Selari dengan matlamat menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, agenda membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin sama ada di bandar mahu pun di luar bandar menjadi keutamaan Kerajaan. Usaha berterusan ini perlu bukan sahaja untuk merapatkan jurang perbezaan pendapatan antara golongan kaya dan miskin tetapi juga untuk memastikan kekayaan ekonomi negara ini mampu dikongsi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kedudukan dan ekonomi mereka.
Usaha memberikan pemilikan saham kepada golongan miskin tegar dan miskin bandar melalui Program Amanah Wawasan 2020 – Bandar (ASW-2020-Bandar) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan untuk memastikan golongan ini tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
Tanpa mengira kaum, mereka yang layak serta mendaftar dengan program e-Kasih akan diberikan wang prinsipal sebanyak RM10,000 di mana wang tersebut akan tetap menjadi hak milik kerajaan dan seramai 4,976 daripada 8,439 ketua keluarga miskin akan berpeluang menikmati pendapatan tambahan menerusi pemberian dividen dan faedah-faedah lain menerusi pelaburan tersebut.
Pemberian saham itu adalah seiring dengan hasrat Kerajaan dalam mengurangkan jumlah golongan miskin bandar di kalangan masyarakat. Melalui program ini sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan.
Skim yang diperkenalkan oleh Kerajaan ini agak berbeza dengan saham-saham lain di mana mereka akan menerima dividen dan lain-lain pulangan pada tiap-tiap tahun sepanjang hayat mereka. Bagaimanapun, sekiranya pemegang amanah itu meninggal dunia, maka unit itu akan disampaikan kepada orang lain yang lebih memerlukan .
Menerusi daftar e-Kasih yang dikelolakan oleh Jabatan Perdana Menteri, garis pendapatan miskin tegar ditetapkan buat mereka yang mempunyai pendapatan bulanan kurang RM430 di Semenanjung, RM540 di Sabah dan RM520 di Sarawak. Sementara golongan miskin pula adalah mereka yang mempunyai pendapatan tidak melebihi RM720 di Semenanjung, RM960 di Sabah dan RM830 di Sarawak.
Mengikut perancangan yang telah dibuat, para pemegang saham itu akan mula menikmati dividen tahunan serta pulangan sepanjang hayat mulai September ini berdasarkan kadar yang ditetapkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Melalui program tersebut Kerajaan menjangka mampu mengurangkan jumlah isi rumah penduduk miskin di seluruh negara daripada 5.7 peratus kepada 2.8 peratus pada akhir 2010. Usaha mengenal pasti golongan miskin melalui pendaftaran e-Kasih mula menampakkan kejayaan di mana sehingga kini, golongan miskin tegar dalam negara menurun kepada 33,417 orang berbanding 50,931 sebelumnya.
Monday, July 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment