Friday, February 10, 2012

Memperkukuh Ekonomi Bumiputera



Walaupun banyak pihak mempertikaikan dasar-dasar kerajaan yang tidak membantu orang Melayu dan Bumiputera, hakikatnya agenda pembangunan ekonomi Bumiputera tetap menjadi teras utama kerajaan bagi memastikan golongan itu boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum-kaum lain daripada segi pegangan ekonomi.

Berbagai pendekatan sebagai inisiatif dibuat oleh kerajaan untuk memperkukuhkan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera dan baru-baru ini kerajaan mengumumkan lagi lima pendekatan melalui Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) - antara lain memastikan bilangan syarikat teras bumiputera ditambah sebanyak 50 lagi berbanding 30 dalam fasa pertama.


Kesemua syarikat itu telah pun melalui proses penilaian dan penarafan di mana syarikat tersebut dilihat mempunyai potensi untuk berkembang lebih maju dengan jumlah hasil syarikat yang dijangka berada dalam lingkungan RM5 bilion.

Ketika mengumumkan inisiatif tersebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, konsepnya bukanlah menjanjikan setiap syarikat yang dipilih semestinya mendapat kontrak kerajaan tetapi lebih kepada keupayaan membina dan membangunkan keupayaan syarikat-syarikat tersebut dari segi pengurusan, teknikal dan kewangan selain membantu dari segi inovasi serta pelan perniagaan.

Selain itu MTAB juga bersetuju untuk mempelawa syarikat-syarikat bumiputera mengguna pakai aplikasi yang dibangunkan untuk memasarkan produk mereka ke luar Negara.

Selain itu satu keputusan juga telah dicapai supaya SME Corporation menjadi rakan kongsi pintar kepada Teraju untuk membangunkan 80 peratus syarikat bumiputera yang kebanyakannya merupakan usahawan mikro dari segi pembungkusan agar perolehan syarikat dapat ditingkatkan.

Sementara itu satu persetujuan juga telah dicapai untuk meminta Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) melepaskan pegangan ke atas syarikat-syarikat yang dianggap bukan teras perniagaan tetapi berpotensi untuk diserah tadbir dan diserah milik kepada syarikat bumiputera seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Mereka akan melalui satu proses penilaian yang dibuat secara tender terbuka di mana syarikat-syarikat bumiputera dipelawa mengambil bahagian. Syarikat terbaik dan paling kukuh, mempunyai kemampuan akan diserah milik untuk memiliki syarikat tersebut dan seterusnya dapat menambahkan nilai ekuiti bumiputera.

Untuk itu, kata Perdana Menteri, Khazanah dan PNB masing-masing disasarkan akan melepaskan pegangan ke atas lima syarikat.

Selain memberikan penekanan terhadap agenda pembangunan ekonomi Bumiputera, kerajaan melalui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera turut menyasarkan peningkatan perolehan dana dari RM158 juta kepada RM500 juta untuk membiayai pendidikan pelajar bumiputera yang memperoleh keputusan cemerlang melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.

Antara aspek yang diberikan tumpuan adalah untuk memberi nilai tambah kepada bumiputera yang lulus dalam perakaunan di peringkat sarjana muda tetapi tidak meneruskan pengajian untuk kelulusan ikhtisas profesionalnya. Melalui yayasan ini, kerajaan akan membantu mereka menaik taraf kelulusan sebagai profesional.

2 comments:

Anonymous said...

saya sokong benda macam ini...

Mohd Firdaus said...

terima kasih kerajaan pimpinan Najib kerana sudi menjaga ekonomi orang melayu kita yang tidak sedar diri ini...