Monday, June 9, 2014
Jangan Salah Guna Pinjaman Skim Mikro-i Bazar Ramadan
Peniaga dan penjaja di negeri ini yang membuat pinjaman Skim Pembiayaan Mikro-i Bazar Ramadan 2014 dinasihat agar tidak menyalahgunakan pinjaman itu.
Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan Negeri Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata, di Pahang sahaja terdapat lebih 10,000 peniaga dan penjaja berdaftar yang layak mendapat pinjaman itu.
"Sebahagian besar mereka berniaga secara kecil-kecilan di pekan sehari, pasar malam, pasar tani dan gerai sekitar taman perumahan di negeri ini.
"Sehubungan itu, kita berharap mereka tidak menyalahgunakan pinjaman yang diperoleh dan bersikap jujur dengan melunaskan pinjaman apabila cukup tempoh sepertimana ditetapkan pihak bank," katanya kepada pemberita di sini.
Skim Pembiayaan Mikro-i Bazar Ramadan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Khamis lalu melibatkan peruntukan RM45 juta dengan pinjaman diuruskan oleh Bank Rakyat, manakala permohonan pula perlu dibuat melalui Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil.
Menerusi skim itu, peniaga diberi pinjaman berlandaskan syariah tanpa cagaran sehingga RM3,000 untuk dijadikan modal perniagaan pada bulan Ramadan dengan kadar bayaran balik dua bulan selepas pinjaman.
Shahiruddin berkata, skim pinjaman itu membuktikan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dengan nasib masyarakat peniaga dan penjaja yang banyak membantu kerajaan meningkatkan ekonomi negara.
Dalam masa yang sama beliau turut menyarankan golongan berkenaan supaya mendaftar dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil di daerah masing-masing untuk memudahkan mereka mendapat pinjaman itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment