Friday, July 16, 2010

Pengurangan Subsidi tidak jejas rakyat

Kenaikan harga gula, petrol, diesel dan petroleum gas cecair (LPG) seharusnya tidak menjadi satu isu yang dianggap membebankan oleh rakyat jika kita semua faham bahawa perancangan yang dibuat oleh Kerajaan ini sebenarnya bertujuan untuk kebaikan rakyat juga. Malah kaedah dan pertimbangan yang dibuat dipastikan tidak akan membebankan rakyat.

Walaupun berlaku sedikit kenaikan harga, pada hakikatnya Kerajaan masih membelanjakan lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula. Namun dalam masa yang sama penyelarasan itu juga membolehkan Kerajaan melakukan penjimatan melebihi RM750 juta tahun ini di mana ia boleh digunakan untuk memenuhi agenda seperti dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang bakal dilaksanakan.


Rakyat seharusnya melihat kepentingan yang jauh lebih besar tanpa berterusan mempersoalkan tindakan kerajaan ini kerana penjimatan yang cukup besar hasil pengurangan subsidi ini boleh dimanfaatkan untuk pembangunan rakyat luar bandar yang masih tidak menikmati kemudahan asas yang sempurna.

Memperbaiki taraf kehidupan rakyat luar bandar dengan kemudahan asas yang sempurna juga adalah selari dengan matlamat negara untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Langkah pertama yang diambil oleh Kerajaan di bawah Program Rasionalisasi Subsidi ini juga bertujuan untuk memastikan pemberian subsidi oleh Kerajaan ini benar-benar menepati golongan sasaran. Malah jika dibuat perbandingan, harga gula dan bahan bakar di negara ini masih kekal terendah berbanding negara-negara di rantau Asia Tenggara.

Seperti mana yang dikatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, subsidi besar yang ditanggung oleh Kerajaan selama ini menjadi satu cabaran yang cukup besar kepada Kerajaan untuk mengukuh dan membangunkan ekonomi negara dalam jangka masa panjang. Justeru, keputusan untuk melakukan sedikit perubahan perlu dibuat tetapi dalam masa yang sama Kerajaan memastikan setiap perubahan itu tidak akan membebankan atau menjejaskan kepentingan rakyat.

Seperti mana yang dikenal pasti oleh Kerajaan, keputusan menyelaraskan harga bahan bakar dan gula dibuat berdasarkan tiga perkara utama yang dianggap penting untuk kebaikan semua pihak.

• Semua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia juga memberi faedah kepada pihak yang tidak layak seperti warga asing dan rakyat berpendapatan tinggi yang mampu membayar petrol tanpa subsidi. Sementara Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri dan bukan keluarga – di mana hampir dua kali ganda subsidi gula digunakan sektor perniagaan berbanding isi rumah.

• Barangan subsidi tinggi selalunya membawa kepada penyeludupan kerana pemberian subsidi menjadikan barangan tersebut murah di rantau ini.

• Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha melindungi alam sekitar. Sementara pengurangan penggunaan gula dilihat sebagai langkah tepat bagi menangani isu kesihatan kerana 40 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dan jumlah penyakit kencing manis juga semakin meningkat.

No comments: