Monday, October 31, 2011

NELAYAN PERLU GUNA BANTUAN SEBAIK MUNGKIN



Bagi memastikan kehidupan nelayan di negara ini terus terbela terutama kumpulan nelayan pantai atau tradisional, kerajaan mengambil pendekatan untuk terus menyalurkan bantuan elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan kepada lebih 55,000 nelayan di seluruh negara mulai tahun depan.

Bantuan membabitkan peruntukan melebihi RM230 juta itu terkandung dalam Bajet 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini sepatutnya tamat penghujung tahun ini.



Bagaimanapun, menyedari beban yang perlu ditanggung oleh para nelayan, kerajaan mengambil keputusan untuk meneruskan pemberian elaun tersebut. Keperihatinan kerajaan untuk menjaga kebajikan para nelayan di negara ini bertujuan untuk memastikan kehidupan mereka tidak terpinggir memandangkan kumpulan ini bukan sahaja majoritinya hidup susah tetapi juga bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan yang kadang kalanya tidak menentu disebabkan oleh faktor cuaca dan sebagainya.

Daripada jumlah mereka yang layak menerima elaun sara hidup, Kelantan mencatat jumlah penerima paling ramai iaitu seramai 2,800 orang membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta. Kebanyakkannya membabitkan nelayan pantai atau nelayan tradisional di Jajahan Tumpat, Kota Baharu, Bachok dan Pasir Putih yang rata-ratanya mempunyai pendatan tidak melebihi RM500 sebulan.



Selain meneruskan bantuan elaun sara hidup, kerajaan tutut memberikan beberapa lagi insentif lain kepada para nelayan antaranya menyediakan pelbagai bantuan seperti insentif penangkapan ikan, subsidi minyak, bot dan pukat. Semua ini dilakukan untuk memastikan kehidupan nelayan yang rata-ratanya masih dibelenggu hidup miskin dapat menikmati kehidupan lebih bermakna untuk menyara keluarga.

Namun dalam masa yang sama para nelayan wajar menggunakan sepenuhnya bantuan dan insentif yang diberikan itu untuk meningkatkan taraf hidup mereka tanpa menyalahgunakan segala kemudahan dan bantuan tersebut.

Sebelum ini banyak berlaku apabila nelayan menyalahgunakan bantuan dan subsidi minyak yang diberikan oleh kerajaan dengan menjualkannya kepada pihak lain untuk mendapatkann wang dengan cara mudah.

Tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi tetapi juga menunjukkan sikap sebahagian para nelayan yang suka mengambil kesempatan di mana akhirnya akan memberi kesan kepada rakan mereka yang lain.

Sebaliknya mereka perlu menggunakan sepenuhnya bantuan dan keperihatinan kerajaan itu untuk kebaikan masa depan mereka sekali gus mengubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik.

No comments: