Tuesday, June 18, 2013

Pengamal Media Sosial perlu Lebih Bertanggungjawab

Walaupun kerajaan Malaysia tidak mengambil langkah mengenakan syarat baharu perlesenan terhadap portal berita seperti mana yang diambil oleh kerajaan Singapura untuk mengawal salah laku, banyak pihak menganggap langkah kerajaan itu sebagai tepat untuk membolehkan prinsip-prinsip demokrasi berfungsi dengan baik dan undang-undang sedia ada ketika ini sudah cukup untuk menanggani isu yang ditimbulkan di laman-laman media sosial.

 Datuk Seri Najib Tun Razak

Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga berpandandangan bahawa rakyat dan pengamal media semestinya berpegang kepada pendirian mulia supaya tiada di antara kita yang menyimpang mahupun menyalahgunakan kuasa. Sambil mengingatkan agar pengamal media tidak menyalahgunakan kuasa yang ada, beliau juga menganggap tindakan kerajaan tidak mencontohi pendekatan kerajaan Singapura itu di sebabkan oleh landskap media dan organisasi berita di negara ini telah mengalami perubahan yang amat pesat dengan kehadiran media dalam talian melengkapi media cetak dan media elektronik sedia ada.

Keputusan kerajaan itu juga disambut baik oleh orang ramai dan pengguna media sosial tetapi dalam masa yang sama mereka turut menyarankan agar kerajaan terus mencari jalan penyelesaian kepada isu atau masalah penyalahgunaan media sosial dan internet melalui undang-undang sedia ada atau dibentuk undang-undang baharu selain mengemaskini undang-undang sedia ada.

Dalam masa yang sama, rakyat juga mencadangkan agar kerajaan turut mengambil kira atau mempertimbangkan budaya masyarakat tempatan dan tahap kesesuaian undang-undang internet di negara-negara Barat sebelum ia boleh digunapakai di negara ini. Antara perkara yang boleh dipertimbangkan di sini termasuklah sensitiviti kaum, nilai sejarah, tahap pendidikan dan kesediaan warga Malaysia menerima undang-undang ini perlu terlebih dahulu dititikberatkan.

Beberapa negara Barat turut mengambil kira soal ini dalam menanggani isu ini. Di Amerika Syarikat umpamanya, walaupun negara itu mengamalkan kebebasan bersuara, baik di alam maya atau realiti, namun mereka tetap terikat dengan pelbagai akta dan undang-undang bagi melindungi mereka seperti Akta Hasutan, Akta Buli dan Pencerobohan Privasi. Dengan adanya peruntukan tersebut, rakyat di negara itu tidak sebebas atau sewenang-wenangnya mengeluarkan pandangan, pendapat dan sebagainya sehingga mereka boleh membezakan yang mana satu gurauan dan yang mana perkara serius terutama jika melibatkan isu negara, presiden dan sebagainya.

Baru-baru ini kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia, bercadang untuk meneliti peraturan internet di tiga buah negara, iaitu Amerika Syarikat, Britain dan Australia dalam usaha membendung penyalahgunaan media sosial di negara ini.

Internet di Amerika Syarikat dikawal selia oleh satu set undang-undang di sebalik ia mengamalkan kebebasan bersuara terhadap persekutuan dan negeri tetapi dalam masa yang sama pihak berkuasa boleh merampas domain profil pengguna dan komputer tanpa notis dan mampu menyebabkan laman web tidak dapat meneruskan operasi.

Sementara di Australia, kandungan internet dikawal selia Australian Communications and Media Authority (ACMA) yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan sekatan pada kandungan internet dalam negara. Malah pihak berkuasa negara itu juga boleh menyenarai hitam laman web luar negara selain menapis perisiannya. Tumpuan sekatan terutama kepada pornografi kanak-kanak, keganasan seksual, dan aktiviti haram lain yang dilakukan hasil proses aduan pengguna.

Di Britain pula penapisan internet termasuklah menyekat akses kepada laman web, menguatkuasa undang-undang jenayah penerbitan atau pemilikan bahan tertentu, termasuk, fitnah, hak cipta, hasutan keganasan dan pornografi kanak-kanak. Melalui penubuhan Internet Watch Foundation (IWF), mereka mampu untuk menyusun dan mengekalkan satu senarai hitam, terutamanya URL pornografi kanak-kanak, maka 98 peratus daripada pelanggan Internet komersil di negara itu ditapis.

Isu penyalahgunaan media sosial di Malaysia kebelakanghan ini meningkat terutama yang menjurus kepada fitnah dan hasutan. Walaupun negara ini sudah mengunapakai Akta Fitnah dan Akta Hasutan untuk membendung gejala ini, pendekatan lebih drastik dan pantas perlu diambil tanpa sebarang tolak ansur kerana kesannya cukup besar dalam konteks memelihara keharmonian negara seterusnya boleh mengundang berlakunya huru hara.

Jadi adalah amat penting bagi rakyat negara ini untuk lebih berhemah dan bertanggungjawab tabahan pula tahap kesedaran rakyat negara ini terhadap konsep kebebasan bersuara, hak privasi dan keperluan untuk menghormati hak, suara dan pandangan orang lain masih rendah berbanding masyarakat di negara-negara Barat.

Apa yang penting ialah memberikan pendedahan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat. Mereka perlu dididik dan diperjelaskan apa hak mereka ketika berada di media sosial dan bukan sewenang-wenangnya bersuara tanpa batasan dan mengabaikan undang-undang sedia ada. Seorang pengamal media sosial juga perlu peka dan lebih bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk penulisannya dan bersedia menerima hukuman.

No comments: