Rakyat boleh menarik nafas lega berikutan keputusan Kerajaan membatalkan cadangan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi petroleum. Pembatalan tersebut dibuat setelah Kerajaan mengambil kira pandangan dan maklum balas negatif daripada rakyat. Malah keputusan tersebut juga disifatkan oleh banyak pihak sebagai langkah terbaik dalam menangani keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Berikutan langkah tersebut, harga bagi minyak RON 95 dan RON 97 bersubsidi, masing-masing kekal pada harga RM180 seliter dan RM2.05 seliter. Sementara diesel pula dijual pada harga RM1.70 seliter.
Bermakna, dalam usaha mengekalkan harga runcit petrol dan diesel, Kerajaan menanggung subsidi petroleum tahun lalu sebanyak RM3.4 bilion manakala subsidi bagi diesel pula sebanyak RM1.9 bilion.
Sebagai jalan penyelesaiannya, Kerajaan akan mewujudkan Makmal Merasionalisasikan Subsidi bagi mengkaji mekanisme terbaik pelaksanaan penyaluran subsidi bukan sahaja merangkumi bahan petroleum tetapi juga makanan dan infrastruktur lain. Oleh itu satu kertas cadangan akan dikemukakan oleh Kementerian terbabit kepada kabinet untuk mencari kaedah sesuai dalam mengekang pembelian petroleum bersubsidi negara yang kini turut dinikmati oleh rakyat asing. Makmal Merasionalisasikan Subsidi yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala itu dijangka menyiapkan cadangannya sebelum pembentangan Bajet 2011 tahun ini.
Ketika ini, larangan penjualan petrol dan diesel melebihi 20 liter dikuatkuasakan ke atas kenderaan asing dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan negara tetapi tidak di lain-lain tempat termasuk ibu negara.
Berikutan langkah Kerajaan tersebut, ramai pihak mengharapkan satu mekanisme dapat dilakukan bagi memastikan pengguna di kalangan rakyat tempatan mendapat faedah kerana ketika ini rakyat negara asing terutama dari Singapura dan Thailand turut mendapat faedah daripada subsidi yang diberikan oleh kerajaan ini.
Sebelum ini Kerajaan merancang memperkenalkan sistem harga berperingkat bagi pembelian petrol bermula 1 Mei tahun ini serentak dengan pemansuhan pemberian subsidi petrol kepada warga asing termasuk mensyaratkan pengguna menunjukkan Mykad sewaktu pembelian dibuat di mana langkah tersebut dianggap membebankan dan menyusahkan rakyat.
Banyak pihak berpendapat, jika Kerajaan berhasrat untuk menghapuskan subsidi minyak, Kerajaan terlebih dahulu perlu memastikan sistem pengangkutan awam yang terdapat di negara ini benar-benar efisien dan cekap. Ia sedikit sebanyak akan memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna dan paling penting mampu membantu usaha Kerajaan dalam menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam bagi mengatasi kesesakan lalu lintas dan sebagainya.
Wednesday, March 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment