Walaupun banyak pihak meragui usaha kerajaan
memperkenalkan dan melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP), nyata
langkah kerajaan itu bukan setakat untuk menyediakan landasan tepat untuk negara
mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, tetapi juga
untuk memastikan ekonomi negara terus kekal tumbuh seperti mana yang
dirancangkan.
Hari ini rakyat Malaysia boleh berbangga kerana ETP
yang dilaksanakan sudah pun membuahkan hasil. Dalam tempoh pelaksanaannya
banyak pencapaian membanggakan telah direkodkan. Nyata usaha kerajaan untuk
melaksanakan ETP ini telah berjaya menyakinkan pelabur tempatan dan asing untuk
menanam modal di negara. Ini kerana iklim pelaburan dan persekitaran ekonomi banyak
memihak kepada Malaysia walaupun keadaan ekonomi dunia ketika ini yang tidak
menentu.
Kejayaan Malaysia dalam melaksanakan ETP kini diakui oleh masyarakat
global apabila negara ini disenaraikan ditempat ke-12 dunia sebagai negara yang
paling berdaya saing. Lebih membanggakan apabila Malaysia berjaya mengatasi
beberapa buah negara maju di Asia dan Eropah apabila mengatasi Sweden di tangga
ke-13, Taiwan ke-16, Jerman ke-20, Jepun ke-24 dan Switzerland di kedudukan
ke-28.
Laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia itu
menunjukkan ETP yang dilaksanakan oleh kerajaan berada pada landasan tepat
untuk memaju Wawasan 2020 yang menjadi sasaran kerajaan untuk meletakkan
Malaysia sebaris dengan negara-negara maju lain.
Selain pencapaian membanggakan menerusi ETP,
Malaysia hari ini memiliki reputasi hebat dan dikagumi daripada aspek-aspek
lain. Satu kajian yang dinamakan ‘HSB’s Expat Explorer Survey’ yang diterbitkan
oleh majalah Forbes, Malaysia telah diletakkan ditangga ke 10 terbaik dunia
sebagai destinasi golongan ekspatriat.
Kajian yang membabitkan golongan ekspatriat itu
mencakupi pelbagai aspek antaranya termasuklah kualiti kehidupan lebih baik,
kehidupan sosial memuaskan, kemudahan perjalanan dalam negara dan perumahan
lebih baik berbanding negara asal mereka. Pemilihan Malaysia di kedududukan itu
menjadi bukti keyakinan golongan ekspatriat terhadap hala tuju negara ini pada
masa depan.
Tarikan terhadap Malaysia bukan sesuatu yang baru
malah keadaan atau persekitaran ekonomi yang stabil, keselamatan yang terjamin,
peluang perniagaan dan persekitaran pekerjaan yang terbuka luas telah menarik
minat bukan sahaja golongan ekspatriat yang rata-rata berpendidikan tinggi dan
profesional untuk mengembangkan bakat dan minat dalam bidang masing-masing di negara
ini tetapi juga tenaga kerja seperti buruh di sektor perladangan, industri dan
pembantu rumah.
Selain menjadi pilihan golongan ekspatriat dan
tenaga buruh untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat mencari rezeki dan
mengembangkan bakat, Malaysia hari ini juga mula mencuri tumpuan masyarakat
global sebgaai destinasi pelancongan popular dunia.
Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) baru-baru ini
meletakkan Malaysia di tangga ke sembilan negara pelancongan paling popular
dunia. Kedudukan itu dibuar berdasarkan
kedatangan jumlah pelancong sepanjang tahun 2011. Sepanjang tahun lalu Malaysia mencatatkan
jumlah kedatangan pelancong sekitar 24.7 juta, satu tangga di atas Mexico yang
menduduki tangga ke-10. Perancis kekal
di kedudukan teratas menerima kedatanganpelancong seramai 79.5 juta, diikuti
Amerika Syarikat, China, Sepanyol, Itali, Turki, Britain, Jerman dan di tangga
ke sepuluh ialah Mexico.
Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Malaysia
ini tidak dicapai dengan mudah. Semuanya bertitik tolak daripada komitemen
berterusan kerajaan untuk memastikan impian rakyat Malaysia menjadi sebuah negara
maju berpendapatan tinggi tercapai. Melihat kepada pengiktirafan yang diberikan
oleh masyarakat dunia terhadap Malaysia, adalah wajar bagi setiap warganegara
untuk menghargai dan mempertahankannya dan lebih penting untuk terus menyokong
usaha kerajaan dalam melaksanakan pembangunan yang hasilnya akan kembali
dinikmati oleh rakyat.
No comments:
Post a Comment