Friday, December 10, 2010

Amanah Hartanah Bumiputera, Langkah agih kekayaan secara adil

Walaupun banyak pihak mempertikaikan dasar-dasar Kerajaan kebelakangan ini yang dilihat cuba menafikan hak Bumiputera dalam ekonomi dan sebagainya, hakikatnya, Kerajaan sememangnya serius dan komited untuk memastikan golongan Bumiputera mampu untuk terus bersaing dan dalam masa yang sama memastikan golongan Bumiputera dapat menikmati kekayaan negara secara adil dan saksama serta berjaya dalam bidang ekonomi seperti mana kaum-kaum lain.

Pelancaran skim pelaburan c oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, membuka satu lagi ruang bagi membolehkan golongan Bumiputera melabur dalam satu lagi unit amanah yang kemudiannya akan digunakan untuk membeli hartanah komersial bernilai tinggi.


Ia juga bertujuan untuk memastikan hak Bumiputera untuk memiliki hartanah terus dipelihara sesuai dengan status mereka sebagai penduduk asal dan majoriti di negara ini. Lebih penting usaha tersebut juga bertepatan dengan dasar Kerajaan untuk membawa perubahan besar kepada ekonomi Malaysia agar kekayaan negara ini tidak tertumpu pada golongan atasan atau kaum tertentu semata-mata.

AHB yang dilancarkan oleh Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dengan saiz RM1 bilion, terbuka kepada para pelabur Bumiputera berusia mulai tiga bulan ke atas untuk memiliki pegangan dalam sektor hartanah komersial bernilai tinggi dengan pelaburan minimum RM500 sehingga RM200,000.

Unit-unit AHB ditawarkan pada harga tetap RM1 seunit di mana ia bersandarkan kepada prinsip patuh syariah, sekali gus membantu Malaysia mengembangkan lagi instrumen perbankan dan kewangan Islam. Malah ia bertepatan dengan usaha Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa.

Seperti yang dimaklumkan oleh Ketua pegawai Eksekutif PHB, Arifin Othman, skim amanah tersebut dijangka mampu memberi pulangan tidak kurang daripada enam peratus berdasarkan pasaran semasa hartanah di mana pembayaran dividen akan dibuat dua kali setahun iaitu setiap enam bulan. Ke semua langganan AHB boleh dibuat di 400 cawangan Maybank di seluruh negara. Apa yang menariknya, unit amanah tersebut boleh dikeluarkan pada bila-bila masa sekali dalam sebulan

Ketika ini AHB mempunyai lima hartanah yang bernilai RM1 bilion iaitu CP Tower di Damansara, Wisma Consplant di Subang Jaya, bangunan Tesco di Setia Alam, Kompleks Industri di Shah Alam dan Menara SPRM di Putrajaya.

Dua lagi hartanahnya, bangunan Bumiputera-Commerce di Jalan Raja Laut dan ibu pejabatnya di Saujana Resort tidak dapat dimasukkan dalam unit itu memandangkan ia tidak mematuhi syariah. Untuk memaksimumkan pulangan kepada para pelabur, PHB akan menambah lebih banyak hartanah miliknya di masa depan. Ini termasuk cadangan pembelian beberapa hartanah bernilai tinggi di sekitar Lembah Klang tahun depan.

Usaha membantu pegangan Bumiputera dalam sektor hartanah ini juga perlu dilihat daripada sudut positif dan tidak wajar dipertikaikan oleh kaum-kaum lain.

Hakikatnya, walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dibentuk untuk meningkatkan ekonomi dan daya saing Bumiputera, tetapi sehingga kini penguasaan Bumiputera dalam sektor ekonomi masih jauh ketinggalan berbanding kaum Cina.

Dengan memperkenalkan AHB, sekurang-kurangnya jurang antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah dapat dikurangkan dan syak wasangka dan rasa kurang senang golongan Bumiputera terhadap monopoli kekayaan negara ini oleh kaum lain boleh di atasi sekali gus mewujudkan kestabilan politik dan keharmonian kaum untuk jangka panjang.

No comments: