Wednesday, August 29, 2012

Bajet 2013 Tumpu Bina Lebih Banyak PPR


Bajet 2013
Bajet 2013 yang akan dibentang bulan depan dijangka menyediakan lebih banyak projek perumahan mampu milik seperti projek Perumahan Rakyat (PPR). Usaha berterusan kerajaan untuk menyediakan kediaman mampu milik terutama kepada golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar-bandar besar di negara ini juga bertepatan dengan enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di mana salah satunya adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Cuma kali ini kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan agensi-agensi kerajaan akan meneruskan pembinaan PPR dengan lebih menyeluruh di seluruh negara termasuk di negeri-negeri yang kini ditadbir pembangkang dalam usaha memastikan setiap rakyat mendapat pembelaan sewajarnya.

Masalah pemilikan kediaman terutama kediaman kos rendah dan sederhana menjadi satu masalah yang cukup meruncing terutama di bandar-bendar besar akibat kenaikan harga sektor hartanah dan tindakan pemaju yang semata-mata mengejar keuntungan sehingga mengabaikan kemampuan golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri.
Projek Perumahan Rakyat (PPR)
Rata-rata kediaman di kawasan bandar kini berada pada sekitar RM300,000 ke atas di mana tidak semua mampu untuk memilikinya. Pembangunan projek perumahan mewah dan rendah serta sederhana yang tidak seimbang ini akhirnya menyebabkan golongan yang berpendapatan rendah memilih terpaksa menyewa.

Oleh itu ada pihak yang mahu agar kelayakan permohonan perumahan kos rendah dan kos sederhana perlu diselaraskan mengikut keadaan semasa iaitu dengan menaikkan kelayakan maksimum daripada yang berpendapatan kurang RM2,500 kepada RM3,000. Ini kerana had maksimum RM2,500 sebulan kini mungkin tidak sesuai lagi kerana untuk membantu masyarakat berpendapatan rendah, ia perlu lebih tinggi daripada itu terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala lumpur.

Sebelum ini sudah banyak rungutan ditimbulkan oleh rakyat mengenai isu pemilikan kediaman yang semakin sukar akibat harga rumah yang semakin mahal. Malah ia boleh dikatakan tidak masuk akal terutama di bandar-bandar besar sekaligus menyukarkan golongan berpendapatan sederhana untuk memiliki kediaman.

Antara yang terhimpit dengan masalah ini adalah bangsa Melayu yang rata-rata merupakan pekerja atau kakitangan awam yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan dan sudah tentunya tidak mampu untuk membeli kediaman yang dijual pada harga sekitar RM300,000 ke atas.

Jadi langkah kerajaan untuk memperbanyakkan pembinaan projek PPR ini bukan sahaja mampu memyelesaikan masalah pemilikan kediaman bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana di bandar-bandar besar tetapi juga mampu meningkatkan taraf hidup kumpulan sasar ini.

No comments: