Monday, June 2, 2014
Malaysia Monopoli Pengiklanan Menerusi Teksi Di Jepun
Malaysia memonopoli medium pengiklanan menerusi teksi di tujuh bandar utama Jepun hasil hubungan erat yang terjalin antara Tourism Malaysia dan syarikat pengendali teksi di negara itu.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sebanyak 840 teksi di Osaka, Tokyo, Kobe, Yokohama, Fukuoka, Nagoya dan Sapporo 'dilekatkan' dengan gambar produk pelancongan negara ini, selain risalah berkaitan dimuatkan dalam kenderaan terbabit.
"Tidak ketinggalan, pemandu teksi di Jepun akan dibawa melawat Malaysia secara berperingkat supaya mereka dapat merasai sendiri pengalaman bercuti dan kemudian bercerita kepada penumpang.
"Kita tahu pemandu teksi Jepun adalah kumpulan yang dikenali atas sifat jujur dan sopan santun yang tinggi, dan medium iklan menerusi teksi juga baik kerana perkhidmatan teksi di sana berjalan tanpa henti," katanya pada sidang media berkaitan kerjasama antara Tourism Malaysia dan Persatuan Teksi Sango dari Jepun di sini hari Ahad.
Turut hadir Presiden Persatuan Sango Yamane Shigetaka.
Mohamed Nazri berkata kaedah pengiklanan itu dimulakan sejak Oktober lepas dan antara faktor yang menyebabkan negara matahari terbit itu dipilih ialah kerana jumlah kemasukan pelancong dari Jepun ke sini.
"Kita menyasarkan 600,000 pelancong Jepun untuk tahun 2014 dan sehingga Mac lalu, seramai 149,859 kemasukan pelancong Jepun direkodkan, dan jumlah ini adalah meningkat sebanyak 7.9 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya," katanya.
Beliau juga memaklumkan sejumlah 46 pemandu teksi yang terbabit dalam program itu dibawa ke Malaysia sejak 29 Mei lepas dan dibahagi kepada beberapa kumpulan sebelum melawat ibu negara, Melaka serta Genting Highlands dan berlepas pulang malam ini.
Sementara itu, Shigetaka menerusi penterjemah memaklumkan beliau tidak sabar untuk menceritakan pengalaman kali pertama di Malaysia kepada anggota keluarga dan penumpang selepas kembali ke negara asal.
"Saya sangat kagum dan sangat suka dengan Malaysia kerana turut mempunyai makanan yang sedap. Saya janji apabila pulang ke Jepun, saya akan bawa pemandu teksi datang ke sini dan beritahu penumpang supaya datang ke Malaysia," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment