Friday, January 22, 2010

GST Tidak bebankan Rakyat

Walaupun banyak pihak menentang langkah kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST) dan menganggap ia menambah lagi beban yang terpaksa ditanggung rakyat, Kerajaan memberi jaminan bahawa pelaksanaan GST sama sekali tidak akan membebankan rakyat terutama kumpulan berpendapatan rendah. Sebagai jaminan, Kerajaan akan memastikan barangan keperluan asas yang banyak digunakan oleh rakyat akan dikecualikan daripada GST.

Rakyat perlu tahu dan memahami bahawa usaha Kerajaan memperkenalkan GST adalah satu bentuk keperluan jangka panjang memandangkan penggantungan negara terhadap petroleum sebagai penyumbang utama negara perlu diganti bermula sekarang. Rakyat juga perlu memahami bahawa pengeluaran petroleum tidak akan kekal selama-lamanya dan bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang, pengenalan GST dilihat mampu mengatasi sebarang kehilangan pendapatan cukai akibat pengurangan simpanan minyak negara.

Jika ada di kalangan rakyat yang masih kabur dengan maksud dan konsep GST, secara kasarnya GST merupakan cukai penggunaan dan ia berasaskan konsep nilai ditambah. Memandangkan ia berasaskan pengenaan cukai di setiap langkah nilai ditambah, maka pungutan cukai mampu dilakukan lebih kerap berbanding dengan pungutan cukai jualan dan perkhidmatan di mana cukai dikutip hanya sekali.



Bermakna GST dikenakan ke atas setiap nilai tambah ke atas barangan dan perkhidmatan dalam setiap urus niaga. Nilai tambah di sini bermaksud, nilai yang ditambah ke atas barangan mentah atau pun nilai terhadap sebarang pengubahsuaian yang dilakukan oleh pengeluaran barangan mentah sebelum dijual kepada pengilang. Pengilang kemudiannya akan mengenakan GST ke atas nilai tambah yang dilakukannya sebelum ia dijual kepada pengguna akhir.

Realitinya, GST merupakan cukai yang dikenakan di pelbagai peringkat atas kenaikan harga jualan barangan dan perkhidmatan yang dibeli pengguna.

GST juga bukan satu yang baru. Ia sudah banyak dilaksanakan di beberapa negara malah Malaysia merupakan negara Pertubuhan Negara Asia tenggara (ASEAN) yang terakhir memperkenalkannya.

Di sesetengah negara GST turut dikenali sebagai Value Added Tax (VAT) di mana ia di dikenakan dengan kadar berbeza-beza mengikut negara. China umpamanya mengenakan kadar 17 peratus, India 10 peratus, Thailand 7 peratus, Singapura 7 peratus dan Filipina 12 peratus.

Secara kasarnya pengguna akhir dilihat terpaksa menanggung keseluruhan cukai yang diserahkan oleh pembekal dan pengilang kepada Kerajaan. Tetapi hakikat sebenarnya adalah, pengguna akhir sebenarnya akan mendapat keuntungan yang lebih banyak jika dibandingkan dengan kadar cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada. Ketika ini cukai jualan dan perkhidmatan dikenakan pada kadar 10 peratus hingga 15 peratus berbanding GST yang haya mengenakan satu kadar berpatutan dan mungkin jauh lebih rendah daripada cukai sedia ada.

1 comment:

Luke said...

GST hanya wajar dikenakan pada barangan mewah bukan barang keperluan asas.