Selepas pelaksanaannya tertangguh beberapa kali, berkuat kuasa Januari tahun hadapan, majikan di negara ini tidak lagi mempunyai sebarang alasan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum dan tidak akan ada sebarang pengecualian diberikan kepada mana-mana syarikat di mana mereka dikehendaki membayar gaji minimum sebanyak RM800 sebulan di Sarawak dan Sabah dan RM900 di Semenanjung mengikut Perintah Gaji Minimum 2012 bagi sektor swasta.
Malah kerajaan juga tidak akan melayan sebarang permohonan rayuan untuk melanjutkan pelaksanaannya kerana ia akan menyukarkan usaha kerajaan untuk mencapai status negara maju di mana pelaksanaan gaji minimum itu secara keseluruhannya mampu memberikan keselesaan kepada pekerja, apatah lagi dalam menghadapi kenaikan harga barangan dan taraf kehidupan yang semakin tinggi.
Kerjasama daripada pihak majikan dituntut dan mereka perlu lebih bertimbang rasa dan tidak terlalu bersikap mementingkan keuntungan semata-mata dan sekiranya selepas tempoh penguatkuasaan dijalankan dan terdapat majikan yang masih berdegil, golongan pekerja boleh mengemukakan aduan dan laporan kepada pihak kementerian.
Pihak majikan juga perlu sedar bahawa langkah yang diambil oleh kerajaan itu bukan sahaja bertujuan untuk membela nasib golongan pekerja di negara ini tetapi lebih penting tindakan itu adalah selari dengan usaha kerajaan untuk melonjakkan pendapatan rakyat seperti mana yang telah digariskan dalam Wawasan 2020 – menjadikan negara ini sebagai negara maju berpendapatan tinggi.
No comments:
Post a Comment