Sunday, June 6, 2010

Subsidi: Pandangan rakyat diambil kira

Banyak pihak mempunyai pandangan tersendiri berhubung isu pemberian subsidi oleh Kerajaan dan cadangan untuk memansuhkan pemberian subsidi yang setelah sekian lama dinikmati oleh rakyat negara ini. Ada yang menyokong agar pemberian subsidi ini dikaji semula. Tidak kurang yang mahu pemberian subsidi ini dikekalkan atas alasan untuk menjaga kepentingan golongan berpendapatan rendah dan miskin.

Biar apa pun alasannya, kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang mendakwa negara boleh muflis dalam tempoh sembilan tahun lagi jika dasar pemberian subsidi ini tidak dimansuhkan, wajar diberikan perhatian. Menurut beliau, hutang negara dijangka meningkat 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2019, jika pemberian subsidi diteruskan.


Jika dilihat secara perbandingan dengan negara-negara jiran di Asia Tenggara, rakyat Malaysia adalah yang paling banyak menerima subsidi dari Kerajaan. Malaysia merupakan negara yang memberi subsidi tertinggi kepada rakyatnya iaitu berjumlah RM74 bilion pada 2009. Ia melibatkan perbelanjaan subsidi untuk sosial sebanyak RM42.8 bilion, bahan api sebanyak RM23.5 bilion, infrastruktur RM4.6 bilion dan makanan sebanyak RM3.1 bilion. Kira-kira 97 peratus daripada subsidi Malaysia telah diagihkan kepada setiap rakyat negara ini meliputi soal pendidikan rendah, menengah dan tinggi, perubatan, petrol, gula, minyak masak serta elaun kebajikan.

Bagaimana pun keputusan sama ada mengekalkan atau mengurangkan subsidi hanya akan ditentukan selepas Kerajaan mendapat maklum balas daripada rakyat. Pandangan dan masalah rakyat perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat kerana ia penting untuk memastikan apa juga keputusannya nanti tidak akan mendatangkan sebarang implikasi baik kepada pihak Kerajaan mahu pun rakyat.

Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas isu tersebut di mana beliau menegaskan bahawa Kerajaan amat konsisten untuk bersifat telus dan sentiasa mahu berkongsi dengan rakyat kerana pada akhirnya segala keputusan akan ditanggung oleh rakyat dan Kerajaan sendiri. Apa yang penting ialah kebaikan jangka panjang atau kita pertahankan status quo yang ada hari ini tetapi mendedahkan negara kepada risiko-risiko tertentu di masa depan.

Isu pemberian subsidi tersebut timbul apabila Makmal Rasionalisasi Subsidi yang melakukan kajian mendapati pemberian subsidi secara berterusan kepada rakyat negara ini boleh mendatangkan risiko kepada negara untuk tempoh jangka masa panjang. Sehubungan itu satu cadangan di kemukakan kepada Kerajaan agar subsidi terhadap barang kawalan seperti gula, tepung dan minyak masak dimansuhkan secara berperingkat-peringkat bagi mengelakkan negara muflis dalam tempoh sembilan tahun akan datang jika dasar tersebut tidak diubah atau dilaksanakan mulai sekarang.

Walaupun kenyataan itu merupakan unjuran daripada kajian makmal tetapi menurut Perdana Menteri, ia tidak semestinya dilaksanakan melainkan setelah mendapat maklum balas daripada rakyat – di mana penjelasan yang diberikan oleh rakyat membolehkan kerajaan membuat rumusan terbaik yang boleh menentukan kesejahteraan rakyat dan masa depan negara.

Isu pemberian subsidi ini dilihat oleh banyak pihak banyak mendatangkan kesan negatif dan kerana ia turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi sedangkan sasarannya adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin. Walaupun Kerajaan komited untuk melaksanakannya secara berperingkat-peringkat, sebarang kajian semula terhadap kadar subsidi akan dipastikan tidak membebankan rakyat selain menjaga kepentingan golongan yang lemah.

No comments: