Monday, April 1, 2013

Internet Percuma Untuk Golongan Berpendapatan Rendah



Untuk memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan internet sekali gus merapatkan jurang teknologi maklumat yang semakin canggih, banyak pendekatan telah diambil oleh kerajaan untuk memberikan pendedahan kepada rakyat terutamanya masyarakat luar bandar untuk sama-sama berkongsi pengetahuan.

Langkah itu juga selari dengan dasar kerajaan untuk melahirkan masyarakat berilmu dan menyediakan rakyat negara ini dengan kemahiran kerana untuk menjadi sebuah negara maju, pemikiran dan pengetahuan rakyat juga perlu selari dengan kemajuan pembangunan yang dicapai.




Antara langkah yang diambil oleh kerajaan ialah memberikan perkhidmatan internet percuma kepada golongan kurang mampu sama ada di bandar mahu pun di luar bandar. Inisiatif kerajaan ini akan membolehkan pengguna internet yang kurang berkemampuan bakal memperoleh perkhidmatan internet percuma untuk penggunaan 30 minit pertama.

Mereka yang mendapat manfaat ini membabitkan kira-kira lima juta orang jika mengambil kira jumlah penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) di seluruh negara termasuk di kalangan golongan bujang yang berpendapatan di bawah RM3,000.

Buat pertama kalinya, golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar kini boleh menikmati perkhidmatan internet secara percuma apabila Pusat Internet 1Malaysia (PL1M) yang pertama akan dibina di Kerinchi,  Kuala Lumpur di mana Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, Kerinchi di sini dipilih sebagai projek perintis pembinaan pusat itu.




Sejak dilaksanakan pada 2010, sebanyak 306 PI1M telah dibina di kawasan luar bandar di seluruh negara. Pada tahun ini sebanyak 100 pusat itu akan dibina di bandar dengan memberi tumpuan pada kawasan PPR terpilih sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2013.

PI1M yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM di mana pusat itu akan dilengkapkan dengan 20 unit komputer meja dan perkakasannya menggunakan kemudahan internet jalur lebar berkelajuan tinggi serta kemudahan WiFi.


Untuk memastikan kelancarannya, dua kakitangan dilantik untuk menguruskan pusat tersebut serta menganjurkan latihan dan bimbingan berterusan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi secara percuma kepada semua pengguna.

Golongan orang kurang upaya (OKU) tidak dipinggirkan untuk memperoleh manfaat daripada program berkenaan kerana pusat perkhidmatan itu turut dilengkapi kemudahan Braille dan kemudahan-kemudahan lain yang mesra golongan itu.

No comments: