Wednesday, May 22, 2013

Kerajaan Usaha Untuk Turunkan Caj Internet



Pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan berusaha memperluaskan infrastruktur komunikasi ke seluruh negara bagi memastikan caj internet dapat ditawarkan pada kadar yang lebih murah agar pelbagai pihak di negara ini termasuk golongan peniaga kecil akan mendapat manfaatnya.

Ketika mengambil alih tugas sebagai menteri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia daripada bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim baru-baru ini, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, satu kajian lanjut mengenai perbandingan caj perkhidmatan itu dengan negara-negara lain akan dilakukan dalam masa terdekat.

Ketika ini kadar penembusan jalur lebar di kalangan rakyat negara ini hanya 60 peratus berbanding negara maju lain yang ada antaranya sudah mencecah hampir 100 peratus dan sudah sampai masanya pembangunan infrastruktur komunikasi tersebut dipertingkat dan diperhebatkan pada masa akan datang. 

Kerajaan melihat usaha ke arah itu sangat penting memandangkan kemudahan komunikasi hari ini sudah menjadi suatu perkara asas dan merupakan satu keperluan seperti mana kemudahan-kemudahan lain kerana jika perubahan tidak dilakukan sekarang, jurang penembusan jalur lebar di kalangan rakyat negara ini dengan rakyat di negara-negara maju akan lebih melebar.

Selain memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada internet dengan bayaran lebih murah pihak kementerian menurut beliau turut memberikan tumpuan untuk mempertingkatkan mutu sistem penyiaran di negara ini terutama membabitkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan mengubah sistem analog yang diguna pakai sekarang kepada sistem digital sepenuhnya dalam tempoh empat tahun akan datang.

Menurut beliau, pihak kementerian akan mempercepat pelaksanaan perkhidmatan televisyen digital terutama untuk memperbanyakkan lagi saluran selain memberikan focus yang lebih khusus untuk kepentingan rakyat dan kepentingan awam.

No comments: