Selaras dengan usaha Kerajaan untuk memastikan negara ini muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, pembangunan modal insan menerusi bidang pendidikan tetap diberikan penekanan. Ia cukup penting kerana untuk menjadi sebuah negara maju kita memerlukan sejumlah besar golongan cerdik pandai bagi membolehkan kita bersaing di peringkat global.
Menyedari kepentingan tersebut dan masa yang semakin suntuk untuk memenuhi impian tersebut dalam tempoh 10 tahun akan datang, Kerajaan bersetuju untuk merombak sistem pendidikan negara dengan memberikan lebih penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi serta daya saing yang tinggi.
Untuk mencapai matlamat tersebut, sebanyak RM29.3 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2011 – satu jumlah yang agak besar iaitu peningkatan peruntukan sebanyak 24.9 peratus berbanding tahun lalu sebanyak RM25.5 bilion. Taburan peruntukan tersebut kali ini nampak lebih menyeluruh dan agak seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.
Bagi memastikan matlamat tersebut dicapai, Kerajaan sudah pun meluluskan dana sebanyak RM6.4 bilion bagi membina dan manaik taraf sekolah-sekolah, asrama-asrama, peralatan serta memertabatkan profesion guru. Pada masa yang sama tambahan sebanyak RM213 juta turut disediakan bagi memberi ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi, pengetua, guru besar serta guru cemerlang.
Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan bajet lalu, Kerajaan tidak akan berkira dalam soal pendidikan dan tidak akan berkompromi dengan kualiti sistemnya. Segala macam kemudahan akan disediakan bagi membolehkan mereka bersaing. Beliau turut menegaskan bahawa bidang pendidikan harus bersifat melangkaui fahaman politik kerana setiap anak Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, adalah aset dan warisan masa depan negara. Di tangan mereka ini lah letaknya masa depan negara.
Buktinya Kerajaan menyediakan dana pembangunan sebanyak RM250 juta kepada sekolah bantuan modal agama, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil, sekolah bantuan modal Mubaligh dan sekolah bantuan di seluruh negara. Tidak dilupakan pendikan Islam di mana Kerajaan setuju bagi membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat sama ada di peringkat rendah atau menengah dengan peruntukan sebanyak RM95 juta.
Begitu juga dengan peruntukan sebanyak RM576 juta bagi menyediakan tenaga pengajar terlatih dan berkualiti di mana peruntukkan dalam bentuk biasiswa itu bertujuan memberi ruang kepada guru untuk melanjutkan pengajian.
Mengenai usaha mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris – kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati dari United Kingdom dan Australia di mana guru-guru tersebut akan ditugaskan untuk membantu guru-guru tempatan yang mengajar mata pelajaran tersebut dengan memberikan pendedahan kepada mereka mengenai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.
Diperingkat kanak-kanak juga tidak dilupakan apabila sebanyak RM111 juta disalurkan untuk Program Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak (Permata). Ia bertujuan untuk mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai cabang ilmu yang sesuai dengan tahap pemikiran mereka. Pendedahan di peringkat awal ini secara tidak langsung akan menjadikan mereka lebih pintar apabila memasuki usia persekolahan sebenar.
Menariknya, peruntukkan besar dalam bidang pendidikan itu juga turut disertai dengan pemberian multi vitamin kepada penuntut sekolah rendah di seluruh negara. Tujuannya ialah bagi memastikan kanak-kanak sentiasa sihat dan cergas dan mudah untuk menerima pembelajaran di sekolah-sekolah. Pemberian multi vitamin itu adalah sebagai langkah tambahan kepada pojek Susu Sekolah 1 Malasyaia yang dilancarkan sebelum ini.
Monday, October 18, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment