Tiada rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat peluang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran – itu lah antara jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB). Pelaksanaannya bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki ekonomi maju dan berdaya saing dengan rakyat menikmati kualiti hidup serta berpendapatan tinggi hasil pertumbuhan yang inklusif dan mampan.
Menerusi MEB juga Kerajaan meletakkan sasaran untuk menjadikan Malaysia lebih kompetitif bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga di peringkat global untuk manfaat setiap rakyat sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan per kapita kepada AS$15,000 menjelang akhir dekad ini berbanding AS$7,000 ketika ini.
Untuk mencapai impian tersebut, sebanyak lapan inisiatif pembaharuan strategik telah digariskan oleh Kerajaan bagi merealisasikan program transformasi ekonomi Malaysia ke arah melonjakkan kualiti hidup semua kaum.
Lapan inisiatif tersebut adalah,
• Menyuburkan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi
• Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
• Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing
• Memperkukuh sektor awam
• Melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran
• Membina infrastruktur berasaskan pengetahuan
• Meningkatkan sumber pertumbuhan
• Memastikan pertumbuhan mapan
Walaupun MEB cuba dipolitikkan oleh golongan tertentu kononnya ia bakal menghakis kepentingan bumiputera, jaminan tersebut dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri bahawa MEB menjanjikan manfaat kepada semua kaum tanpa menjejaskan atau mengetepikan kepentingan kaum Bumiputera. Malah beliau berkata, di bawah MEB, Kerajaan tidak boleh lagi bertolak ansur dengan amalan yang menyokong aktiviti ‘rent-seeking dan ‘patronage’ yang sudah sekian lama menjejaskan matlamat murni Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Apa yang cuba diisi melalui MEB adalah penyertaan menyeluruh di mana semua rakyat dapat menyumbang dan mengambil manfaat daripada pertumbuhan ekonomi di mana objektif asal DEB masih lagi relevan, cuma sudah tiba masanya untuk menilai semula pelaksanaan DEB dengan mengubah cara ia dilaksanakan.
Seperti yang pernah dinyatakan oleh bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia), Dato’ Salleh Majid yang pernah mengulas mengenai isu MEB ini dengan panjang lebar dalam kolumnya di akhbar Utusan Malaysia. Menurut beliau, salah satu kelemahan yang kerap dibangkitkan oleh pengkritik DEB adalah ia menguntungkan orang-orang tertentu – iaitu mereka yang mempunyai kaitan dan hubungan dengan pemimpin dan pentadbir atau tergolong dalam golongan yang mempunyai pengaruh atau boleh membawa pengaruh.
Jadi, DEB tidak sampai kepada sasaran yang diinginkan. Menurut beliau tidak hairan jika pengkritik mengatakan mereka yang bersungguh-sungguh mempertahankan DEB terdiri daripada mereka yang disebut ‘tukang tenggek’ yang bimbang peluang-peluang mereka mendapat projek secara mudah tanpa bekerja kuat akan musnah kalau DEB tidak diteruskan.
Mengapa Malaysia memerlukan MEB? Menurut Dato’ Salleh Majid, ketika ini Malaysia sudah ditinggalkan negara-negara jiran di Asia Tenggara. Pelaburan asing sudah berkurangan malah syarikat swasta negara ini juga tidak banyak melabur di negara ini dan mencari pelaburan di luar yang lebih menguntungkan. Kita masih terlekat dengan pendapatan pertengahan di mana negara-negara yang satu ketika dulu sama taraf dengan Malaysia seperti Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Singapura kini sudah terlalu jauh meninggalkan kita. Pendapatan per kapita hanya setakat AS$7,000 (RM23,000) sedangkan negara-negara yang sama taraf dengan kita satu masa dulu sudah meningkat dua hingga lima kali ganda daripada per kapita kita.
Banyak sebab mengapa pelabur asing berkurangan. Antaranya industri kita masih lagi bertumpu kepada industri bergaji rendah dan teknologi rendah yang kurang nilai tambahnya dalam produk keluaran. Bagi industri berteknologi tinggi, kita tidak memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi yang ramai memandangkan ramai di kalangan mereka ini meninggalkan negara untuk mendapat gaji dua atau tiga kali ganda dari apa yang ditawarkan di negara sendiri.
Selain itu kerenah birokrasi juga menyebabkan pelabur keberatan untuk datang melabur. Berbanding di negara lain untuk melakukan apa juga perniagaan atau pelaburan boleh dilakukan dalam masa beberapa jam tetapi di Malaysia ia mengambil masa berbulan-bulan.
Ini lah yang cuba diubah menerusi MEB- iaitu mengubah struktur ekonomi negara untuk meningkatkan tahap persaingan sekali gus meningkatkan pendapatan per kapita kepada AS$17,000 (RM56,000) menjelang 2020 seperti yang disasarkan sebelum ini iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.
Selain itu MEB juga berhasrat untuk menjadikan industri berasaskan pengetahuan diutamakan selain daripada tanah, buruh dan modal serta inovasi dan kreativiti menjadi fokus utama. Bagi memastikan ia berjaya dicapai, ia memerlukan sokongan banyak pihak termasuk institusi kewangan untuk melakukan reformasi masing-masing.
Seperti kata Dato’ Salleh Majid, pendapatan lebih tinggi tidak bermakna memberi gaji yang lebih semata-mata. Apa yang lebih penting adalah peningkatan dalam produktiviti memandangkan angka indeks produktiviti negara ketika ini masih rendah dan ia perlu dipertingkatkan lagi. Banyak yang perlu diberikan tumpuan terutama kepada aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi membolehkan kita menjadi sebuah negara yang benar-benar maju.
Apa yang lebih penting, tanggungjawab menjayakan MEB tidak hanya bergantung semata-mata kepada Kerajaan tetapi juga sejauh mana kesanggupan rakyat melaksanakan perubahan dalam persekitaran ekonomi yang bergerak pantas.
Thursday, April 8, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Sangat bagus memang saya mungkin akan mendownloadnya. Terima kasih
Aku hanya ingin membuat komentar cepat untuk mengatakan saya senang saya menemukan blog Anda. Terima kasih
Post a Comment