Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet
2013 melibatkan peruntukan berjumlah RM251.6 bilion iaitu meliputi RM201.9
bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi perbelanjaan
pembangunan.
Tahun lalu, sebanyak RM232.8 bilion diperuntukkan iaitu RM181.6 bilion
untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion bilion bagi perbelanjaan
pembangunan.
Bertemakan''Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Rakyat : Sebuah Janji
Ditepati' Bajet 2013 bakal memberi keselesaan kepada pelbagai lapisan
masyarakat desa, petani, buruh, nelayan, guru, pekebun kecil, pensyarah,
karyawan, penjawat awam dan golongan profesional serta usahawan.
Najib yang juga Menteri Kewangan memulakan ucapannya pada pukul 4.05
petang, menggariskan lima fokus utama iaitu merangsang aktiviti pelaburan;
memperkasa pendidikan dan latihan; membudaya inovasi, meningkatkan
produktiviti; konsolidasi fiskal dan mempercekap penyampaian perkhidmatan awam
dan mensejahterakan rakyat.
Menurut Perdana Menteri, Bajet 2013 yang merupakan bajet terakhir
sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf
hidup rakyat, memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan
mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan
kesejahteraan rakyat.
''Kerajaan akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta
manfaat maksimum hasil daripada pelaksanaan program dan projek
pembangunan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Bajet 2013 ternyata menggembirakan golongan penjawat awam apabila
Perdana Menteri mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji
bagi mengurangkan beban para penjawat awam.
Najib turut mendapat sorakan dan tepukan gemuruh apabila mengumumkan
pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) gelombang kedua kepada ketua isi
rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah dan sebagai tambahan, kali ini BR1M 2.0
diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas, berpendapatan
tidak melebihi RM2,000 sebulan, dengan bayaran sebanyak RM250.
Bajet kali ini dilihat menyeluruh dan komprehensif apabila menyentuh
secara langsung semua golongan masyarakat termasuk petani dan nelayan dengan
memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi yang memberi kemudahan
perlindungan kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan dijangka dapat
memanfaatkan 172,000 pesawah.
Najib turut mengumumkan tambahan RM1 bilion bagi Tabung Khas Pembinaan,
Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah, khusus untuk membaik pulih sekolah,
penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.
Kerajaan juga tidak melupakan golongan pesara apabila mengumumkan akan
menyelaraskan semula pencen pesara kerajaan yang telah berkhidmat
sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan pencen minimum daripada RM720
kepada RM820. Pelarasan ini mengambil kira bayaran bermula 1 Januari 2012
dengan melibatkan 50,371 pesara.
Bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai modal insan
berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, kerajaan bersetuju menambah baik skim
ATM, meningkatkan peluang kenaikan pangkat melalui kaedah kenaikan secara
time-based dan insentif khas dengan kadar RM200 sebulan kepada semua pegawai
dan anggota ATM seramai 125,708 orang.
Sementara itu, bagi memberi akses kepada golongan belia kepada lebuh
raya maklumat, Pakej Komunikasi Belia diperkenalkan dengan rebat RM200 akan
diberi secara sekali bayar bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar
3G dan ia terbuka kepada belia berumur 21 hingga 30 tahun, berpendapatan
bulanan RM3,000 dan ke bawah.
Kerajaan juga komited memastikan setiap rakyat berpeluang memiliki rumah
sendiri dengan memperuntukkan RM1.9 bilion bagi membina 123,000 unit rumah
dengan harga berpatutan yang akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan
Nasional Berhad dan Jabatan Perumahan Negara.
Di samping itu, Perdana Menteri turut menyatakan komitmen kerajaan untuk
meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan
prauniversiti dengan nilainya ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250 untuk
manfaat seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.
Di akhir ucapan Najib, ahli-ahli Parlimen pembangkang mengangkat buku
belanjawan alternatif pakatan pembangkang yang dibentangkan Rabu lalu.
Pada masa yang sama penyokong kerajaan pula bangun dan bersorak sambil
menjulang buku laporan bajet yang dibentang Perdana Menteri.
No comments:
Post a Comment