Usaha memulihkan ekonomi menerusi beberapa tindakan yang dibuat oleh Kerajaan seperti pakej rangsangan ekonomi dan strategi yang berkesan mula membuahkan hasil. Ini dapat dilihat berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mencatat pertumbuhan 10.1 peratus bagi suku pertama tahun ini.
Ia merupakan kadar tertinggi sejak suku pertama 2000 yang mencatat sebanyak 11.7 peratus. Pertumbuhan itu adalah lebih baik berbanding suku tahun keempat 2009 iaitu sebanyak 4.4 peratus. Berikutan itu unjuran KDNK 2010 dikaji semula kepada enam peratus berbanding sasaran 4.5 peratus hingga 5.5 peratus yang dibuat oleh Bank Negara sebelum ini.
Apa yang boleh dirumuskan di sini ialah, pertumbuhan memberangsangkan itu banyak disokong oleh pengukuhan permintaan domestik serta sejajar dengan pemulihan ekonomi global ketika ini.
Oleh itu banyak pihak termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menaruh keyakinan tinggi bahawa usaha transformasi kerajaan dan ekonomi serta sasaran KDNK sebanyak enam peratus bagi keseluruhan tahun 2010 mampu dicapai.
Pertumbuhan memberangsangkan itu juga menjadi petunjuk jelas bahawa negara kini sudah melepasi cabaran paling kritikal dalam mengharungi kemelesetan ekonomi global. Lebih penting, semua petunjuk ekonomi sudah mula menampakkan perkembangan positif yang sekali gus bakal membawa banyak manfaat kepada kehidupan rakyat termasuk menyediakan peluang pekerjaan yang lebih luas.
Berdasarkan perkembangan tersebut, jelas menunjukkan Malaysia kini berada pada landasan yang tepat untuk menjadi sebuah negara maju dengan berpendapatan tinggi menjelang 2020 seperti mana yang diinginkan oleh semua pihak.
Perkembangan ini secara tidak langsung mengingatkan rakyat Malaysia sekitar 10 tahun lalu apabila KDNK negara mencacat kadar pertumbuhan purata sebanyak lapan peratus setahun di mana keadaan itu banyak memberi manfaat kepada rakyat. Ketika itu segenap lapisan rakyat hidup dengan gembira, dilimpahi kemewahan dan boleh dikatakan senang berbanding dengan rakyat di negara jiran lainnya.
Ketika itu juga lah Malaysia dilihat sebagai lubuk untuk mencari rezeki apabila menyaksikan kemasukan secara besar-besaran pekerja asing dalam pelbagai sektor. Tidak kurang yang cemburu. Ada juga yang menyuarakan rasa kagum dan ingin belajar bagaimana kita mengurus ekonomi dengan baik sehingga mendatangkan kemakmuran kepada semua rakyat.
Apa yang lebih penting, rakyat harus meletakkan kepercayaan kepada Kerajaan dan menyokong segala usaha yang dilakukan oleh Kerajaan untuk melakukan transformasi terutama dalam bidang ekonomi kerana hasilnya nanti tentunya akan dinikmati oleh rakyat juga.
Saturday, May 29, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment