Wednesday, February 10, 2010

Klinik 1 Malaysia Diterima Baik

Selepas sebulan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu pada 7 Januari lalu, Klinik 1 Malaysia mula diterima baik oleh rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Mereka bukan sahaja menyambut baik usaha tersebut tetapi juga menganggap idea dan konsep Perdana Menteri itu sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka yang selama ini banyak bergantung pada rawatan di klinik swasta.


Lebih-lebih lagi hampir ke semua 50 klinik yang diwujudkan di seluruh negara itu bertumpu kepada kawasan penempatan golongan berpendapatan rendah dan sederhana seperti di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR). Paling penting Klinik 1 Malaysia ini terbuka kepada semua – menepati gagasan 1 Malaysia selain memastikan setiap penduduk mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan secara yang lebih adil, saksama dan menyeluruh.



Disifatkan sebagai hampir percuma dengan hanya mengenakan caj RM1, sejak dilancarkan, Klinik 1 Malaysia ini terus mendapat sambutan sepanjang masa operasi dan di Kerinchi sahaja, purata mereka yang mengunjungi klinik ini mencecah 100 orang sehari sejak dilancarkan oleh Perdana Menteri awal Januari lalu.

Walaupun di peringkat awal pelancarannya, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kebimbangan kemungkinan pendapatan mereka akan terjejas, umumnya, penubuhan Klinik 1 Malaysia hanya untuk memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan pilihan rawatan yang lebih luas dan terbuka.

Soal klinik swasta terjejas sebenarnya tidak timbul kerana Klinik 1 Malaysia hanya menawarkan rawatan bagi merawat penyakit ringan dan bagi tujuan rawatan lanjut, perkhidmatan klinik swasta dan hospital kerajaan mahupun swasta masih diperlukan. Penubuhan Klinik 1 Malaysia hanyalah satu pilihan selain memudahkan golongan kurang mampu untuk menjalani rawatan ke hospital-hospital Kerajaan yang kadang kala agak jauh dari kediaman mereka semata-mata untuk mendapatkan rawatan pesakit luar.


Ketika ini operasi ke semua 50 buah Klinik 1 Malaysia di seluruh negara berjalan lancar iaitu masing lima buah di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor. Empat buah di Perak, Sabah dan Sarawak. Tiga buah di Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan. Dua buah di Kedah dan sebuah di Perlis di mana sebanyak RM10 juta dibelanjakan oleh Kerajaan untuk memberi kemudahan kepada rakyat.

1 comment:

Anonymous said...

gud... syabas 1 malaysia