Wednesday, July 31, 2013

Operasi Buru PATI Habis-Habisan



Banyak pihak mengalu-alukan langkah kerajaan untuk membersihkan negara ini daripada masalah kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI) kerana penyelesaian secara menyeluruh yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen di seluruh negara selepas sambutan Aidilfitri ini perlu disokong oleh semua pihak kerana masalah kebanjiran PATI ini jika tidak diambil tindakan boleh menjejaskan keselamatan negara di masa akan datang.

Langkah yang diambil oleh Jabatan Imigresen itu merupakan susulan daripada Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) yang dimulakan Oktober 2011 hingga 18 Julai lalu di mana dalam tempoh tersebut seramai 41,647 PATI berjaya ditahan.

Dalam tempoh itu juga seramai 1,000 majikan ditahan dengan 316 orang daripadanya didakwa di mahkamah manakala 46 orang lagi dipenjara. Sepanjang tempoh program itu juga seramai 1.3 juta PATI telah didaftarkan di mana daripada jumlah itu kira-kira 500,000 PATI telah diputihkan manakala 330,000 telah kembali ke negara asal masing-masing secara sukarela.

Operasi yang akan dijalankan kali ini lebih menyeluruh kerana ia bukan setakat memberi tumpuan kepada laluan ‘tikus’ yang menjadi pintu masuk PATI tetapi juga di tempat kerja seperti pusat hiburan, restoran, lading dan kilang-kilang haram di seluruh negara.

Untuk memastikan usaha tersebut mencapai matlamatnya, operasi kali ini turut dijalankan secara bersepadu dan berterusan membabitkan kerjasama daripada agensi-agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Dalam pada itu Jabatan Imigresen menganggarkan operasi berskala besar kali ini akan memberi tumpuan untuk memburu habis-habisan kira-kira 400,000 PATI yang kebanyakannya bekerja di sektor perkhidmatan, pembinaan dan peladangan. Tumpuan akan diberikan kepada negeri-negeri yang menjadi tumpuan PATI yang berkerja di sektor perkhidmatan dan pembinaan seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang



Bagi sektor peladangan pula, tumpuan akan dilakukan ke atas negeri-negeri seperti Johor, Pahang dan Perak.

Peningkatan jumlah PATI di negara ini setiap tahun disebabkan wujudnya permintaan yang tinggi bagi sektor-sektor berkenaan. Bagaimanapun, jumlah kehadiran PATI di sektor perkilangan kini dapat ditanggani ekoran sikap pengurusan kilang yang mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan melainkan kilang-kilang yang beroperasi secara haram yang masih banyak menggunakan tenaga PATI.

Dalam operasi kali ini juga Jabatan Imigresen juga memberi jaminan bahawa operasi pintu ke pintu, kilang ke kilang dan rumah ke rumah akan dilakukan berdasarkan maklumat yang betul supaya usaha membanteras PATI dapat dilaksanakan dengan berkesan dan pihak Jabatan Imigresen turut memberi amaran tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang menyalahi undang-undang menggaji PATI di negara ini.



Setiap majikan yang didapati menggaji PATI berkemungkinan berdepan hukuman di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP) yang boleh dikenakan hukuman maksimum 20 tahun penjara kerana kesalahan mengaji orang yang tidak sah.

No comments: