Pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga kini boleh
menarik nafas lega apabila pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan
dan Kerajaan Tempatan memperkenalkan program Rumah Transit buat julung kalinya
bagi membantu pasangan yang sukar mendapatkan kediaman mampu milik di Kuala
Lumpur.
Untuk program pertama ini sebanyak 632 pasangan muda akan
diberikan kemudahan tersebut menerusi dua blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) di
Pinggiran Bukit Jalil di mana ia akan mula beroperasi pada awal 2014.
Program itu mampu mengurangkan beban pasangan muda
berpendapatan rendah kerana kadar sewa ditetapkan adalah RM250 sebulan dan
setiap pasangan pula dibenarkan menyewa sehingga tempoh dua tahun.
Bagaimanapun, mereka yang dipilih menyertai program itu sama sekali tidak
dibenarkan untuk menyewakan kediaman tersebut kepada orang lain.
Buat masa ini selain projek
PPR Pinggiran Bukit Jalil, dua lokasi baharu sudah dikenalpasti bagi
Program Rumah Transit iaitu di PPR Kepayan Ridge, Kota Kinabalu, Sabah dan PPR
Sentul, Kuala Lumpur.
Pasangan yang ingin menyertai program itu perlu mendaftar
dengan sistem pendaftaran terbuka (SPT) di Lembaga-lembaga Perumahan Negeri
atau Bahagian Perumahan di Pejabat-Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Sementara bagi pemohon di Kuala Lumpur, mereka perlu
mengemukakan permohonan di bawah SPT di laman web E-Perumahan Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) dan e semua permohonan akan disaring mengikut
syarat-syarat dan kelayakan yang telah ditentukan di peringkat negeri.
Selepas melalui peringkat saringan yang diperoleh dari sistem pendaftaran dalam
talian yang dibangunkan,permohonan itu kemudiannya akan dihantar ke kementerian untuk tapisan bagi
memastikan pasangan benar-benar layak sahaja menduduki rumah transit berkenaan.
Satu jawatankuasa juga akan dibentuk untuk memilih penyewa rumah transit yang akan dianggotai
oleh wakil-wakil negeri termasuk pegawai dari kementerian.
Selain bertanggungjawab sepenuhnya dalam soal penyelengaraan
dan kemudahan di semua Program Rumah Transit, pihak kementerian juga akan
menyediakan kemudahan baharu antaranya memperkenalkan sistem kamera litar
tertutup (CCTV), pondok pengawal keselamatan, kawasan berpagar, unit komuniti
bomba, pusat penjagaan kanak-kanak, surau dan ruang serbaguna.
Dalam pada itu, pihak kementerian juga akan menetapkan
sekurang-kurangnya 10 peratus unit bagi projek PPR baharu diperuntukkan untuk
rumah transit khususnya di bandar-bandar besar di negara ini.
No comments:
Post a Comment