Tuesday, March 10, 2009

Membela Rakyat Menjadi Teras Utama

RM60 bilion diperuntukkan oleh Kerajaan melalui pakej rangsangan tambahan – satu jumlah yang di luar jangkaan ramai dan kali pertama tindakan seumpama itu dilakukan dalam sejarah ekonomi negara bagi mengelak Malaysia terjerumus dalam krisis ekonomi ketika ini.

Tambahan sebanyak RM60 bilion serta RM7 bilion bagi Pakej Rangsangan Pertama sebelum ini serta keseluruhan peruntukan RM206 bilion dalam Bajet 2009, diharap mampu mengurangkan kesan penguncupan ekonomi global ke atas ekonomi negara.

Jika dilihat pakej rangsangan kedua ini lebih bertumpu kepada empat teras dan akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun di mana RM2 bilion diperuntukkan untuk mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan, RM10 bilion untuk meringankan beban rakyat terutama golongan mudah terjejas, RM29 bilion untuk membantu sektor swasta menghadapi krisis dan RM19 bilion untuk membina keupayaan masa depan.

Seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, disebabkan keadaan ekonomi global yang semakin meruncing, Pakej Rangsangan Kedua ini perlu bersifat lebih komprehensif dan bersaiz besar yang menjangkau lebih banyak sektor ekonomi dan kumpulan sasaran.

Antara golongan sasaran termasuklah para pekerja, pengguna, pelabur, peniaga kecil dan sedarhana, pengeksport dan graduan menganggur. Selain itu langkah-langkah yang dirangka bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha merangsang ekonomi dalam tempoh terdekat tetapi juga merangkumi inisiatif membina kapisiti ekonomi jangka panjang.

Semua langkah ini adalah bagi memastikan Malaysia lebih bersiap sedia untuk meraih segera peluang-peluang apabila ekonomi global kembali pulih. Dalam masa yang sama Kerajaan akan terus memastikan kesejahteraan semua rakyat dibela dan tidak terpinggir daripada mendapat manfaat tersebut.

Semua ini dapat dilihat melalui teras pertama dan kedua yang memberikan tumpuan menyeluruh merangkumi soal memberi latihan, menjaga kebajikan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada pekerja yang diberhentikan serta siswazah yang menganggur serta subsidi tol, gula, roti dan tepung di mana sebanyak RM674 juta diperuntukkan sebagai subsidi tambahan untuk mengelakkan kenaikan harga barang makanan harian tersebut.

1 comment:

Waksir said...

Tahniah kerajaan pimpinan YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. Memang inilah yang menjadi harapan rakyat. Jangan jadi macam Kelantan bawah pimpinan Tok Guru yang suci hingga anak Kelantan terpaksa merempat ke luar Kelantan mencari kerja yang sepatutnya disediakan oleh Kerajaan Negeri pimpinan PAS. Tok Guru Nik Aziz kena ikut Dato' Najib jangan asyek duduk takwel aje. Berbaiklah untuk 1 Malaysia.