Thursday, January 13, 2011

Inisiatif berterusan membantu golongan miskin

Bertepatan dengan konsep rakyat didahulukan, banyak usaha dilakukan oleh kerajaan untuk membantu membaiki taraf hidup rakyat dan memastikan kehidupan rakyat terutama golongan bawahan terbela.

Melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sejak Januari sehingga November tahun lalu, kerajaan telah membelanjakan RM1.028 bilion untuk membantu 413,763 orang miskin di seluruh negara di mana penerima bantuannya terdiri daripada 117,150 warga emas, 109,782 keluarga miskin, 93,646 kanak-kanak, 89.461 orang kurang upaya dan 3,724 mangsa bencana – jumlah yang disalurkan adalah antara RM100 hingga RM450 sebulan.


Apa yang diusahakan oleh kerajaan ini bertujuan untuk membebaskan golongan miskin daripada belenggu kemiskinan. Buktinya, setakat ini kerajaan telah berjaya mengurangkan sebanyak 49 peratus jumlah isi rumah miskin tegar iaitu mereka yang berpendapatan kurang RM440 sebulan dalam tempoh dua tahun.

Berdasarkan rekod jumlah isi rumah miskin tegar pada Disember 2008 adalah 44,643 keluarga namun ia berjaya dikurangkan kepada 22,198 sehingga 30 September lalu. Dan usaha tersebut tidak pernah terhenti dan jumlah tersebut akan terus dikurangkan dari semasa ke semasa.

Selain bantuan yang disalurkan melalui JKM, Program Azam Kerja juga merupakan antara inisiatif yang diambil oleh kerajaan untuk membantu meningkatkan ekonomi dan taraf hidup penduduk miskin.

Buat masa ini seramai 10,448 Ketua Isi Rumah (KIR) yang tergolong dalam kumpulan miskin tegar akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan melalui tersebut. Program yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) bukan sahaja akan membantu kumpulan yang tidak berupaya bekerja malahan golongan yang gagal mendapatkan pekerjaan.

Untuk itu sejumlah RM7 juta telah disumbangkan oleh KPWKM kepada KSM di mana peruntukan itu bakal digunakan untuk membantu mengeluarkan sejumlah 10,448 ketua isi rumah mahupun anggota isi rumah yang tergolong di bawah miskin tegar untuk mendapatkan pekerjaan melalui KSM.

Dalam tempoh lapan bulan tahun lalu sahaja sebanyak 20,579 isi rumah miskin tegar berjaya dikeluarkan daripada kategori itu – pencapaian sebanyak 46 peratus daripada jumlah keseluruhan 44,463 miskin tegar di negara ini.

Jumlah itu melibatkan mereka yang mendaftar dengan e-Kasih dan disarankan untuk keluar daripada kategori itu di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah.

Antara bidang utama yang dikenal pasti berpotensi untuk membantu golongan ini keluar daripada belenggu kemiskinan ialah bidang keusahawanan. Bidang ini dilihat sebagai pendekatan paling efektif untuk mengoptimumkan potensi individu berdasarkan kemahiran bagi membolehkan mereka menjana pendapatan seterusnya berdikari bagi meningkatkan taraf dan kualiti hidup.

No comments: