Tuesday, October 11, 2011

Bajet 2012 diterima baik

Walaupun pembangkang menggambarkan pembentangan Bajet 2012 sebagai gula-gula pilihan raya, mencedok apa yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga, tidak menyeluruh dan sebagainya, bajet kali ini mempunyai signifikan besar kepada usaha kerajaan meneruskan agenda pelan transformasi kerajaan.

Melihat kepada perkara-perkara yang diberikan penekanan dalam bajet kali ini, ia juga merupakan inisiatif kerajaan untuk meredakan beban inflasi rakyat. Ini kerana banyak perkara yang mendesak bersangkutan keperluan rakyat perlu diberikan keutamaan terlebih dahulu bagi memastikan semua agenda transformasi kerajaan berjalan seperti mana dirancang.

Bajet kali ini boleh dikatakan bajet menyeluruh walaupun cuba dinafikan oleh pembangkang melalui pelbagai kenyataan pemimpin-pemimpin mereka yang boleh ditafsirkan sebagai kehilangan modal untuk menidakkan apa yang diberikan kerajaan pada bajet kali ini.






Walaupun bajet 2012 kekal sebagai bajet defisit, rakyat tidak perlu bimbang. Mereka perlu melihatnya sebagai langkah kerajaan ini sebagai satu tindakan berani apabila meletakkan bajet kali ini di luar perspektif biasa, seperti mana bajet-bajet sebelumnya semata-mata untuk memberikan yang terbaik untuk rakyat dalam berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

Tambahan pula dalam keadaan negatif ekonomi global sekarang ini amat sukar untuk kerajaan menampilkan satu bajet seimbang, namun apa yang lebih penting ialah impak yang ingin dilihat oleh kerajaan dan manfaat yang akan diperoleh oleh rakyat - iaitu memastikan beban kos sara hidup yang semakin meningkat sedikit sebanyak mampu diatasi.

Soal ia dikatakan gula-gula politik menjelang pilihan raya atau kerajaan merasa tertekan dengan bajet alternatif Pakatan Rakyat sebelum ini, soal tersebut tidak timbul kerana kerajaan mempunyai pendekatan tersendiri untuk menangani segala kebimbangan yang dibangkitkan oleh pembangkang kononnya bajet kali ini hanya akan meningkatkan lagi kadar inflasi dan meningkatkan lagi defisit negara.

Jika dilihat kebimbangan dan kritikan yang disuarakan oleh pembangkang berhubung bajet kelmarin juga tidak berasas. Ini kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memberikan jaminan bahawa kerajaan mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk melaksanakannya.

"Saya akan melakukan perbuatan bunuh diri dari segi politik kalau saya membentangkan bajet yang kerajaan tidak boleh tunaikan," katanya kepada pemberita selepas majlis lawatan mesra rakyat di Kundang, Kuang di Kuala Selangor pada Sabtu.

Beliau juga menyifatkan bajet kali ini telus dan apa yang kerajaan lakukan adalah mengikut kemampuan dan itulah janji dan komitmen untuk melaksanakannya demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara.

Menyingkap kepada inti pati bajet 2012 dan dakwaan pembangkang sebagai tidak realistik, ia hanya ungkapan untuk menutup kelemahan sendiri yang jelas tidak memiliki hujah kukuh untuk dipertikaikan memandangkan apa yang terkandung dalam bajet kali ini bukan janji-janji kosong, sebaliknya berdasarkan kemampuan kerajaan untuk melaksanakannya.

Ia bukan bajet untuk menyedapkan hati rakyat, dan jauh sekali untuk menipu rakyat. Ia sebaliknya dirangka menggunakan kepakaran daripada pihak Kementerian Kewangan, Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan lain-lain untuk mengkaji dengan mendalam keperluan rakyat dan paling penting memastikan setiap lapisan rakyat memperoleh faedah daripadanya.

No comments: