Mengubah wajah kawasan luar bandar dengan pembangunan kemudahan prasarana seperti mana yang dirancang oleh Kerajaan perlu seiring dengan pengisian-pengisian lain bagi memastikan penduduk luar bandar sama-sama dapat merasai nikmat pembangunan dan tidak terlalu tersisih daripada arus pembangunan yang rata-rata lebih memihak kepada penduduk bandar dalam segala segi.
Apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan melalui Pelan Induk Pembangunan Luar bandar (PILB) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan satu langkah tepat bukan sahaja untuk membela nasib penduduk di kawasan luar bandar tetapi yang lebih penting adalah untuk mempersiapkan mereka dalam tempoh sepuluh tahun akan datang untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dalam sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
Seperti yang terkandung dalam matlamat Model Baru Ekonomi (MBE), untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, pembangunan kawasan luar bandar sama sekali tidak akan dipinggirkan kerana tidak ada maknanya menjadi sebuah negara maju jika masih terdapat jurang yang memisahkan antara penduduk di bandar dengan di luar bandar.
Dengan membawa masuk segala kemudahan prasarana secara tidak langsung akan membawa limpahan kepada pembangunan-pembangunan lain sekali gus membantu merancakkan pembangunan dan aktiviti-aktiviti ekonomi. Secara tidak langsung ia akan membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar melalui kegiatan ekonomi terutamanya golongan petani. Paling penting, pembangunan pesat di kawasan luar bandar juga mampu mengelakkan berlakunya penghijrahan anak-anak muda ke kawasan bandar.
Jika dilihat melalui tujuh teras pembangunan luar bandar dalam pelan berkenaan seperti pembangunan modal insan dan pengupayaan masyarakat efektif, pembangunan ekonomi yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan serta pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam yang menyeluruh dan berkesan, ia bakal memberi impak besar kepada penduduk kawasan luar bandar.
Namun seiring dengan itu, usaha untuk mendedahkan penduduk luar bandar dengan ilmu dan maklumat sejajar dengan keperluan dan kehendak semasa turut diberikan keutamaan.
Sebagai contoh usaha Kerajaan di bawah kementerian Penerangan Komunikasi dan kebudayaan (KPKK) memberikan sejuta komputer percuma dengan syarat peserta terpilih di luar bandar melanggan khidmat jalir lebar dengan Telekom Malaysia (TM) adalah satu langkah untuk memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan dalam menikmati perkembangan dunia teknologi maklumat.
Begitu juga dengan usaha Kerajaan mempertingkatkan khidmat jalur lebar di kawasan-kawasan pendalaman yang juga dilihat sebagai satu usaha untuk memastikan hasrat satu rumah satu komputer dapat dicapai.
Jika semuanya berjalan lancar dan apa yang menjadi aspirasi Kerajaan ini dapat dicapai, kita yakin ia akan menyerlahkan lagi Malaysia sebagai antara negara terbaik di dunia dari segi membela nasib penduduk di luar bandar.
Sebelum ini sudah banyak bukti kejayaan Kerajaan dalam usaha membantu membangunkan penduduk luar bandar menerusi penubuhan beberapa agensi seperti Mara, Felda, Felcra, RISDA, TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Agrobank dan banyak lagi.
Ke semua bantuan dan tumpuan yang diberikan oleh Kerajaan ini adalah semata-mata untuk memastikan penduduk luar bandar merasai limpahan nikmat secara seimbang dan menyeluruh hasil pembangunan negara.
Monday, November 29, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment