Friday, December 17, 2010

Program Transformasi Ekonomi, Manfaatnya untuk rakyat

Untuk melonjakkan ekonomi negara dan mengeluarkan negara daripada kepompong negara berpendapatan sederhana, dasar ekonomi negara perlu diubah. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana sepanjang 10 tahun lepas, pertumbuhan ekonomi negara hanya berada antara empat hingga lima peratus setahun.

Berbanding sekitar 1990-an, ekonomi Malaysia berkembang sekitar lapan hingga sembilan peratus setahun tetapi krisis kewangan Asia pada 1997 dan 1998 telah merencatkan pertumbuhan tersebut. Krisis kewangan global baru-baru ini telah memburukkan lagi keadaan dan satu pendekatan baru perlu diambil untuk mengubah ekonomi negara secara besar-besaran.


Perubahan ini cukup penting. Ketika banyak negara yang dulunya berada sebaris dengan Malaysia sudah jauh melangkah ke hadapan, ekonomi negara masih kekal di tahap lama. Jika sesuatu tidak dilakukan, kesannya amat besar kepada negara dan rakyat tambahan pula tempoh masa untuk kita mencapai matlamat Wawasan 2020 semakin hampir.

Antara inisiatif yang diambil oleh kerajaan adalah memperkenalkan Model Ekonomi Baru (MBE) di mana ia diyakini mampu menjadi pemangkin dalam membentuk hala tuju ekonomi negara. Antara inisiatif yang dirangka dalam MEB termasuklah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) yang dijangka dapat meletakkan negara sebagai pesaing di peringkat antarabangsa.

Walaupun banyak pihak masih ragu-ragu dengan usaha kerajaan memperkenalkan MEB dan ETP, rakyat perlu faham bahawa transformasi ekonomi adalah perlu dan tidak boleh dielakkan memandangkan kos hidup dan perniagaan sedang meningkat dengan cepat berbanding dengan kadar pendapatan dan keuntungan yang kita jana dalam aktiviti ekonomi semasa.

Bermakna rakyat negara ini masih terperangkap dengan pendapatan sederhana – sedangkan kita hanya mempunyai masa selama 10 tahun untuk mencapai status negara maju. Jika kita tidak bertindak cepat, kita akan menjadi bertambah kurang kompetitif sebab kita masih beroperasi dalam ekonomi yang bertambah global sedang kan kuasa beli kita bertambah lemah. Semua itu akan menjurus kepada kualiti kehidupan yang rendah.

Seharusnya rakyat jangan terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan pihak-pihak tertentu yang mahu melihat usaha kerajaan ini gagal. Apa yang telah dan sedang diusahakan oleh kerajaan melalui ETP ini sebenarnya banyak manfaatnya terutama untuk rakyat.

Pertumbuhan ekonomi yang baik bermakna rakyat akan menikmati kualiti hidup yang lebih baik, peluang kerja yang banyak malah majoriti daripada kita akan beroleh pekerjaan yang menawarkan gaji sederhana dan tinggi.

Kedudukan ekonomi yang kukuh juga akan membolehkan rakyat menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih baik dan berkualiti, memperoleh pendidikan lebih canggih serta mempunyai pilihan luas kepada produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi.

Selain itu, ETP juga bakal menyediakan tapak asas yang kukuh bagi negara untuk menikmati pembangunan mampan agar generasi akan datang menikmati kehidupan lebih berkualiti.

Sementara untuk dunia perniagaan pula, ETP akan menyediakan peluang-peluang yang lebih mantap, persekitaran yang lebih kondusif serta pasaran pengguna tempatan dengan kuasa membeli yang lebih tinggi.

No comments: