Selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, setiap kali pembentangan
Bajet, sejumlah besar peruntukan akan
disalurkan untuk tujuan tersebut. Bagaimanapun, keutamaan untuk kepentingan dan
jaminan kepada kesejahteraan rakyat tidak pernah diabaikan.
Jika Bajet 2012 lalu banyak memihak kepada rakyat yang
memperoleh manafaat dalam pelbagai
bentuk bantuan seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan,
baucer untuk penuntut pengajian tinggi, peningkatan kepada sistem pengangkutan
awam, pengekalan subsidi dalam beberapa barangan keperluan utama dan sebagainya, Bajet 2013 yang akan
dibentangkan di Parlimen pada 28 September ini tetap mengambil pendekatan
serupa iaitu mengutamakan kebajikan rakyat.
Seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak baru-baru ini, Bajet 2013 kali ini akan memberikan tumpuan
kepada pertumbuhan yang berkualiti dan seimbang selain menjamin kesejahteraan
rakyat. Jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri ini jelas menunjukkan
bahawa kerajaan begitu komited untuk mengukuhkan kedudukan kewangan awam serta
mengekalkan momentum pertumbuhan negara.
Datuk Seri Najib juga turut memberikan jaminan bahawa pengukuhan
fiskal berada pada landasan yang baik untuk mencapai sasaran defisit jangka
sederhana sekitar tiga peratus menjelang 2015. Menurut beliau mengekalkan
momentum pertumbuhan ketika berdepan cabaran luar menjadi satu keutamaan kerajaan
tetapi ia akan dilakukan melalui pendekatan fiskal yang lebih bertanggungjawab.
Beliau memberikan jaminan tersebut ketika berucap dalam majlis konsultasi Bajet 2013 di
Kementerian Kewangan baru-baru ini yang bertemakan Memacu Transformasi Ke Arah
Negara Maju yang turut dihadiri oleh pakar pelbagai bidang untuk membentang dan
membincangkan isu-isu makro, sektoral dan sosial.
Sehingga kini Kementerian Kewangan telah menerima 84
memorandum yang akan dipertimbangkan dalam perancangan Bajet 2013 sementara isu-isu spesifik pula diteliti melalui
kumpulan-kumpulan fokus yang lebih kecil.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pernilaian
perbelanjaan awam telah dilakukan melalui bantuan Bank Dunia dan kerajaan
sedang melaksanakan cadangan-cadangan yang diberikan. Untuk itu satu
jawatankuasa dalam Perbendaharaan juga telah ditubuhkan untuk melihat isu-isu
mengenai kemapanan fiskal pada jangka masa panjang.
Memandangkan persekitaran dunia yang sudah berubah tertutama
dalam persekitaran ekonomi yang lebih terbuka, Malaysia mesti memberi tumpuan kepada usaha
untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi bagi mengukuhkan daya saing di
peringkat global.
Menurut Najib, sumbangan pelaburan swasta dalam Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK) masih rendah tetapi boleh diperbaiki iaitu pada 12.7
peratus manakala sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam ekonomi
berada pada 31 peratus.
Dalam pada itu beliau turut menyarankan agar semua pihak
perlu mengemukakan idea dan mencadangkan langkah spesifik bagi mengatasi
pelbagai cabaran, khususnya yang melibatkan kesejahteraan rakyat.
Walaupun program transformasi negara telah memasuki tahun
ketiga dan telah mula menunjukkan pencapaian membanggakan, sebagai sebuah negara
membangun, masih banyak yang perlu dilakukan dan untuk memastikan semua program
transformasi tersebut berjalan lancar. Untuk itu, setiap bajet yang ingin
dibuat mesti menyumbang kearah merealisasikan wawasan 2020.
No comments:
Post a Comment