Dengan menawarkan 250 jenis barangan pada harga paling minimum, rakyat kini mempunyai pilihan untuk mendapatkan barangan keperluan asas melalui penubuhan Kedai Rakyat 1Malaysia – satu lagi sumbangan kerajaan kepada rakyat negara ini untuk membantu golongan berpendapatan rendah selepas penubuhan Klinik 1Malaysia yang kini semakin mendapat sambutan.
Usaha yang dirintis oleh kerajaan itu bukan sahaja untuk memastikan keperluan asas rakyat tidak diabaikan tetapi juga untuk membela golongan rakyat biasa yang dihimpit dengan kenaikan harga barangan keperluan asas disebabkan oleh persekitaran ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.
Kedai Rakyat 1Malaysia yang memulakan operasi di Stesen LRT Kelana Jaya juga bakal dikembangkan ke seluruh negara dan perbincangan mengenainya sedang dilakukan dengan pihak swasta. Seperti mana Klinik 1Malaysia, penubuhan Kedai Rakyat 1Malaysia yang akan dikembangkan ke seluruh negara bertujuan untuk memastikan segenap lapisan masyarakat di negara ini memperoleh faedah daripadanya.
Ketika merasmikan penubuhannya baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, walaupun negara berusaha menjadi sebuah negara maju, keperluan asas rakyat sama sekali tidak akan dipinggirkan dan pembelaan untung nasib rakyat akan terus menjadi agenda utama dalam perjuangan dan perjalanan negara ini menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
Idea menubuhkan kedai tersebut dibuat setelah mengambil kira keperluan rakyat memandangkan masih terdapat ramai rakyat yang berpendapatan rendah berdepan dengan masalah kenaikan harga barangan terutama bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar.
Antara tarikan di Kedai Rakyat 1Malaysia adalah penjualan beras super tempatan lima peratus hancur pada harga RM21.99 berbanding RM26.50 untuk jenama terkenal, sardin 425 gram pada harga RM2.99 (RM6.10) dan roti sandwich RM1.79 (RM2.40).
Di sebalik harga rendah, para pengguna tidak perlu meragui kualiti barangan tersebut kerana ia menjadi sesuatu yang amat dititik beratkan oleh Mydin Mohamed Holdings Berhad iaitu pihak yang diamanahkan untuk menjalankan operasi kedai itu.
Penubuhan kedai ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk di bandar-bandar tetapi sebanarnya ia memberi kesan langsung kepada pihak lain terutamanya golongan pengusaha industri kecil sederhana (IKS) di mana mereka berpeluang untuk memasarkan produk keluaran mereka seterusnya membantu mereka bersaing di pasaran runcit lebih moden.
1 comment:
dengan ada nye kedai rakyat 1Malaysia.. ia banyak membantu golongan yg berpendapat rendah seperti saya.. saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaaan Malaysia kerana banyak membantu kami dari segi pembelian barangan dapur..
Post a Comment