Monday, November 19, 2012

Malaysia 10 Negara Pelancongan Popular Dunia


Cukup membanggakan apabila Malaysia berada pada kedudukan ke sembilan daripada 10 buah negara pelancongan paling popular di dunia  - satu-satunya negara di Asia Tenggara dan ke dua di benua Asia selepas China yang menerima kedatangan pelancong paling ramai sepanjang tahun 2011.


Malah melihat kepada pencapaian itu, sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan untuk mencatatkan 36 juta orang pelancong dengan jumlah pendapat sebanyak RM168 bilion menjelang tahun 2020, bukan lah sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Bagaimanapun, ia perlu disusuli dengan tindakan lebih agresif untuk mempromosikan Malaysia di peringkat global.


Mendahului senarai yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO),  Perancis terus unggul di tangga pertama dan menjadi pilihan penduduk dunia apabila mencacat kedatangan jumlah pelancong seramai 79.5 juta. Diikuti oleh Amerika Syarikat dan seterusnya China. Sementara Sepanyol serta Itali masing-masing berada di tangga keempat dan kelima. Turki ditangga keenam dan Britain ditangga ketujuh. Jerman ditangga ke lapan dan Mexico ditangga ke 10.


Berbanding sembilan buah negara tersebut dan jika dibandingkan daripada segi saiz, Malaysia adalah negara paling kecil tetapi keupayaannya berada dalam senarai 10 buah negara pelancongan utama dunia, menunjukkan usaha kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi popular berada pada landasan yang betul.


Dengan jumlah keseluruhan kemasukan pelancong mencecah 24.7 juta tahun lalu, hasrat kerajaan untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan polular seterusnya meningkatkan kedatangan jumlah pelancongan boleh dicapai. Berdasarkan rekod kemasukan pelancong 2012, Malaysia mencatat rekod peningkatan kemasukan pelancong seramai 9,438,592 orang bagi lima bulan pertama tahun ini berbanding 9,323,827 orang untuk tempoh yang sama tahun lepas.


Sementara jumlah pendapatan yang diperoleh daripada pelancong dalam tempoh tersebut bernilai RM21.8 bilion berbanding RM21.4 bilion pada tahun lalu. Sumbangan besar sektor pelancongan ini bukan sahaja membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara tetapi juga menyediakan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat.


Jika jumlah tersebut diambil kira serta aktiviti promosi secara berterusan yang dilakukan oleh Kementerian pelancongan serta agensi-agensinya dan disokong pula oleh mereka yang terbabit secara terus dalam industri pelancongan, tidak mustahil jumlah kedatangan pelancong tahun lalu akan dapat ditingkatkan.


Namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi popular kerana berdasarkan statistik 2011, jelas menunjukkan Malaysia masih terus bergantung kepada kemasukan pelancong dari Singapura yang menyumbang 54 peratus daripada jumlah keseluruhan kemasukan pelancong ke negara ini tahun lalu. Tumpuan perlu diberikan untuk memperkenalkan Malaysia terutama ke benua Amerika Selatan dan Utara serta ke benua Afrika serta Eropah Timur.


Sebenarnya, Malaysia memiliki begitu banyak kelebihan, keunikan, keindahan alam semula jadi yang boleh dieksploitasi kepada pelancong luar. Malah sektor pelancongan di negara juga ini semakin berkembang ke arah yang lebih luas dan tidak lagi bergantung kepada pelancongan biasa sebaliknya berusaha menjadikan pelancongan perubatan dan pelancongan sukan sebagai satu nilai tambah.


Umpamanya, sukan golf kini berkembang sebagai satu cabang pelancongan yang menyumbang pendapatan besar kepada negara. Populariti sukan ini dengan terbinanya lapangan golf bertaraf dunia telah menjadikan Malaysia sebagai antara destinasi golf terkenal di rantau ini dengan jangkaan pelancongan golf menyumbangkan pendapatan sebanyak RM290 juta untuk negara tahun ini.


Buktinya, baru-baru ini Malaysia telah dinamakan sebagai Destinasi Pelancongan Sukan Utama Asia oleh World Travel Award mempunyai lebih 200 padang golf di seluruh negara dengan pelaburan sebanyak RM20 bilion. Semua itu banyak disokong oleh usaha kerajaan melalui Kementerian pelancongan yang merangka pelbagai aktiviti untuk merancakkan pelancongan golf antaranya termasuklah penganjuran kejohanan golf CIMB Classic 2012 yang disertai pemain nombor dua dunia, Tiger Woods.


Kehadiran jagun-jaguh dunia itu dan liputan meluas yang diberikan oleh pihak media sedikit sebanyak membantu mempromosikan sector pelancongan Negara ini kepada masyarakat luar.


Jika dilihat secara keseluruhan, selain keindahan alam semula jadi, keramahan rakyat, kepelbagaian budaya dan pelbagai jenis makanan, kedatangan pelancongan ke negara ini banyak didorong oleh faktor keselesaan, keselamatan, kestabilan ekonomi dan politik yang biasanya menjadi pertimbangan utama kepada pelancong sebelum mereka membuat pilihan untuk bercuti. Dan Malaysia memiliki ke semua faktor tersebut.


No comments: