Wednesday, May 21, 2014
14,884 Pengguna Memohon Berdaftar Untuk Lindungi Data Peribadi
Sejumlah 14,884 pengguna data serta organisasi pengguna data memohon pendaftaran sehingga April tahun ini sebagai tanda komitmen untuk melindungi data peribadi pengguna.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jumlah itu melebihi sasaran ditetapkan iaitu sebanyak 8,500 permohonan.
Komitmen pengguna data itu selaras dengan penguatkuasaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) pada 15 November tahun lepas, yang diperkenalkan bagi mencegah penyalahgunaan data peribadi orang awam untuk tujuan komersial, katanya.
"Sambutan menggalakkan ini menggambarkan komitmen dan kesungguhan pengguna data menerima perubahan dari segi persekitaran, perundangan dan perniagaan baharu serta menjadikan pematuhan sebagai proses berterusan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Akta itu diluluskan pada April 2010 sebagai sebahagian matlamat dasar ke-10 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu bagi menjamin keselamatan maklumat serta kebolehpercayaan dan keutuhan rangkaian dalam perlindungan data di Malaysia.
Ahmad Shabery berkata permohonan untuk pendaftaran yang sedang diproses Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi itu melibatkan 11 sektor pengguna iaitu komunikasi, perbankan dan institusi kewangan, insurans, kesihatan, pelancongan, pengangkutan, pendidikan, jualan langsung, perkhidmatan, hartanah dan utiliti.
Pendaftaran merupakan satu prosedur iaitu organisasi yang memproses data atau pengguna data akan memaklumkan kepada Pesuruhjaya tentang aktiviti pemprosesan data peribadi dijalankan.
Antaranya menyatakan tujuan data peribadi diproses, nama dan jawatan pegawai yang bertanggungjawab, memaklumkan kepada siapa dan bagaimana data peribadi didedahkan serta lokasi pemindahan data peribadi ke luar negara sekiranya ada.
Ahmad Shabery berkata pelaksanaan akta itu dijalankan menerusi tiga fasa iaitu fasa pertama yang memberi tumpuan kepada aspek pendaftaran pengguna data yang terlibat dan mengadakan program kesedaran umum.
"Kita baru fasa pertama memandangkan fasa pertama telah melebihi sasaran maka fasa kedua sudah pun dimulakan pada April lepas," katanya.
Ahmad Shabery berkata fasa kedua memberi penekanan kepada aspek pematuhan dan penilaian bagi mengukur tahap kesediaan entiti pengguna data bagi membangunkan kod tata amalan dan lain-lain amalan terbaik.
Dalam fasa kedua itu akan dilaksanakan Forum Pengguna Data untuk mewujudkan tata amalan, selain itu beberapa garis panduan nasihat berhubung pemasaran langsung, panduan pematuhan, hubungan majikan pekerja dan pendekatan persetujuan juga telah dimuat naik dalam portal Jabatan Perlindungan Data Peribadi.
"Selepas ini kita akan melihat untuk pelaksanaan fasa ketiga yang dijangka boleh dimulakan pada Julai atau Ogos tahun ini," katanya.
Fasa ketiga akan merangkumi pelaksanaan penuh Akta 709 melalui penyeliaan, pemantauan, pemeriksaan dan penyiasatan.
Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut menyerahkan perakuan pendaftaran kepada pihak-pihak industri antaranya Celcom dan Telekom Malaysia daripada sektor komunikasi, Maybank daripada sektor perbankan dan Malaysia Airlines (MAS) daripada sektor pengangkutan.
Setiap pendaftaran yang diluluskan akan disertakan perakuan pendaftaran dan ia perlu dipamerkan di tempat mudah dilihat di premis masing-masing bagi meningkatkan tahap kepercayaan dan keyakinan pengguna.
Ahmad Shabery berkata bagi melindungi subjek data daripada ancaman 'spams' sebagai langkah jangka panjang pula, kementerian turut menjalankan kajian dari segi perundangan, sistem IT, modus operandi, kaedah kawal selia dan model pembiayaan untuk melaksanakan sistem daftar larangan panggilan (NCRS)menjelang suku keempat tahun ini.
Sistem itu bertujuan membolehkan subjek data yang tidak bercadang menerima panggilan dari ejen pemasaran langsung mendaftarkan nombor telefon mereka melalui sistem yang disediakan secara percuma, katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment