Friday, March 18, 2011

Kebajikan penjawat awam dijaga

Di sebalik beberapa keistimewaan yang diperoleh oleh kakitangan sejak kebelakangan ini, Perdana menteri tetap mengingatkan kakitangan awam agar berani menilai dan mengkaji semula amalan-amalan masa kini bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan memandangkan masih ada penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap sistem berkenaan.

Ini termasuk melihat kembali sistem dan prosedur kerja sedia ada, undang-undang dan peraturan yang diguna pakai, peralatan dan kelengkapan yang digunakan serta tahap kemahiran anggota organisasi yang melaksanakan tugas.


Apa yang penting menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, kakitangan awam perlu berubah sebelum perubahan menenggelamkan mereka selain perlu sentiasa relevan dan peka dengan kehendak pelanggan.

Sejajar dengan tuntutan perubahan tersebut, kakitangan awam turut disajikan dengan beberapa insentif baru dan menarik sebagai pendorong kepada mereka untuk melaksanakan tanggungjawab secara lebih berkesan dan efisien.

Antara keistimewaan tersebut termasuklah kelayakan menikmati kemudahan rawatan percuma bagi pesara skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau di bawah Seksyen 6A(6) Akta 227/239 termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan percuma.

Pelaksanaan pemanjangan rawatan perubatan percuma kepada pesara skim KWSP ini hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah skim KWSP yang telah di bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan. Bagaimanapun, ia tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.

Berkuat kuasa mulai tarikh semasa, ganjaran akan dibayar 100 peratus kepada anggota sektor awam yang bersara pilihan di bawah pilihan skim pencen sekali gus memansuhkan penangguhan bayaran sebahagian ganjaran sebelum ini.

Kajian semula sistem saraan sedang dijalankan bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih produktif, berinovasi, kreatif dan berprestasi tinggi.

Selain itu kerajaan akan memperkenalkan anugerah khas kepada penjawat awam yang aktif dalam aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan selain menunjukkan mutu kerja yang tinggi. Untuk itu, tahap prestasi kerja dan penglibatan aktif dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan tersebut.
Pegawai-pegawai awam di peringkat pertengahan yang berpotensi tinggi akan dihantar untuk mengikuti kursus-kursus terpilih bagi menyediakan mereka dengan kemahiran kepimpinan. Pada masa sama, kemajuan kerjaya dan peluang-peluang kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana akan diperluaskan kepada pegawai yang telah berjaya memiliki kelayakan yang tinggi.

Mengenai pengisian jawatan dalam sektor awam pula, satu kajian terperinci akan dilaksanakan untuk merasionalisasikan perkhidmatan awam bertujuan mengurangkan lebihan anggota melalui penjajaran semula fungsi agensi yang bertindih, pengawalan pengisian jawatan kosong dan pengagihan semula perjawatan.

Apa yang menariknya, Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang selama ini menjadi rungutan kerana dianggap sebagai halangan untuk peningkatan dalam kerjaya akan digantikan dengan penilaian baru yang lebih memfokuskan kepada elemen pembangunan kompetensi berasaskan gred dan jawatan serta mengambil kira keunikan pelbagai skim perkhidmatan. Untuk memastikan ia relevan, ketua perkhidmatan atau ketua jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Selain itu satu jawatankuasa penilai pemantauan prestasi akan ditubuhkan bagi memastikan pegawai kerajaan terlibat dalam sistem pool tidak teraniaya di mana elemen keadilan dan penilaian bebas akan diamalkan.

Bagi pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi, satu kaedah exit policy akan diwujudkan di bawah Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia untuk menamatkan perkhidmatan tersebut.

Apa yang menjadi harapan kerajaan, dengan pemberian beberapa insentif baru dan keistimewaan ini akan menjadi satu pendorong kepada seluruh kakitangan awam untuk memberikan perkhidmatan terbaik sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melakukan transformasi besar-besaran menerusi Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) bagi memastikan perkhidmatan awam berubah mengikut kehendak atau tuntutan semasa.

No comments: