Banyak usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan
Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini berkembang maju memandangkan
PKS mempunyai potensi besar untuk
menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Jika sebelum ini ramai menganggap produk keluaran PKS kurang bermutu dan tidak mampu untuk bersaing
dengan produk-produk yang telah lama bertapak kukuh di pasaran serta sukar
untuk menembusi pasaran luar, hari ini pengusaha PKS boleh berbangga kerana produk yang mereka
hasilkan bukan sahaja mampu bersaing tetapi ada sebahagiannya mempunyai kualiti
setanding malah jauh lebih baik dan bermutu berbanding produk keluaran antarabangsa.
Semua ini adalah hasil berterusan yang dilakukan oleh
kerajaan melalui peranan agensi-agensi
terbabit untuk membantu pengusaha PKS
menjadi pemain utama dalam pemasaran produk bukan sahaja di peringkat
tempatan tetapi juga di peringkat global.
Di Malaysia, PKS membentuk 99 peratus daripada jumlah perusahaan
perniagaan tetapi sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih
rendah iaitu sekitar 32 peratus ketika
ini sedangkan ia mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.
Malah pengendali enjin carian Google Inc sebelum ini turut
menunjukkan minat untuk membantu memperkembangkan PKS apabila berhasrat untuk
membuka pejabatnya di Kuala Lumpur dalam usaha meningkatkan lagi peranannya
membantu pengusaha PKS di negara ini. Mereka mendapati wujudnya peluang yang amat besar dalam membantu
perkembangan PKS di negara ini kerana dianggarkan kira-kira 500,000 PKS belum
memiliki laman web perniagaan.
Baru-baru ini sebanyak 91 jenis produk makanan dan minuman
keluaran perusahaan PKS tempatan berjaya menembusi pasar raya besar Tesco di
China menerusi program 'Taste of Malaysia' yang dilancarkan di negara itu sejak
2005. Menerusi program berkenaan yang diadakan baru-baru ini, sebanyak 59 lagi jenis
produk PKS baru dari Malaysia dibawa masuk, sebagai tambahan kepada 32 produk
yang sudah pun dijual di rangkaian pasar raya besar Tesco di negara itu.
Program ‘Taste of Malaysia’ anjuran Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu bukan setakat bertumpu di China
tetapi juga di beberapa Negara lain. Sehingga kini terdapat sejumlah 1,300
jenama produk PKS tempatan kini dijual di pasar raya besar di Singapura, Jakarta, London, Paris, Hong Kong
dan Dubai.
Memandangkan impak dan sumbangan besar PKS kepada ekonomi negara,
satu Pelan Induk PKS 2012-2020 telah dilancarkan
oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyasarkan peningkatan
sumbangan KDNK kepada 41 peratus pada
2020 berbanding 32 peratus pada 2010.
Kerajaan pada masa sama mahu memberi sokongan kepada
perusahaan mikro yang merupakan 77 peratus daripada PKS supaya dinaik taraf
menjadi perniagaan yang lebih besar. Pelan
Induk PKS berperanan sebagai game changer yang akan melonjakkan sumbangan PKS
kepada ekonomi, seterusnya membawa pembangunan ke tahap lebih tinggi menerusi
pertumbuhan yang dipacu inovasi.
Untuk mencapai matlamat tersebut, sejumlah 32 inisiatif termasuk enam program
berimpak tinggi serta langkah-langkah pelengkap yang lain disaran di bawah
pelan induk tersebut.
Empat matlamat utama pelan induk itu ialah meningkatkan
pertumbuhan perniagaan, menambah bilangan syarikat yang mempunyai pertumbuhan
tinggi dan berinovasi, meningkatkan tahap produktiviti serta mempergiat
pemformalan perniagaan.
Pelan Induk PKS adalah pelan sepanjang hayat yang dinamik
dan fleksibel untuk disesuaikan dengan perubahan persekitaran bagi mencapai
hasil optimum dalam menggalakkan pertumbuhan PKS di mana pelan induk tersebut adalah untuk semua sektor
dan menjangkau segenap lapisan masyarakat termasuk usahawan bumiputera dan
mikro.
Pelan Induk PKS yang dibangunkan dengan kerjasama Bank Dunia
adalah berdasarkan kepada bukti dan analisis terperinci selain menerap amalan
yang terbukti berkesan. Memandangkan pelan induk itu mengutamakan penyampaian
menerusi pembangunan mekanisme penilaian dan pemantauan bagi mencapai hasil
yang disasarkan, peranan serta fungsi
SME Corp. perlu diperkukuh dan diperkasa bagi membolehkannya bertindak sebagai
peneraju kepada pelan induk itu.
1 comment:
Salam,
mcm mana saya nak apply loan?
Post a Comment