Selaras dengan apa yang terkandung dalam Bajet 2011 iaitu untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi, pembangunan sistem pengangkutan secara lebih efisyen dan sistematik menjadi antara keutamaan kerajaan.
Siapnya Terminal Bersepadu Selatan – Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) yang mula beroperasi menjelang Tahun Baru lalu, membuka satu lagi lembaran baru kepada sistem pengangkutan di mana buat julung kalinya terminal yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara itu beroperasi dengan segala kemudahan teknologi moden akan menjadi hub baru yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada orang ramai.
Kini tumpuan akan beralih pula kepada projek Transit Aliran Massa (MRT) seterusnya kepada perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi di mana ia merupakan projek infrastruktur terbesar di negara ini yang dijangka mampu menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) antara RM3 bilion dan RM4 bilion setahun dan mampu menjana sehingga 130,000 peluang pekerjaan dalam tempoh pembinaannya.
Walaupun ada pihak yang menganggap projek tersebut tidak perlu dan keutamaan perlu diberikan untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi rakyat, setiap daripada kita perlu berfikiran positif. Dalam keadaan negara ingin menuju sebuah negara maju dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, kerajaan tidak ada pilihan selain melaksanakan projek MRT dan sistem seumpama itu amat diperlukan oleh mana-mana kota kosmopolitan seperti Kuala Lumpur bagi menampung peningkatan jumlah penduduk dan kemasukan pelancong.
Pembangunan projek yang akan bermula Julai ini akan mengambil masa lima atau enam tahun di mana laluan pertama projek ini akan menghubungkan Sungai Buloh dengan Kajang dan akan melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Apabila siap sepenuhnya, dianggarkan lebih daripada 400,000 orang dijangka menggunakannya memandangkan laluannya nanti akan melalui kawasan padat penduduk seperti Kota Damansara, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Bukit Damansara, Cheras, Bandar Tun Hussein Onn dan Balakong. Tambahan pula ia akan dihubungkan dengan sistem atau rangkaian pengangkutan sedia ada iaitu laluan KTM Komuter, melalui laluan transit aliran ringan atau light rail transit (LRT) Kelana Jaya dan laluan LRT Ampang.
Dalam pada itu keperluan projek tersebut perlu dilihat dalam tempoh jangka panjang. Selain berupaya mengurangkan kesesakan lalu lintas, ia juga mampu menggerakkan ekonomi negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Pengurangan jumlah kenderaan di jalan-jalan raya sekali gus membantu memperbaiki kualiti udara dan pencemaran di sekitar Lembah Klang.
Jika dilihat di mana-mana di dunia, sistem pengangkutan yang sistematik dan efisien memainkan peranan utama memacu kepada pertumbuhan ekonomi dan sudah tentu projek MRT ini juga mempunyai signifikannya yang tersendiri dan ia bukan sahaja untuk menjadikan Kuala Lumpur setaraf dengan kota-kota kosmopolitan dunia tetapi juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Monday, January 3, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment