Walaupun ada pihak yang menganggap usaha kerajaan memperkenalkan skim rumah pertama ku kepada golongan muda berusia 35 tahun ke bawah dengan pendapatan di bawah RM3,000, boleh mengheret golongan itu ke kancah beban hutang dan pelbagai masalah lain, ia sebenarnya perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan dipandang daripada sudut yang lebih positif.
Jika bercakap tentang soal beban hutang, sebagai kumpulan pekerja yang menerima gaji bulanan, beban hutang sememangnya tidak dapat dielakkan. Sama ada membeli kediaman atau kereta, kita tidak terlepas daripada membuat pinjaman dan bayaran ansuran secara bulanan kepada instutusi-institusi kewangan.
Jadi soal beban hutang sebenarnya bukan pokok persoalan kerana selagi kita mengamalkan corak perbelanjaan berhemah dan mampu mengatur kewangan dan perbelanjaan dengan bijak, kita tidak akan terperangkap dengan beban hutang.
Sebenarnya memiliki kediaman sendiri di usia muda banyak kelebihannya. Jika golongan muda tidak mengambil kesempatan yang terbuka sekarang ini, sampai bila-bila mereka tidak akan mampu memiliki kediaman sendiri. Harga dan permintaan ke atas rumah kediaman kebelakangan ini semakin tinggi. Harga yang terus meningkat tentunya memerlukan kita menyediakan jumlah wang pendahuluan yang mengikut harga atau nilai semasa rumah.
Seperkara lagi, sektor hartanah bukan lah sesuatu yang merugikan kerana nilainya tidak akan jatuh malah akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Sebelum usia meningkat, ini lah masa paling sesuai terutama bagi mereka yang mempunyai pekerjaan tetap dan stabil untuk memiliki kediaman impian kerana apabila usia meningkat, harga rumah bukan sahaja tinggi malah pembeli juga terpaksa membayar ansuran lebih tinggi berdasarkan kadar maksimum tempoh pinjaman.
Tanpa wang pendahuluan, memiliki kediaman berharga RM220,000 bagi pembeli berusia 35 tahun ke bawah, bertujuan untuk membantu golongan ini bukan sahaja memiliki kediaman sendiri tetapi juga membantu mereka untuk mengatur perbelanjaan bulanan dengan lebih bijak.
Jika sebelum ini pembeli disyaratkan membayar sebanyak 10 peratus daripada harga rumah – bermakna untuk kediaman berharga RM200,000, mereka terpaksa menyediakan sebanyak RM20,000 sebagai wang pendahuluan. Jumlah tersebut agak membebankan terutama bagi mereka yang baru berkerja dan membina kehidupan. Jumlah sebanyak itu memerlukan mereka menabung dalam tempoh yang agak lama dan dalam masa yang sama harga rumah pula semakin meningkat.
Soal mereka terbeban dengan bayaran pinjaman balik perumahan yang tinggi adalah perkara kedua dan semua itu boleh diatasi jika seseorang itu bijak mengatur kewangan serta tidak terikut-ikut dengan trend atau gaya hidup bermewah. Jika golongan muda masih beranggapan mereka akan terbeban dengan jumlah bayaran balik yang tinggi setiap bulan untuk tempoh selama 30 tahun, sampai bila-bila pun mereka tersebut tidak akan mampu untuk memiliki kediaman sendiri.
Tidak dinafikan, dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan dan hidup di Bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang mahu pun Johor Bahru, golongan ini masih boleh dikategorikan sebagai golongan miskin bandar. Lebih-lebih lagi bagi golongan muda yang baru di alam pekerjaan. Dengan pendapatan bulan sekitar RM3,000 dan rata-rata mereka akan mendapat pendapatan bersih sekitar RM2,614, masih dianggap tidak cukup kerana mereka perlu juga untuk melunaskan pelbagai bil dan perbelanjaan lain.
Dan jika di Kuala Lumpur contohnya, dengan RM220,000 hanya melayakkan mereka untuk memiliki kondominium, jauh sekali untuk mendapatkan kediaman teres setingkat atau dua tingkat.
Namun, jika semua perkara tersebut dijadikan perkiraan dan dianggap menghalang golongan muda untuk memiliki kediaman sendiri, pilihan sebenarnya ada pada diri mereka sendiri. Bagi yang mampu, ini lah masanya sementara bagi mereka yang mempunyai komitmen beban hutang,mereka juga mampu memiliki kediaman impian asalkan mereka bijak mengawal dan mengatur kewangan dengan bijak dan berhemah.
Tuesday, May 3, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment