Friday, June 10, 2011

Peluang bagi penghuni PPR miliki kediaman

Selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan setiap rakyat di negara ini memiliki kediaman sendiri terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan, satu badan khas akan diwujudkan untuk membantu penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang kurang mampu untuk membeli kediaman yang mereka duduki.

Seperti yang diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, cadangan penubuhan badan itu akan dibentangkan ke kabinet Ogos ini bagi mendapat kelulusan kerajaan.

Cadangan jangka pendek itu diharap dapat membantu kira-kira 24,000 pemohon yang rata-rata berdepan dengan masalah pinjaman bank disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya warga emas dan mereka yang tiada mempunyai pekerjaan tetap.



Badan yang bakal ditubuhkan itu akan berperanan untuk menguruskan pinjaman di mana proses dan prosedurnya berbeza dengan bank dengan syarat-syarat pinjamannya lebih longgar mengikut keupayaan pembayaran balik pembeli yang kebanyakannya berusia 50 tahun ke atas, selain mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Buat masa ini kerajaan telah menyediakan kuota sebanyak 35,000 unit rumah kepada penghuni PPR dan PA sekitar Lembah Klang, namun daripada 24,000 yang memohon, hanya 12,000 yang layak mendapat kelulusan pinjaman bank.

Dengan adanya badan tersebut nanti, baki mereka yang gagal mendapat pinjaman bank boleh memanfaatkan usaha kerajaan itu sekali gus mampu memenuhi impian mereka memiliki kediaman sendiri.

1 comment:

Anonymous said...

Disebabkan saya tidak mempunyai pekerjaan tetap, saya sukar untuk mendapatkan pinjaman bank untuk membeli rumah dan saya seperti mana mereka yang senasib dengan saya amat berharap usaha kerajaan ini akan membantu impian kami untuk memiliki kediaman sendiri.