Wednesday, February 13, 2013

Dana bantu Kecemerlangan Pelajar



Satu lagi kemudahan bagi golongan pelajar apabila kerajaan memperkenalkan Skim Prihatin Pendidikan 1 Malaysia (SPP1M) – satu produk pinjaman berkonsepkan dana tambahan berjumlah RM5 bilion khusus buat pelajar ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana.

SPP1M berfungsi sebagai pinjaman tambahan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedia ada untuk pelajar yang sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang tertentu di mana di bawah skim ini pelajar boleh memohon pinjaman tambahan RM150,000 bagi bidang kepakaran perubatan dan RM100,000 untuk krusus teknologi dan profesional terpilih.


Langkah kerajaan memperkenalkan dana yang besar jumlahnya itu dalam bentuk biasiswa dan pinjaman menunjukkan kerajaan begitu prihatin untuk membantu meringankan beban dan tekanan kepada ibu bapa untuk membiayai kos pengajian anak-anak yang semakin hari meningkat. Selain itu ia juga merupakan satu galakan atau insentif oleh kerajaan untuk melahirkan lebih ramai tenaga pakar dan profesional dalam bidang-bidang yang dianggap mendesak.


Bi bawah skim yang baru diperkenalkan itu, dua buah bank iaitu Maybank dan RHB sudah pun menyatakan persetujuan untuk menawarkan pinjaman dengan kadar faedah yang jauh lebih rendah berbanding kadar biasa

Katanya, Maybank dan RHB telah bersetuju menawarkan pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah berbanding biasa ke atas pelajar semasa dalam tempoh pengajian dan melalui cara itu diharapkan agar lebih ramai pelajar negara ini berpeluang untuk meneruskan pengajian di institusi-institusi pengajian terkemuka di seluruh dunia.

Skim itu akan dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu suku kedua tahun ini untuk kemasukan ke universiti tempatan dan Jun untuk program berkembar dan program luar negara. Konsep pinjaman itu dianggap unik dan belum pernah dilakukan sebelum ini dan ia dibuat semata-mata untuk meringankan beban rakyat terutama golongan pertengahan.

Skim itu akan dikendalikan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputra (YPPB) di mana ia menawarkan tempoh pinjaman selama 20 tahun iaitu 15 tahun pembayaran balik dengan kadar faedah semasa tempoh pengajian dipermodalkan. Pembayaran balik bermula enam bulan selepas tamat pengajian atau akhir pengajian.

Sasaran kerajaan supaya institusi kewangan akan menjana keseluruhan dana pinjaman berjumlah RM5 bilion. Skim tersebut kemudiannya dijamin oleh kerajaan setakat 10 peratus daripada portfolio keseluruhan jumlah dana pinjaman tersebut.

Tempoh jaminan yang diberikan kerajaan tidak terhad dan akan kekal sehingga keseluruhan dana SPP1M yang berjumlah RM5 bilion daripada institusi kewangan yang terlibat habis dipinjamkan kepada pelajar.


Statistik tahun 2011 menunjukkan seramai 943,548 pelajar dengan 508,256 di institusi pengajian tinggi awam, 482,973 di institusi pengajian tinggi swasta dan 6,319 di kolej komuniti.

Pelajar yang menyambung pengajian di luar negara pula berjumlah 89,686 orang di mana 27,003 adalah di bawah tajaan kerajaan korporat serta agensi lain manakala 62,683 tajaan sendiri.

No comments: