Untuk memastikan Kerajaan benar-benar serius ke arah membangunkan negara dan merealisasikan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan sekali gus memperlihatkan bahawa Kerajaan yang ada hari ini adalah ‘untuk rakyat dan kerana rakyat’, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini menggariskan empat tonggak utama agenda perubahan Kerajaan.
Selain gagasan 1 Malaysia, tonggak-tonggak tersebut adalah Program Transformasi Kerajaan (PTK), Model Ekonomi Baru dan Rancangan Melaysia Ke-10. Beliau juga menyifatkan empat tonggak tersebut umpama sebuah kerusi yang mempunyai empat kaki. Ia bukan sahaja stabil tetapi juga selamat kepada sesiapa sahaja yang mendudukinya.
Bagi memastikan kejayaannya, Kerajaan turut menggariskan tiga komponen penting yang merangkumi modal insan, modal swasta dan modal sosial di mana tanpa ketiga-tiga elemen tersebut . Peranan ketiga-tiganya begitu penting dan tanpa penglibatannya pasti setiap misi besar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan untuk pembangunan rakyat dan negara ini tidak akan dapat dicapai.
Perdana Menteri memberi gambaran di mana modal insan merupakan elemen terpenting dalam usaha kerajaan memacu ekonomi negara di mana negara begitu memerlukan tenaga kerja yang lebih holistik dan komprehensif. Maksudnya, negara bukan hanya memerlukan tenaga kerja yang berpengetahuan tinggi tetapi juga memiliki kemahiran tinggi kerana memalui gabungan kedua-duanya akan melahirkan pekerja yang kreatif dan inovatif.
Beliau juga menjelaskan bahawa gagasan 1Malaysia bukan sekadar retorik sebaliknya membawa pengertian mendalam dari segi dasar pendekatan dan perubahan yang ingin dilakukan oleh Kerajaan. Ia merupakan satu dasar yang murni bagi memacu perpaduan nasional dan kestabilan negara - umpama bergerak dalam satu keluarga besar menuju matlamat yang sama.
Jadi adalah amat penting gagasan tersebut diterjemahkan dalam bentuk dasar negara.
Memandangkan dasar tersebut mempunyai kaitan rapat dengan tonggak kedua iaitu Program Transformasi Kerajaan (PTK), ia banyak menuntut komitmen padu dan jitu daripada penjawat awam untuk melaksanakannya. Dalam soal ini penjawat awam perlu memastikan pencapaian diutamakan kerana Kerajaan tidak mahu rakyat memandang sinis terhadap dasar-dasar yang diumumkan Kerajaan kerana ia menimbulkan banyak persoalan ketika pelaksanaannya.
Mengenai tonggak ketiga iaitu Model Ekonomi Baru(MEB) yang akan dibentangkan penghujung Mac ini, ia tidak kurang pentingnya kerana bakal memberi satu suntikan baru kepada pembangunan negara agar lebih berdaya saing. Atau lebih tepat lagi ia adalah satu usaha untuk melakukan anjakan kepada ekonomi negara agar lebih kompetitif bagi mengukuhkan lagi strategi ekonomi negara.
Sementara tonggak terakhir iaitu Rancangan Malaysia Ke-10 pula mengandungi banyak ketetapan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan MEB. Ke semua tonggak tersebut merupakan agenda penting Kerajaan sepanjang tahun 2010 ini. Malah ia bukan setakat agenda penting kerajaan bagi tahun 2010 semata-mata tetapi jauh lebih besar adalah MEB dan RMK-10 merupakan landasan terakhir bagi rakyat dan negara Malaysia mencapai wawasan 2020 dan ketiga-tiga komponen tersebut lah yang akan menjadi pemangkin ke arah kejayaan ke semua misi Kerajaan tersebut.
Thursday, March 18, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment