. Bagaimana rugi jika aspek penyelenggaraan bas tidak dipandang sama sekali.
Setuju juga saya dengan komen2 sebelum ini yang mengatakan tiada untung menyebabkan keadaan rupa bas menjadi tidak terurus.
PMBOA juga wajar kemukakan penyata akaun bagi setiap ahlinya untuk buktikan kerugian yang dikatakan.
Nyatakan juga kos2 yang mengakibatkan kerugian.
Jika difikirkan sejenak, berbaloikah kita menggunakan bas jika bas tidak berpendingin hawa, sudah tentu kita tidak mahu menggunakan bas.
Lebih baik naik motosikal sahaja.
Tetapi, jika PMBOA sudi mengesyorkan ahlinya membaiki keadaan bas seperti memasang pendingin hawa, meingkatkan aspek keselamatan dan lain-lain keperluan untuk kepentingan pengguna, sudah tentu bas akan kembalui menjadi pengangkutan popular seperti era zaman bas mini semasa sekitar 1980-an dahulu.
Mahukah kita membelanjakan wang kepada sesuatu yang tak berbaloi?
Cuba tanam dalam diri:
"People are willing to pay if the things that they buy make them satisfy."
Jangan salahkan kerugian, fikirkan perbuatan kita sehingga menyebabkan kita sendiri yang rugi.
- WAYANG-KULIT.BLOGSPOT
Post a Comment