Permulaan memberangsangkan. Kemunculan sulung Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia pada Khamis 28 Jun 2012 pada harga permulaan dagangan RM5.39 dengan premium 84 sen berbanding harga tawaran RM4.55 sen mencatat sejarah tersendiri apabila ia ditutup pada hari pertama dagangan kepada RM5.30.
Ia merupakan kenaikan sebanyak 19 peratus berbanding harga tawaran RM4.55 sesaham. Ia ditutup pada harga RM5.30 pada penutup dagangan petang itu. Saham syarikat perladangan ketiga terbesar dunia dan terbesar di Asia itu turut menyaksikan jumlah volum sebanyak 23.77 juta saham bertukar tangan dalam tempoh satu minit pertama dagangannya.
Tawaran awam awal (IPO) FGVH itu bukan sahaja mencatat
sejarah tetapi juga menjadi detik penting dalam usaha kerajaan untuk melakukan transformasi
berterusan terhadap agensi itu. Ini terbukti apabila IPO syarikat itu muncul
kedua terbesar di dunia selepas Facebook di Amerika Syarikat sekali gus menjadi
bukti komitmen kerajaan untuk membawa Felda maju ke depan dan mengorak langkah
dengan beralih kepada model perniagaan baru selaras dengan tuntutan semasa.
Sejak 50 tahun lalu, model perniagaan Felda hanya tertumpu
kepada membuka skim tanah baru untuk meluaskan pegangannya dan terbukti model tersebut tidak lagi sesuai memandangkan tanah
untuk kegunaan pertanian yang semakin terhad.
Usaha mewujudkan FGVH dan menyenaraikannya di Bursa Malaysia
adalah antara usaha untuk menambah nilai kepada tanah yang diusahakan peneroka
dan memastikan para peneroka dan generasi berikutnya terus menikmati
peningkatan dalam nilai pegangan mereka.
Lebih penting, penyenaraian itu akan memberikan satu jaminan kepada
warga Felda terutama menjadikan generasi
kedua Felda untuk lebih berdaya saing dan tidak lagi hanya bergantung kepada
pendapatan perladangan tetapi juga menerusi aktiviti pertengahan dan hiliran.
Walaupun banyak pihak memperlekeh usaha Felda menyenaraikan
FGVH dan berbagai tohmahan dikeluarkan, penyenaraian itu juga bertepatan dengan
usaha kerajaan melalui transformasi nasional kea rah negara berpendapatan
tinggi. Malah dalam tempoh jangka panjang melalui penyenaraian ini diharapkan
pelabur-pelabur tempatan seperti Tabung
Haji, PNB, KWSP serta pelabur asing dapat melabur dan keuntungannya nanti bukan
sahaja bakal dinikmati oleh warga Felda tetapi juga seluruh masyarakat
Malaysia.
Transformasi yang ingin dilakukan oleh Felda bukan
semata-mata untuk pembangunan ekonomi sebaliknya turut mengambil kira
pembangunan daripada aspek sosial bagi memastikan Felda memacu ke hadapan
secara seimbang. Malah berbagai bentuk
transformasi bakal menyusul untuk terus memperkasa masa depan 112,635 warga
peneroka dan generasi seterusnya.
Antara perkara yang terkandung dalam program transformasi
tersebut termasuklah usaha untuk membangunkan kawasan-kawasan Felda sebagai
pusat-pusat pertumbuhan dengan Felda Tenggaroh di timur Johor, dipilih sebagai
perintis dalam melihat keberkesanan rangka tindakan pembangunan luar bandar.
Rangka tindakan ini merangkumi pembangunan bersepadu, yang
meliputi aktiviti pertanian, pelancongan dan keusahawanan, di sembilan buah
Felda dalam gugusan Tenggaroh. Felda
Tenggaroh dipilih kerana kedudukannya yang jauh dari pusat pembangunan dan
bandar besar, yang membawa cabaran tersendiri dalam membangunkan kawasan itu.
Selain itu, Felda Tenggaroh dengan 5,000 peneroka dan 11,000
hektar tanah dilihat mempunyai nilai komersial tambahan khasnya dari segi
pelancongan kerana ia menjadi pintu masuk pelancong ke Pulau Sibu.
Turut diberikan tumpuan kea rah transformasi menyeluruh
Felda ialah daripada aspek anjakan minda golongan peneroka. Bagi mencapai matlmat
ini, Felda juga mahu melahirkan generasi baru yang bijak pandai dengan
menyediakan mereka kemahiran dan teknologi tinggi selain menerapkan anjakan minda
kepada mereka.
Bagaimana pun segala bentuk program transformasi itu tidak
akan mencapai matlamat yang dituju sekiranya warga peneroka sendiri tidak
memahami kehendak atau aspirasi yang ingin dicapai Felda. Oleh itu penekanan
dalam bidang pendidikan terutama di awal peringkat persekolahan menjadi satu
keutamaan.
Semua ini bertujuan untuk melahirkan generasi baru Felda
'eco-intelligence' untuk membawa perubahan dan mereka yang terbaik dalam
keputusan SPM dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang
yang diperlukan Felda dan negara.
No comments:
Post a Comment