Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah Khas 2014 kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Mohd Ali Hamsa sempena Hari Pekerja Penjawat Awam 2014
Lima prinsip digariskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diikuti oleh penjawat awam untuk menambah baik lagi perkhidmatan mereka kepada rakyat.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kelima-lima prinsip itu amat bermanfaat dalam usaha meningkatkan prestasi kakitangan awam di negara ini.
Katanya apa yang penting ialah supaya sumbangan mereka dapat meningkatkan lagi prestasi ekonomi negara pada keseluruhannya.
"Kelima-lima prinsip ni kita akan terus perhebatkan lagi dalam perkhidmatan awam khususnya dan bila kita lihat ke lima-lima prinsip ni kita yakin ia akan dapat meningkatkan lagi prestasi kita khususnya dalam meningkatkan produktiviti dan juga sumbangan kita ke arah pembangunan negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam Tahun 2014 di Dewan Wawasan di sini Khamis yang disempurnakan Perdana Menteri.
Najib pada majlis itu berkata lima prinsip/kriteria diperlukan pada penjawat awam bagi mendakap tranformasi dan bergerak ke hadapan bagi tempoh 50 tahun akan datang.
Prinsip tersebut adalah berilmu, kebolehpercayaan, budaya amalan kerja terbaik, semangat patriotik dan budaya yang berteraskan hasil.
Pada majlis itu, Ali menerima anugerah Khas Cuepacs 2014.
Beliau melahirkan rasa terkejut atas anugerah yang diterima kerana tidak menyangka akan dipilih menerima anugerah tersebut.
Sementara itu, beliau mengucapkan selamat menyambut hari pekerja kepada semua penjawat awam khususnya dan semua pekerja seluruh negara.
Beliau berharap pekerja sektor awam dan swasta akan terus memberi perkhidmatan, sumbangan kepada negara dengan meningkatkan lagi produktiviti, selain menambah hasil usaha mereka melalui kreativiti dan juga langkah-langkah yang lebih inovatif.
No comments:
Post a Comment