Tuesday, December 11, 2012

Iskandar Malaysia Lambang Kejayaan Ekonomi Negara



Nyata perancangan Malaysia untuk membangunkan Iskandar Malaysia sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi wilayah selatan mula menampakkan hasil memberangsangkan apabila menerima pelaburan baru dengan nilai dianggarkan sebanyak RM28 bilion menerusi enam kerjasama berasingan membabitkan beberapa syarikat baru-baru ini.

Dengan itu menjadikan jumlah komitmen pelaburan di wilayah pembangunan ekonomi itu setakat 30 September lalu telah mencecah sebanyak RM99.79 bilion dalam pelbagai sektor di mana sebanyak RM42 bilion atau 43 peratus telah berjaya direalisasikan dengan 63 peratus daripadanya merupakan pelabur tempatan.



Kemasukan pelabur dengan jumlah pelaburan sebegitu besar menunjukkan usaha kerajaan untuk membangunkan Iskandar Malaysia selaras dengan matlamat asal penubuhannya kini berada di landasan tepat. Secara tidak langsung ia juga menunjukkan keyakinan tinggi di kalangan pelabur tempatan dan luar negara yang mula melihat potensi besar di kawasan tersebut.

Komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh kerajaan itu dan usaha berterusan yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Iskandar Malaysia dijangka akan terus menerima kemasukan pelabur.

Transformasi ekonomi besar-besaran yang dinikmati oleh negeri  Johor terutama di kawasan Iskandar Malaysia sejak enam tahun lalu diakui oleh kebanyakan negara luar dan dijadikan contoh oleh kebanyakan negara terutama negara-negara bersaiz kecil untuk membangunkan ekonomi masing-masing.

Bagi memastikan pembangunan Iskandar Malaysia mencapai matlamatnya, kerajaan terus memberikan komitmen tinggi termasuk menganjurkan pelbagai forum untuk mendedahkan Iskandar Malaysia kepada pelabur asing dan tempatan tentang kelebihan dan keberuntungan yang bakal diperoleh sekiranya membuat pelaburan di kawasan tersebut.



Berlangsungnya Forum Ekonomi Dunia Islam (WIFE) di Iskandar Malaysia baru-baru ini merupakan usaha berterusan untuk memasarkan jenama Iskanfar Malaysia di mata dunia sekali gus membolehkan peserta melihat sendiri kejayaan Iskandar Malaysia terutamanya kejayaan negeri Johor yang secara tidak langsung melewati transformasi sosio-ekonomi yang sama sekali telah mengubah wajah negeri di selatan tanah air itu yang kini menjadi puast kepada pelaburan dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, pelancongan, penjagaan kesihatan, pembuatan serta prasarana dan pembangunan hartanah.

No comments: