Tuesday, July 7, 2009

Biasiswa Nasional Untuk Semua kaum

Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan - merupakan inti pati konsep Satu Malaysia yang ingin diterapkan oleh kerajaan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama. Selari dengan konsep itu juga banyak usaha dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan setiap rakyat mendapat manfaat dan paling penting untuk sama-sama menikmati kemakmuran ekonomi negara.

Langkah kerajaan memperkenalkan Biasiswa Nasional iaitu satu kategori khas biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah bukti hasrat kerajaan untuk mendahulukan rakyat dengan mengambil kira pertimbangan rakyat keseluruhannya.
Di bawah biasiswa khas yang akan diperkenalkan mulai tahun depan, pemberian biasiswa tersebut hanya terbuka kepada pelajar yang meraih keputusan terbaik sahaja tanpa mengira latar belakang kaum dan agama di mana kelayakannya 100 peratus berdasarkan merit.

Langkah tersebut sedikit sebanyak melegakan pelajar dan ibu bapa sekali gus menjawab segala persoalan dan isu yang ditimbulkan mengenai pemberian biasiswa yang dibangkitkan sebelum ini. Langkah ini juga bertujuan untuk memastikan tiada pelajar yang cemerlang tercicir atau tersisih daripada perhatian kerajaan.
Apa yang lebih penting, inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan ini seharusnya dimanfaatkan oleh pelajar untuk meningkatkan kecemerlangan akademik masing-masing untuk kepentingan bangsa dan negara di masa depan.

No comments: