Isu PPSMI sudah selesai walaupun masih terdengar suara-suara kecewa dengan tindakan Kerajaan yang disifatkan merugikan terutama apabila menyentuh tentang betapa pentingnya kemahiran dan penguasaan bahasa Inggeris ketika ini. Lebih mengecewakan apabila tindakan itu dibuat setelah Kerajaan membelanjakan berjuta ringgit sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Apa pun, memetik kata-kata Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, sepatutnya tidak ada lagi mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang telah Kerajaan lakukan ini kerana ia mengambil kira kepentingan negara dan kemahuan majoriti rakyat.Walau apa pun kesannya, keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan ini bukan bermakna Kerajaan tunduk kepada desakan golongan pejuang bahasa atau dibuat semata-mata kepentingan politik tetapi yang lebih penting ia dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek dengan pertimbangan yang cukup teliti serta bijaksana.
Dengan pemansuhan PPSMI ini bermakna mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan manakala di sekolah-sekolah SJKC dan SJKT menggunakan bahasa ibunda masing-masing mulai 2012. Bagaimanapun, perubahan itu tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi.
Bagaimanapun pemansuhan ini dilihat bukan satu halangan bagi Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan keupayaan murid-murid untuk menguasai ilmu Sains dan Matematik. Ini kerana satu usaha bersepadu akan dilakukan di mana selain memastikan martabat bahasa Malaysia terus dipelihara dan dipertahankan, penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris turut menjadi agenda atau keutamaan.
Untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan, satu transformasi kurikulum di sekolah rendah dan menengah akan diperkenalkan dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik.
Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Sementara pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa akan diberi penekanan dalam kurikulum bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah.
Walaupun mata pelajaran sains dan matematik tidak lagi diajar dalam bahasa Inggeris mulai 2012, Kerajaan melihat penguasaan bahasa antarabangsa ini perlu dipertingkatkan dan antara langkah yang diambil oleh Kerajaan antaranya ialah menambah jumlah guru bahasa Inggeris seramai 13,933 orang termasuk 1,000 guru dari luar negara dan menggunakan semula kepakaran 600 guru bahasa Inggeris yang sudah bersara.
Selain menambah bilangan guru, peruntukan waktu bagi pembelajaran bahasa Inggeris di semua sekolah ditambah seratus peratus . Selain itu program sastera kontemporari kanak-kanak bahasa Inggeris juga akan diperkenalkan kepada semua murid tahap II untuk mengukuhkan minat membaca di samping memperkenalkan unsur-unsur sastera.
Walaupun ada pihak yang mahukan ia dilaksanakan segera tanpa menunggu sehingga 2012, tempoh dua setengah tahun adalah satu tempoh yang realistik bagi pihak Kerajaan untuk membuat segala persiapan perlu. Langkah ini perlu memandangkan sebarang perubahan perlu dibuat secara berhati-hati tanpa terburu-buru bagi mengelakkan berlaku kesilapan seperti sebelum ini.
Keputusan untuk memansuhkan PPSMI ini dibuat setelah Kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan.
Rasional memansuhkan PPSMI
• Hanya sebilangan kecil guru Sains dan Matematik menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya
• Penggunaan bahasa Inggeris hanya sekitar 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa Sains dan Matematik
• Hanya sebahagian kecil guru Sains dan Matematik berjaya mencapai tahap kefasihan bahasa Inggeris pada 2008
• Peratusan murid mendapat Gred A, B dan C bagi untuk kedua-dua mata pelajaran tersebut dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot bagi sekolah bandar dan luar bandar
• Jurang pencapaian yang semakin melebar antara sekolah bandar dan luar bandar sepanjang PPSMI dilaksanakan
• Trends in mathematics and Science Study 2007 melaporkan kedudukan murid Malaysia dalam kedua-dua mata pelajaran itu merosot. Mata pelajaran Sains jatuh ke tangga 21 pada 2007 berbanding tangga ke-20 pada 2003. Sementara bagi mata pelajaran Matematik pula jatuh dari tangga 10 kepada tangga ke-20
• Kajian universiti tempatan mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid adalah nominal dan tidak melebihi tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI
• Tahap penguasaan bahasa Inggeris di luar bandar masih rendah menyebabkan murid sukar memahami PPSMI
No comments:
Post a Comment