Bertemakan – Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi, ramai yang menyifatkan Bajet 2011 sebagai yang paling komprehensif dan realistik dalam menyediakan asas kukuh kepada Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi tanpa meminggirkan kesejahteraan rakyat.
Ia juga menjadi bukti dan komitmen Kerajaan dalam mengangkat konsep 1 Maaysia sebagai falsafah induk memandu hala tuju negara sementara Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi pula menjadi peta panduan dan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Model Baru Ekonomi (MBE) dengan lapan terasnya pula akan membentuk kerangka kerja ke arah hala tuju tersebut dan akan diterjemah melalui RMK-10 dan RMK-11.
Bajet 2011 ini merupakan belanjawan pertama dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) dalam usaha Malaysia bergerak menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. Kesungguhan Kerajaan jelas jika dilihat berdasarkan jumlah peruntukkan yang agak besar mencecah RM212 bilion di mana dalam bajet kali ini ia banyak menggariskan pelan strategi dan projek-projek utama yang akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara – sekali gus memastikan pelan transformasi negara mencapai matlamatnya.
Bersandarkan empat strategi utama iaitu mendaya kembali pelaburan swasta, membangun modal insan, mensejahterakan hidup rakyat dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam juga dilihat menepati hala tuju negara dan aspirasi rakyat dalam sama-sama mendokong usaha kerajaan ke arah transformasi tersebut.
Seperti mana tradisinya – Bajet 2011 menunjukkan keperihatinan Kerajaan untuk membawa kemakmuran ke seluruh pelosok negara dengan mengambil kira keperluan segenap lapisan masyarakat. Bajet ini juga bertujuan untuk memenuhi aspirasi rakyat dan dianggap sebagai langkah pertama ke arah menempatkan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi.
Seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkannya di Parlimen, perkara utama yang yang diberikan penekanan ialah usaha ke arah membina sebuah negara di mana setiap orang mampu mencipta kebahagiaan dan ia hanya boleh dicapai melalui komitmen penuh Kerajaan dengan sokongan tanpa berbelah bagi daripada semua pihak termasuk pihak swasta dan rakyat keseluruhannya.
Bajet kali ini juga adalah 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2010 – di mana daripada keseluruhan RM212 bilion itu, sebanyak RM162.8 bilion digunakan untuk belanja mengurus manakala RM49.2 bilion lagi diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.
Jika dilihat tumpuan kali ini lebih kepada memenuhi keperluan rakyat dan juga memberikan insentif dan melaksanakan projek-projek mega yang mampu merancakkan lagi ekonomi negara dalam tempoh 10 tahun akan datang. Selari dengan hasrat tersebut, Kerajaan turut memberikan penekanan terhadap usaha membangunkan modal insan di mana tumpuan diberikan kepada bidang pendidikan dan kepentingan kebajikan kakitangan awam.
Antara intipati bajet 2011 yang menarik dan mendapat reaksi positif rakyat termasuklah;
• Bantuan khas RM500 kepada penjawat awam gred 54 ke bawah termasuk pegawai
kontrak, pesara kerajaan yang akan dibayar Disember ini.
• Cuti bersalin bergaji penuh sehingga 90 hari kepada penjawat awam.
• Elaun Pengerusi JKK,JKKP, Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi
Kampung Baru dinaikkan RM800 sebulan berbanding RM450 sekarang.
• Elaun imam dinaikkan kepada RM750 sebulan dan elaun bulanan guru KAFA naik
daripada RM500 kepada RM800.
• Gaji pokok pengewal keselamatan naik RM500 hingga RM700 sebulan mulai Januari
2011.
• Pengecualian cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit.
• Pemansuhan duti import 300 barangan kegemaran pelancong dan penduduk tempatan.
• Tiada kenaikan tol di empat lebuh raya PLUS selama lima tahun.
Sesuatu yang agak menarik dalam pembentangan Bajet kali ini ialah ia berjalan tanpa sebarang gangguan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kali ini tidak ada celaan dibuat oleh pihak pembangkang sebaliknya beberapa pemimpin pembangkang hanya mampu tersenyum mendengar satu persatu insentif yang diberikan oleh Kerajaan untuk mensejahterakan kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah di luar bandar agar mereka tidak terus tersisih daripada arus kemajuan yang ingin dicapai.
Friday, October 15, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment