Wednesday, July 22, 2009

Hadiah Perdana Menteri Kepada Rakyat

11 hadiah kepada rakyat sempena 100 hari menjadi Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak – membuktikan komitmen beliau untuk merealisasikan konsep satu Malaysia yang beliau ingin tonjolkan di mana rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan- berusaha untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat untuk masa depan yang lebih baik dan makmur.

Berbagai-bagai pihak menyambut baik pengumuman tersebut dan beberapa usaha yang diambil oleh kerajaan tersebut juga dilihat mampu mengurangkan beban rakyat seterusnya membantu meningkatkan ekonomi rakyat tanpa mengira kaum.

• Diskaun 20 peratus kepada pengguna kad prabayar Touch n Go dan SmartTag yang menggunakan lebuh raya 80 kali atau lebih dalam sebulan bermula 1 September 2009
(Ia membabitkan kira-kira 85,000 pengguna lebuh raya yang layak dan sejumlah RM61 juta diperuntukkan oleh kerajaan untuk tujuan ini. Pengguna lebuh raya yang memenuhi kriteria untuk menikmati diskaun tersebut boleh menebus dalam bentuk rebat tol ketika menambah nilai kad prabayar Touch 'n Go dan SmartTag masing-masing di 136 kaunter pusat jualan Touch 'n Go dan SmartTag di lebuh raya terpilih mulai 1 Oktober ini dan sah disimpan untuk tempoh enam bulan dari tarikh kelayakan)

•Penyewa Program Perumahan rakyat di Wilayah Persekutuan dibenarkan membeli rumah yang disewa
(Ia melibatkan sebanyak 44,905 unit rumah sewa di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedia untuk dijual secara berperingkat-peringkat bermula November ini. Sebagai langkah untuk membolehkan penyewa PPR memiliki kediaman sendiri. Kerajaan juga bercadang untuk memperluaskannya ke negeri-negeri lain di seluruh negara)

•Potongan diskaun 50 peratus kepada peniaga kecil di Wilayah Persekutuan memohon dan membaharui lesen perniagaan

•Tambahan RM150 juta bagi dan TEKUN dan RM15 juta untuk pembangunan usahawan muda kaum India

•Tambahan kira-kira 3,000 lagi permit teksi individu dalam masa tiga bulan akan datang
•Komited untuk mengurangkan kadar jenayah terutamanya ragut dan kecurian kenderaan

•Mempergiat usaha bagi memastikan bilangan pendaftaran lewat kelahiran dilaksanakan dengan segera

•Menyegerakan usaha menyelesaikan masalah kewarganegaraan rakyat

•Usaha menambah baik akses kepada kemudahan asas seperti pembinaan jalan dan penyaluran bekalan air serta elektrik di kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak ditingkatkan

•Mengurangkan kadar bayaran permohonan lesen motosikal kepada RM211 berkuat kuasa 1 September depan

•Menubuhkan Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz sehingga 10 bilion unit dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Selain 11 hadiah untuk rakyat tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan enam bidang keberhasilan utama nasional (NKRA) untuk mencapai matlamat Penunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan lebih berkesan.

Keenam-enam bidang itu ialah mencegah jenayah, memerangi rasuah, melunaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan serta meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah. Selain itu ia juga meliputi memperkasa prasarana luar bandar dan pendalaman dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana – keenam-enam bidang itu akan menjadi fokus utama kerajaan.

KPI diwujudkan bagi membolehkan rakyat mengukur pencapaian anggota pentadbiran kerajaan dan untuk memastikan ada garis panduan jelas kepada penggubal dan pelaksana dasar dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.


[Selanjutnya]

Tuesday, July 14, 2009

Sains dan Matematik diajar semula dalam bahasa Malaysia

Isu PPSMI sudah selesai walaupun masih terdengar suara-suara kecewa dengan tindakan Kerajaan yang disifatkan merugikan terutama apabila menyentuh tentang betapa pentingnya kemahiran dan penguasaan bahasa Inggeris ketika ini. Lebih mengecewakan apabila tindakan itu dibuat setelah Kerajaan membelanjakan berjuta ringgit sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Apa pun, memetik kata-kata Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, sepatutnya tidak ada lagi mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang telah Kerajaan lakukan ini kerana ia mengambil kira kepentingan negara dan kemahuan majoriti rakyat.

Walau apa pun kesannya, keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan ini bukan bermakna Kerajaan tunduk kepada desakan golongan pejuang bahasa atau dibuat semata-mata kepentingan politik tetapi yang lebih penting ia dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek dengan pertimbangan yang cukup teliti serta bijaksana.

Dengan pemansuhan PPSMI ini bermakna mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan manakala di sekolah-sekolah SJKC dan SJKT menggunakan bahasa ibunda masing-masing mulai 2012. Bagaimanapun, perubahan itu tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi.

Bagaimanapun pemansuhan ini dilihat bukan satu halangan bagi Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan keupayaan murid-murid untuk menguasai ilmu Sains dan Matematik. Ini kerana satu usaha bersepadu akan dilakukan di mana selain memastikan martabat bahasa Malaysia terus dipelihara dan dipertahankan, penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris turut menjadi agenda atau keutamaan.

Untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan, satu transformasi kurikulum di sekolah rendah dan menengah akan diperkenalkan dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik.
Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Sementara pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa akan diberi penekanan dalam kurikulum bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah.

Walaupun mata pelajaran sains dan matematik tidak lagi diajar dalam bahasa Inggeris mulai 2012, Kerajaan melihat penguasaan bahasa antarabangsa ini perlu dipertingkatkan dan antara langkah yang diambil oleh Kerajaan antaranya ialah menambah jumlah guru bahasa Inggeris seramai 13,933 orang termasuk 1,000 guru dari luar negara dan menggunakan semula kepakaran 600 guru bahasa Inggeris yang sudah bersara.

Selain menambah bilangan guru, peruntukan waktu bagi pembelajaran bahasa Inggeris di semua sekolah ditambah seratus peratus . Selain itu program sastera kontemporari kanak-kanak bahasa Inggeris juga akan diperkenalkan kepada semua murid tahap II untuk mengukuhkan minat membaca di samping memperkenalkan unsur-unsur sastera.

Walaupun ada pihak yang mahukan ia dilaksanakan segera tanpa menunggu sehingga 2012, tempoh dua setengah tahun adalah satu tempoh yang realistik bagi pihak Kerajaan untuk membuat segala persiapan perlu. Langkah ini perlu memandangkan sebarang perubahan perlu dibuat secara berhati-hati tanpa terburu-buru bagi mengelakkan berlaku kesilapan seperti sebelum ini.

Keputusan untuk memansuhkan PPSMI ini dibuat setelah Kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan.

Rasional memansuhkan PPSMI

• Hanya sebilangan kecil guru Sains dan Matematik menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya

• Penggunaan bahasa Inggeris hanya sekitar 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa Sains dan Matematik

• Hanya sebahagian kecil guru Sains dan Matematik berjaya mencapai tahap kefasihan bahasa Inggeris pada 2008

• Peratusan murid mendapat Gred A, B dan C bagi untuk kedua-dua mata pelajaran tersebut dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot bagi sekolah bandar dan luar bandar

• Jurang pencapaian yang semakin melebar antara sekolah bandar dan luar bandar sepanjang PPSMI dilaksanakan

• Trends in mathematics and Science Study 2007 melaporkan kedudukan murid Malaysia dalam kedua-dua mata pelajaran itu merosot. Mata pelajaran Sains jatuh ke tangga 21 pada 2007 berbanding tangga ke-20 pada 2003. Sementara bagi mata pelajaran Matematik pula jatuh dari tangga 10 kepada tangga ke-20

• Kajian universiti tempatan mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid adalah nominal dan tidak melebihi tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI

• Tahap penguasaan bahasa Inggeris di luar bandar masih rendah menyebabkan murid sukar memahami PPSMI

[Selanjutnya]

Tuesday, July 7, 2009

Biasiswa Nasional Untuk Semua kaum

Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan - merupakan inti pati konsep Satu Malaysia yang ingin diterapkan oleh kerajaan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama. Selari dengan konsep itu juga banyak usaha dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan setiap rakyat mendapat manfaat dan paling penting untuk sama-sama menikmati kemakmuran ekonomi negara.

Langkah kerajaan memperkenalkan Biasiswa Nasional iaitu satu kategori khas biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah bukti hasrat kerajaan untuk mendahulukan rakyat dengan mengambil kira pertimbangan rakyat keseluruhannya.
Di bawah biasiswa khas yang akan diperkenalkan mulai tahun depan, pemberian biasiswa tersebut hanya terbuka kepada pelajar yang meraih keputusan terbaik sahaja tanpa mengira latar belakang kaum dan agama di mana kelayakannya 100 peratus berdasarkan merit.

Langkah tersebut sedikit sebanyak melegakan pelajar dan ibu bapa sekali gus menjawab segala persoalan dan isu yang ditimbulkan mengenai pemberian biasiswa yang dibangkitkan sebelum ini. Langkah ini juga bertujuan untuk memastikan tiada pelajar yang cemerlang tercicir atau tersisih daripada perhatian kerajaan.
Apa yang lebih penting, inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan ini seharusnya dimanfaatkan oleh pelajar untuk meningkatkan kecemerlangan akademik masing-masing untuk kepentingan bangsa dan negara di masa depan.
[Selanjutnya]