Tuesday, May 10, 2011

Biasiswa untuk semua pelajar cemerlang

Selain pinjaman pendidikan yang boleh dibuat melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pelajar-pelajar cemerlang lulusan Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) kini tidak lagi perlu risau untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi apabila kerajaan memperkenalkan pelbagai bentuk biasiswa sebagai salah satu bentuk penghargaan kepada kecemerlangan akademik mereka.

Keputusan kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 8A+ dan ke atas dalam SPM 2010 tanpa mengira kaum dan dilaksanakan mulai tahun ini, mampu mengurangkan tekanan kepada pelajar untuk mencari sumber biaya pengajian.

Keputusan memperkenalkan biasiswa ini dibuat berikutan jumlah atau bilangan pelajar cemerlang yang meningkat tahun demi tahun dan jumlah mereka yang memohon boasiswa JPA turut meningkat. Bagaimanapun, disebabkan factor purata keputusan peperiksaan yang begitu tinggi, ramai di kalangan pelajar cemerlang ini gagal mendapat biasiswa JPA dan terpaksa memohon pinjaman menerusi PTPTN.



Inisiatif yang diambil oleh kerajaan ini boleh dianggap sebagai satu hadiah sekali gus mengiktiraf kecemerlangan mereka atas usaha gigih mencapai kejayaan dalam pelajaran. Sebagai kumpulan yang dikategorikan sebagai pelajar pintar, sewajarnya golongan ini diberikan perhatian tinggi selari dengan usaha kerajaan untuk mempertingkatkan jumlah golongan terpelajar, professional dan terlatih untuk mengisi pembangunan negara dalam usaha kita menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Begitu juga dengan biasiswa yang dilancarkan di bawah Bantuan Kewangan dan Geran Akademik 1Malaysia Development Bhd (1MDM) yang sebelum ini dilancarkan oleh kerajaan. Tanpa mengira kaum dan latar belakang keluarga, 1MDM ini terbuka kepada semua pelajar cemerlang lepasan SPM dan STPM untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Sewaktu dilancarkan baru-baru ini, seramai 330 pelajar cemerlang lulusan SPM dan STPM dipilih di mana pelajar STPM paling cemerlang dengan keputusan 5A1 akan menerima biasiswa bernilai RM15,000 hingga RM20,000 setahun sepanjang tempoh pengajian di institusi pendidikan terpilih.

Sementara bagi pelajar cemerlang SPM yang memperoleh keputusan minimum 10A pula akan menikmati bantuan kewangan antara RM7,500 hingga RM15,000 setahun untuk sepanjang tempoh pengajian di institusi pendidikan yang dipilih.
Semua penerima geran ini dikenal pasti melalui Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dan jumlah keseluruhan peruntukan membabitkan 330 pelajar tersebut berjumlah RM16 juta.
Pemilihan para pelajar tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dan keadilan sosial bagi memastikan pelajar cemerlang kurang berkemampuan dan mereka yang tinggal di luar bandar turut sama diberikan peluang melanjutkan pelajaran.

Memandangkan ia adalah geran kerajaan dan bukannya pinjaman seperti mana pinjaman PTPTN, mereka yang dipilih tidak perlu risau untuk membuat pembayaran balik. Cuma mereka yang dipilih menerima geran ini akan diikat dengan kerajaan dan segala ilmu dan kepakaran mereka akan digunakan untuk membantu pembangunan negara.
Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, keputusan kerajaan memberikan biasiswa menerusi JPA dan 1MDM itu dibuat setelah beliau meneliti maklum balas yang beliau terima melalui blog peribadi, 1malaysia.com.my di mana sebahagian besar pengunjung laman blog tersebut menganggap bidang pendidikan sebagai keutamaan pada hari ini.

No comments: